Highlights

Hasil Masakan Ke Laut? Donut Jadi Roti, Kek Jadi Arang, Suami Keji? – Tabahkan Hati! Sinar Akan Tiba. Hahaha...

Afiza Kamarulzaman
21/04/2020
11:29 MYT
Sponsor Banner
Hasil Masakan Ke Laut? Donut Jadi Roti, Kek Jadi Arang, Suami Keji? – Tabahkan Hati! Sinar Akan Tiba. Hahaha...
Walaupun pelbagai tekanan terpaksa kita hadapi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung, namun banyak juga perkara-perkara baru yang dapat kita pelajari selama duduk berkurung di rumah. Antaranya ramai yang bersetuju, bahawasanya dapur sentiasa berasap dan orang kita semakin rajin memasak. Pelbagai skil diterjemahkan pada saat dan ketika ini. Yang selama ini tidak pernah pegang kuali pun sudah pandai menggunakan ketuhar!
Maka, kita lihat dek tidak dapat lagi memuat naik gambar atau video OOTD di luar atau berjalan ke sana-sini, ramailah yang memilih untuk berkongsi gambar masakan mereka sahaja. Nah, penuhlah wall Facebook dan Instagram kita dengan pelbagai jenis juadah, ada yang mungkin buat kita terbeliak mata wow! Ada juga yang mungkin buat kita mencebik bibir, apooo? Apa pun, terimalah perkongsian mereka itu dengan hati terbuka dan minda positif.
Kredit Foto: Google
Kalau Menjadi Memang Menggembirakan
Memasak ini sebenarnya memberikan terapi kepada kita. Dengannya, kita boleh menjadi lebih fokus, lupakan seketika masalah hidup dan rasa gembira apabila hasilnya dapat dinikmati dengan orang tersayang. Ya, memang menyeronokkan apabila masakan kita menjadi seperti yang diharapkan dan lebih membanggakan apabila ada yang memuji sedap dengan memberikan lima bintang!
Kalau Gagal, Memang Hancur Hati
Pada setiap usaha itu tidak semua membuahkan hasil yang diimpikan. Begitulah dengan hal masak-memasak, apatah lagi jika ia dimasak untuk pertama kalinya. Maka, hasilnya pun belum terjamin menjadi. Ada yang berkongsi kesedihan apabila kek yang dibakar bantat. Roti yang diuli keras. Kuih yang diadun tawar. Ia serta-merta menjadikan seseorang itu rasa kecewa. Kekecewaan itu jika dijadikan sebagai cabaran untuk mencuba lagi tidak mengapa. Jangan pula berputus-asa!
Kredit Foto: Google
Bagaimana Untuk Elak Gagal Memasak?
  • Jika pertama kali membuatnya, pastikan kamu tulis dan tampalkan resipi itu di dapur agar mudah untuk dirujuk.
  • Pastikan bahan-bahan sudah tersedia semuanya sebelum memulakan proses memasak.
  • Pastikan juga perkakas memasak dalam keadaan sedia. Periksa betul-betul keadaannya seperti ketuhar atau pengadun.
  • Jangan memandai-memandai untuk menokok tambah resipi yang ada jika pertama kali mahu mencuba. Dalam erti kata lain, jangan ingkar!
  • Fokus ketika memasak. Elakkan perkara-perkara yang boleh menganggun konsentrasi seperti panggilan telefon atau melayan anak menangis.
  • Jika ada satu ke dua bahan yang tidak cukup, pastikan kamu tahu penyelesaiannya. Contohnya, jika tepung ubi tiada, adakah boleh digantikan dengan tepung jagung?
  • Ikut sukatan yang betul jika kamu masih amatur. Jangan main campak-campak. Gunakan penyukat yang sama seperti yang disarankan.
Kredit Foto: Google
Makanan Tak Jadi Jangan Dibazirkan
Ini paling penting! Dalam keghairahan mencuba pelbagai jenis resipi, jangan sesekali berlaku pembaziran. Ini sesuatu yang sangat tidak baik dalam agama juga kehidupan kita. Apatah lagi ia melibatkan makanan. Bayangkan orang di luar sana yang untuk mengenyangkan perut setiap hari pun menjadi satu cabaran besar buat mereka. Sedangkan kita pula menjadikan makanan sebagai bahan uji kaji. Ini tidak betul.
Aktiviti memasak suatu aktiviti yang sangat berfaedah asalkan tidak membazir. Sekiranya ada makanan yang tidak menjadi, janganlah dibuangn terus. Cuba ikhtiar dan guna kreativiti untuk mengolahnya sehingga boleh ‘ditelan’. Contohnya jika roti itu keras, mungkin boleh disapu planta dan ditabur gula kemudian dibakar semula untuk dijadikan roti kering. Begitulah jika kek, andainya tidak naik sempurna, mungkin boleh disapu mentega kacang dan djadikan kek lapis? Buatlah sebagaimana pun, janji ia tetap kembali ke perut anda.
Selamat memasak dan meraikan orang tersayang! Jika ada lebih, hulur-hulurkan kepada jiran tetangga atau mereka yang memerlukan. Dengan masakan, silaturahim boleh dieratkan.
Kredit Foto: Google
Kredit Foto: Google
Kredit Foto: Google
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar