Highlights

Faizul Ridzuan – Kongsi Ilmu Miliki Hartanah Pada Usia Muda, Ramai Yang Terinspirasi Dengan Kisah Hidupnya.

Huda Hussain
03/07/2020
07:44 MYT
Sponsor Banner
Faizul Ridzuan – Kongsi Ilmu Miliki Hartanah Pada Usia Muda, Ramai Yang Terinspirasi Dengan Kisah Hidupnya.
Penulis tertarik untuk berkongsi ringkasan kisah hidupnya yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Faizul Ridzuan Official. Tentang apa yang memotivasikannya untuk terus berjaya dan keluar daripada belenggu kemiskinan. Juga mengapa pentingnya berkongsi ilmu dan bersedekah serta membantu orang lain apabila kejayaan sudah mula menyebelahi kita. Dan namanya bukan asing dalam bidang hartanah malah seringkali diundang media, sektor korporat dan seangkatan dengannya untuk memberi komentar berkisarkan bidang ini. Bagi pengikut setia dan mereka yang pernah membaca buku nukilannya berjudul ‘WTF? 23 Properties by 30’ pasti maklum mengenai insan bernama Faizul Ridzuan.
Siapa Faizul Ridzuan?
Kredit Foto: Facebook Faizul Ridzuan
Membesar di Sentul, arwah ayahnya (yang baru meninggal dunia tiga bulan lalu) adalah seorang peniaga PKS yang membuka perniagaan cuci kereta. Manakala ibunya adalah pekerja kerajaan yang bersara awal. Berasal daripada latar keluarga kalangan B40, sekitar 1997-1998 susulan kegawatan ekonomi, arwah ayahnya diberhentikan kerja. Lebih memeritkan apabila mereka sekeluarga langsung tiada wang. Susulan itu, arwah ayahnya membuka perniagaan mencuci kereta dan ia adalah sumber rezekinya hinggalah dijemput Ilahi Februari lalu. Mula bekerja ketika berumur 13 tahun, dia satu-satunya pekerja pertama di carwash milik ayahnya kerana ketika itu mereka tidak mampu untuk menggajikan pekerja lain. Rutin hariannya setiap hari selepas tamat sesi persekolahan, Faizul akan ke carwash untuk membantu arwah ayahnya. Lantaran itu, dia sudah dilatih untuk bekerja keras dan mencari rezeki sendiri ketika berusia 13 tahun. Maka tidak hairanlah, berbekalkan rutin ketika awal remaja dahulu, anak muda ini sudah biasa bekerja. Baginya, dia tetap bersyukur dengan stamina dan kekuatan yang ada untuk kerja setiap hari hingga jam 2.00 ke 3.00 pagi yang diwarisi daripada arwah ayahnya. (Mohon sedekahkan Al Fatihah untuk Arwah kalau tak keberatan - Ridzuan B Abdullah)
Kredit Foto: Google
Bagaimana Saya Mula Beli Rumah? Kerja pertama saya gaji RM600 sebulan sebagai ‘programmer’ pada tahun 2004, selepas tamatkan ijazah Software Engineering di Universiti Malaya. Saya lompat kerja dan cuba bekerja luar bidang sebagai banker management trainee dengan gaji RM2,500 lepas setahun. Waktu itu saya belajar banyak ilmu tentang kewangan dan duit. Beli rumah pertama kondo subsale tahun 2005, modal RM2,000 duit saya sendiri. Yang lain saya guna kad kredit dan pinjam duit bekas teman wanita. Buat bayaran bank RM900, sewa pula saya peroleh RM1,120 waktu itu, alhamdulillah. Syukur tak sampai setahun, dapat bayar semua hutang dan boleh beli rumah kedua.
Rumah kedua yang mengubah segalanya dan menjadi punca kenapa saya mahu ada rumah lebih banyak banyak. Saya beli rumah baru yang dah siap di Pudu, studio unit yang tak sampai 400 kaki persegi. Orang cakap siapalah nak sewa rumah kecil ni, shobox kata mereka. Bertahun dijual tapi masih tak laku. Tapi rumah ni memang power, sebab bayar ansuran bulanan pada bank baru RM900, tapi sewa dapat RM2,400. Penyewa tak pernah putus. Lebihan sewa satu unit tanpa perlu buat sublet boleh dapat RM1,500 sebulan. Gaji saya baru RM3000 sebulan, tapi cashflow untuk sebuah rumah boleh dapat tambahan RM1500 sebulan.
Saya fikir kalau ada 10 rumah macam ni, saya dah boleh dapat cashflow RM15,000 (RM1,500 cashflow sebulan X 10 unit) sebulan. Dan boleh berhenti kerja. Jadi semenjak itu, saya mula set matlamat nak beli lapan hingga 10 buah rumah macam ni. Sikit pun tak peduli pasal kereta.
Jadi tahun 2006-2010, saya beli lebih daripada 20 buah rumah. Bayangkan gaji saya tak sampai RM10k sebulan tapi hutang dan komitmen rumah saya RM15,000 sebulan. DSR saya hampir 200% kot (hahaha). Tapi bagi saya perbuatan ini tidak berisiko tinggi kerana sewa saya lebih dari RM10,000 waktu itu. Semua hartanah positif cashflow kalau dah siap. Kahwin dengan bekas teman wanita tanpa hutang tahun 2008, dan dikurniakan anak pertama pada 2009. Alhamdulillah.
Kredit Foto: Google
Motivasi Saya Hari Ini Kenapa Masih Kerja Keras Walaupun Dah Senang
Banyak sangat insiden yang membentuk saya hari ini. Tapi ini yang memotivasikan saya:
1. Saya dan keluarga pernah miskin sampai makan nasi dan telur untuk berbulan. Jadi saya faham perasaan orang yang tiada duit dan dan tak faham ilmu kewangan. Ilmu kewangan ini sebenarnya boleh uabh nasib kita sekejap saja apabila kita sudah faham.
2. Saya pernah disumpah oleh guru sekolah menengah yang saya ni takkan berjaya sebab malas.
3. Kali pertama saya berkongsi ilmu, ada orang pernah cakap budak Melayu ni tahu apa pasal investment? (Saya satu-satunya orang Melayu yang berkongsi ilmu dalam majlis itu).
Kredit Foto: Google
4. Kawan baik saya waktu dulu cakap tiada orang yang akan beli buku saya. Tak sampai setahun, buku saya jadi bestseller.
5. Hartanah ini adalah lubuk harta dan kekayaan, tapi 70%-80% dimonopoli oleh bukan Melayu. Jadi saya nak tingkatkan ekuiti orang Melayu, sekurang-kurangnya biar separa atau sama rata. Saya tak mahu kita jadi seperti Indonesia, yang mana majoriti kekayaan didominasi the top 1% sahaja.
6. Bidang hartanah ini dari segi karier juga didominasi oleh bukan Melayu dan hasilnya lumayan. Jadi saya nak tingkatkan kesedaran kepada orang Melayu supaya boleh terokai hartanah sebagai karier dan sumber rezeki. Hari ini, beberapa pelajar saya sudah ada nama dalam bidang ini. Ada yang mula sertai sebab nak tambah pendapatan (orang muda dengan anak OKU, jadi duit rawatan mahal) , hari ini boleh tambahkan pendapatan RM50,000 hingga RM100,000 setahun. Alhamdulillah!
Kredit Foto: Google
7. Sebab cerita saya, ramai orang muda bermotivasi nak beli rumah. Tapi kalau memang tiada ilmu, boleh terduduk beli hartanah yang salah. Jadi saya dah mulakan FRPG supaya saya boleh kongsi ilmu tanpa apa-apa bayaran. Bagi saya kalau mereka yang sertai group ini, sekurang-kurangnya takkan beli rumah RM480k di Nilai. Sebabnya kalau mereka ada ilmu sedikit, boleh tahu apa yang tak patut dibeli.
8. Saya mahu buktikan yang kehebatan kita sebagai pelabur atau orang berniaga, tiada kaitan dengan warna kulit, bangsa atau agama. Kita usaha lebih keras daripada orang lain, dan kita akan dapat lebih daripada orang lain. Allah SWT itu Maha Adil dan rezeki tak pernah salah alamat. Saya nak ada beratus rumah apabila dah bersara (bukan lowcost) dan hingga boleh berjaya kendalikan syarikat yang disenaraikan di bursa saham. Sebab saya pernah dihina yang orang Melayu tak tahu melabur dan berniaga. Kalau kaya mesti sebab kita kroni atau makan rasuah.
Moral Perkongsian Saya Hari Ini
1. Kalau kita mula miskin, tak selamanya kita akan miskin. Cari ilmu, usaha lebih daripada orang lain dan terus belajar. Bangsa atau agama, warna kulit dan sebagainya bukan penyebab kita miskin atau kaya.
2. Saya sendiri ambil risiko besar melabur, buat pinjaman jauh melebihi gaji sebab saya mula dengan tiada apa hartapun. Jadi kalau saya bankrup pun tak mati sebab memang dah tiada apa waktu mula dulu. Alhamdulillah dengan belajar dan adanya ilmu, ambil risiko terkawal, tak bankrup malah dapat berhenti kerja waktu umur 33 tahun.
Kredit Foto: Google
3. Buat benda yang kita faham. Cari ilmu dulu dan jangan ikut sebarangan. Tak kira berniaga atau melabur, jangan ikut stail pelaburan saya kalau ilmu tak cukup.
4. Akan ada sentiasa orang yang pandang rendah pada kita. Pejam mata, pekakkan telinga dan kerja keras. Buat sehabis baik.
5. Ada orang memang takkan suka dengan apapun yang kita buat. Kalau miskin dihina, kalau kaya pun dikecam.
6. Orang yang bakal mengecewakan kita adalah orang yang kita kenal dan rapat dengan kita. Kawan baik saya pernah cakap saya berjaya hanya sebab saya ni Melayu dan Bumiputera. Kawan saya yang pernah saya sokong bisnes beliau dan bayar fee lima angka, hari ni cakap beliau mengemis minta fee daripada saya. Kita akan kecewa, tapi teruskan berjalan.
7. Orang akan bagi banyak sebab kenapa benda ni tak boleh dilakukan. Sebab dia memang tak boleh buat tapi tak bermaksud kita juga tak boleh buat.
Kredit Foto: Google
8. Bila dah ada duit sikit, bantu seramai yang boleh. Kongsi ilmu pun dikira jariah. Kita tak tahu ilmu yang kita kongsikan itu boleh memberi impak besar kepada orang lain.
9. Jaga siapa rakan kita. Kalau rakan kita hari-hari sembang/mengumpat pasal orang lain, cari rakan baru. Saya tak pernah jumpa orang yang kuat mengumpat dan memfitnah yang berjaya. Cuba tengok status insta/Twittter/ FB Warren Buffett, Gates atau Zuckerberg. Mana ada ‘diorang’ sembang pasal jiran dia beli kereta baru kan?
10. Cari mentor yang dah dapat buat apa yang kita nak buat. Hari saya belajar dengan empat orang yang dah ada networth sembilan angka. Mereka memiliki beberapa listed company dan ada dua daripadanya sudah bergelar bilionaire. Saya belajar daripada mereka sebab mereka dah berjaya buat apa yang saya mahu buat. Bukan sembang kari dan teori.
Kredit Foto: Facebook Faizul Ridzuan
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar