Highlights

Hari Pertama Sekolah, Antara Mak dan Anak – Siapa Yang ‘Over Excited’, Siapa Intai Anak Celah Tingkap? Baik Mengaku!

Huda Hussain
02/01/2020
13:08 MYT
Sponsor Banner
Hari Pertama Sekolah, Antara Mak dan Anak – Siapa Yang ‘Over Excited’, Siapa Intai Anak Celah Tingkap? Baik Mengaku!
Bermula semalam, ada sebahagian anak-anak yang telah memulakan sesi persekolahan khususnya bagi negeri-negeri Kumpulan A (Kelantan, Terengganu, Johor dan Kedah). Manakala hari ini, bermulalah sesi persekolahan dekad baru bagi seluruh warga pendidik dan anak murid bagi sekolah-sekolah kumpulan B pula. Pastinya ibu bapa dan anak-anak teruja juga gembira memulakan hari ini khususnya bagi murid yang baru memasuki alam persekolahan. Begitu juga buat ibu bapa yang pertama kali melalui rutin baru. Ya, penuh warna-warni semuanya.
Kredit Foto: Huda Hussain
Rata-rata ibu bapa tidak melepaskan peluang mengabadikan momen hari ini dengan mengambil cuti. Dan mungkin sudah menjadi kemestian selain lumrah bagi ibu bapa era ini mengemaskini status dan memuat naik foto anak masing-masing di media sosial. Ya, penuh ‘wall’ media sosial dengan foto-foto bermula daripada penyediaan sarapan, membawa anak ke sekolah, melihat dari jauh gelagat anak-anak didalam kelas dan lain-lain. Bermula dengan sekolah kebangsaan dan pada sebelah petangnya pula berkejar-kejaran ke sekolah agama pula (bergantung kepada sesi masing-masing).
Kredit Foto: Facebook Noorazura Durani
Bermula dengan membeli barang keperluan dan kelengkapan sekolah seperti uniform, buku, alat tulis, kasut dan sebagainya hinggalah hari orientasi dan hari pertama persekolahan. Tidak cukup dengan itu, penulis juga membuat persiapan awal dengan menyediakan label dan tag pada setiap alat tulis. Bukan tak harapkan anak tetapi sebagai langkah ‘keselamatan’ awal. Tidaklah hilang alat tulis begitu sahaja.
Kredit Foto: IG Nabilzira
Dan berbicara mengenai keterujaan ini bukan saja selebriti, penulis juga tidak terkecuali daripada merakam video dan foto. Bukannya apa, sekadar mahu berkongsi kegembiraan dengan rutin harian baru ini. Kerana media sosial hari ini ibarat diari digital yang menyimpan pelbagai kenangan. Bukanlah susah sangat kerana semua ibu bapa kini menggunakan telefon pintar dan apalah salahnya merakam video juga foto untuk dibuat kenangan pada masa hadapan.
Namun ada yang beranggapan mungkin ibu bapa yang over excited. Sedangkan si anak biasa saja tingkah lakunya. Mana lagi mahu membiasakan diri dengan persekitaran baru, rakan-rakan baru, guru-guru dan sebagainya. Si ibu terutamanya dan ayah pula sibuk merakam video dan foto mengenai keletah anak di hari pertama persekolahan. Mengambil gambar tidak salah tetapi biarlah berpada-pada. Jangan sesekali mengganggu tugas guru yang sibuk menguruskan segala persiapan demi kelancaran dan mempermudahkan urusan anak-anak kita.
Masanya Untuk Berdikari Khusus bagi anak-anak yang baru memasuki alam persekolahan, janganlah terlalu diikut telunjuk mereka. Ini masanya kita ‘melepaskan’ mereka merasai sendiri pengalaman dan realiti sebagai murid sekolah. Persiapkan dan ajarkan kemahiran asas misalnya kebersihan diri, bagaimana membelanjakan duit, persekitaran sekolah selain keselamatan diri. Jangan terlalu mengharap pada guru kelas kerana bukan anak kita seorang yang cikgu perlu jaga dan pantau.
Jika mahu menunggu untuk sehari dua mungkin okey tetapi selepas itu biarkan anak-anak melaluinya. Kerana ada sesetengah sekolah yang hanya memberi keizinan kepada ibu bapa untuk menunggu sehingga seminggu. Dan ibu bapa perlu menunggu di kantin sekolah. Selepas tempoh itu, ibu bapa tidak dibenarkan menunggu anak lagi. Usah takut dan khuatir. Beri ruang dan peluang mereka untuk merasai semuanya seperti kita mula bersekolah dahulu. Yakinlah, anak-anak kita pasti boleh melakukannya sementelahan sudah didedahkan dengan persekitaran sekolah ketika tadika atau pra sekolah sebelumnya.
Kredit Foto: Huda Hussain
WhatsApp Group dan Facebook Ada sesetengah sekolah dan guru yang turut memanfaatkan aplikasi interaktif seperti WhatsApp juga laman Facebook untuk menyalurkan maklumat kepada ibu bapa. Ia bukan saja menjimatkan masa kerana guru dan ibu bapa boleh berhubung secara terus-menerus.
Sungguhpun demikian, janganlah dicemari perantaraan komunikasi ini dengan pelbagai soalan, ‘arahan’ mahupun gesaan oleh ibu bapa agar cikgu melaporkan perihal anak-anak kita pada sesuatu masa. Kerana perihal ini dibimbangi boleh menggugat kesabaran serta mengganggu tugas hakiki seorang guru. Lihat saja bagaimana cara kita dibesarkan ibu bapa dahulu. Boleh imbas kembali tatkala hari pertama kita melangkah kaki ke sekolah? Benar, dahulu tiada WhatsApp, Facebook dan sebagainya. Tetapi, boleh saja kita berdikari dan menyesuaikan diri kan? Jadi, berlapang dadalah wahai ibu bapa sekalian.
Kredit Foto: Google
Silibus Pelajaran dan PBD Umum mengetahui bahawa kini tiada lagi sistem peperiksaan dilaksanakan. Jadi bagaimana guru boleh mengukur prestasi dan tahap pemahaman juga kemajuan murid? Untuk itu ibu bapa perlu peka dan cakna dengan sistem Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang telah mula dikuatkuasakan tahun lalu. PBD adalah proses berterusan dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) untuk melihat perkembangan, kebolehan, kemajuan dan penguasaan murid. Ia dilakukan menerusi tiga kaedah iaitu pemerhatian, lisan dan penulisan.
Kredit Foto: Facebook Noorazura Durani
Ya, ibu bapa perlu sentiasa peka dan mengambil tahu apa yang dipelajari anak-anak. Bukan sekadar bertanya, “Abang belajar apa hari ini?” "Kakak makan tak bekal yang bawa tadi?" tetapi semak juga buku sekolahnya dan jika berpeluang tanya kepada guru mengenai perkembangan anak dengan cara yang terhormat. Insya-Allah kerjasama yang baik antara ibu bapa dan guru akan membantu membentuk sahsiah dan kecemerlangan murid.
Jika mahu diceritakan perihal dan setiap inci mengenai persekolahan dan pembelajaran, sampai ke sudah takkan habis. Apa yang penting, keterujaan dan kegembiraan ini harus disalurkan dengan semangat dan pendekatan yang betul. Jangan pula minggu pertama persekolahan sahaja yang bersemangat tetapi dipenghujungnya lemau semua. Dan paling penting, jangan sibukkan dengan persiapan material semata-mata. Pastikan anak-anak kita bersiap siaga untuk terus mendepani cabaran sepanjang mereka bersekolah. Ini adalah langkah awal dan bimbinglah mereka sebaik mungkin. Siapa yang tak mahu lihat anak-anak berjaya dalam pelajaran kan?
Selamat memulakan rutin baru buat ibu bapa dan anak-anak sekalian. Semoga semuanya dipermudahkan!
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar