gaya hidup

Elok PEMPIMPIN, Moleklah Negaranya. Ini Yang Islam Mahu – Sihat, Zuhud, Bijak, Berkata Benar, Menepati Janji Dan...

Afiza Kamarulzaman
30/06/2021
07:44 MYT
Sponsor Banner
Elok PEMPIMPIN, Moleklah Negaranya. Ini Yang Islam Mahu – Sihat, Zuhud, Bijak, Berkata Benar, Menepati Janji Dan...
Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, kepimpinan ialah keupayaan memimpin. Kepimpinan adalah sejenis hubungan perilaku manusia, pengaruh, daya tindakan serta penghalangnya kearah matlamat yang tertentu dengan cara yang boleh menjamin kepatuhan, kepercayaan dan penghormatan. Hakikatnya kepimpinan dalam Islam adalah merealisasikan khilafah di muka bumi, demi mewujudkan kebaikan dan prosses pembersihan sesebuah organisasi.
Pemimpin itu boleh jadi ketua keluarga, majikan, organisasi pertubuhan dan sebagainya, selagi mana dia mempunyai orang bawahan untuk dipimpin. Namun, di sini yang ingin diperincikan adalah pemimpin bagi sesebuah negara yang pastinya lebih besar amanah dan tanggungjawab itu.
Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang mampu menjalankan amanah yang telah dipikulkan ke atasnya dan dengan kerelaannya juga secara adil, telus dan jujur. Alangkah bertuahnya sesebuah negara yang memiliki pemimpin yang berpengetahuan luas, mempunyai wawasan yang jelas, tajam akalnya, mampu membuat keputusan dengan bijak, berdaya untuk menyelesaikan masalah dengan tangkas dan tepat, mempunyai keperibadian yang baik, boleh dibawa berbincang dan mendulukan hal kebajikan rakyatnya.
Islam telah meletakkan syarat-syarat kepimpinan untuk menjamin kejayaan sesebuah negara dan kerajaan sekaligus mempermodelkan Islam dalam kepimpinan dan pemerintahan. Antaranya ialah,
Pertama: Muslim (Islam), ‘akil baligh dan lelaki
Firman Allah SWT Surah al-maaidah ayat 51dan 52 yang bermaksud :” Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. barangsiapa diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, Maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. Maka kamu akan melihat orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya (orang-orang munafik) bersegera mendekati mereka (Yahudi dan Nasrani), seraya berkata: “Kami takut akan mendapat bencana”. Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya), atau sesuatu keputusan dari sisi-Nya. Maka kerana itu, mereka menjadi menyesal terhadap apa yang mereka rahasiakan dalam diri mereka”.
Kedua: Adil
Seorang pemimpin mestilah tidak fasik seperti tidak meninggalkan solat, beramal dengan segala amalan yang di ketahui selagi mana amalan tersebut tidak menyalahi kata-kata dan perbuatan serta tidak menyalahi landasan Islam.
Firman Allah SWT dalam Surah an-Nahl ayat 90 yang bermaksud; “Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan, member kepada kaum kerabat, dan Allah melarang perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberimu pengajaran agar kamu dapat mengambil pelajaran.”
Ketiga: Berilmu
Seorang pemimpin mestilah mengetahui perkara-perkara yang berkaitan dengan fardu ain dan kifayah sehingga dapat membezakan antara yang ma’aruf dan yang mungkar serta mengetahui perkara-perkara yang berkaitan dengan pimpinan.
Al- Imam Al Ghazali berkata: “sesungguhnya Islam yang diperjuangkan atas landasan kejahilan akan lebih memudaratkan berbanding serangan musuh Islam. Malangnya kebanyakan pendukung Islam adalah daripada kalangan orang-orang jahil.”
Keempat: Mempunyai kuasa dan kemampuan
Boleh bertindak bagi menyelesaikan sesuatu urusan atau masalah yang berlaku sam ada melalui tenaga, perkataan, tulisan atau fikiran dalam segala aspek.
Kelima: Beradab mengikut akhlak Islam
Seseorang pemimpin mestilah mampu memberi contoh tauladan mengikut akhlak islam kepada diri dan orang di bawah pimpinanya. Selain itu, di dalam dirinya mestilah mengandungi sifat ikhlas, jujur, tidak angkuh, ria dan sebagainya malah seorang pimpinan haruslah mempunyai sifat-sifat yang terpuji dan jauh dari sifat-sifat yang terkeji.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab: Ayat 21 bermaksud, “Sesungguhnya telah adaa pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik begaimu, (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”
Keenam: Sempurna pancaindera dan sihat tubuh badan
Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 91yang maksudnya, “tiada dosa (lantaran tidak pergi berjihad) atas orang-orang yang lemah, sakit dan orang-orang yang tidak memperolehi apa yang akan mereka nafkahkan, apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasulnya.”
Akhlak Terbaik Seorang Pemimpin:
1. Seorang pimpinan mestilah sentiasa mengharapkan akhirat dengan ikhlas kerana Allah semata-mata. Mempunyai hati yang bersih, jauh dari segala penyakit jiwa yang akan meruntuhkan amal dan usahanya seperti riya’, gila kuasa, cinta pangkat kebesaran dan pengaruh atau terpedaya dirinya dan lain-lain penyakit jiwa yang merosakkan pimpinan.
2. Mempunyai akal yang kuat, hikmah, cerdik cendiakawan dan arif bijaksana, berpengalaman, mempunyai pandangan yang tajam, pembacaan yang luas, mampu mengetahui pelbagai perkara dari berbagai sudut.
3. Mestilah berakhlak dengan sifat “Al-Hilm” (tidak mudah marah), penyantun, pengasih dan lemah lembut.
4. Berani, bermaruah, tidak penakut dan tidak membabi buta.
5. Mempunyai sifat “As-Siddiq” (benar di dalam segala kata-kata, sikap dan perbuatan).
6. Tawadhu’ (merendah diri), tidak membanggakan diri kepada menusia.
7. Mempunyai sifat pemaaf, menahan kemarahan dan ihsan kepada orang bawahan yang berbuat jahat terhadapnya.
8. Menepati janji dan memenuhi sumpah setia.
9. Mempunyai sifat sabar yang tinggi
10. Bersifat “Al-‘Iffah”(suci hati,jiwa dan amal) dan “Al-Kiram” (bersifat pemurah dan tidak bakhil).
11. Warak dan zuhud
12. Jauh dari sifat “Al-Mannu” (mengungkit) dan memperkatakan kebaikan diri sendiri.
13. Memelihara perkara-perkara yang dimuliakan Allah (Hurumatillah).
14. Kesejahteraan hati, tidak melayani orang yang mengumpat dan mengadu domba antara sesama manusia.
15. Keazaman, tawakal dan tidak ragu.
16. Bersederhana dalam segala perkara
17. Menjauhi sikap putus asa
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Pemimpin yang paling baik ialah mereka yang datang menemui para Ulama` dan Ulama` yang paling jahat ialah mereka yang datang menemui para Pemimpin (ulama`pengampu pimpinan).”
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar