Highlights

Ibu Ayah Bertukar Jadi ‘Singa’, ‘Naga’ Dan Lain-Lain Sebab Ajar Anak Dirumah? Sabar, Ingat Janji Allah Ini.

Huda Hussain
13/11/2020
14:52 MYT
Sponsor Banner
Ibu Ayah Bertukar Jadi ‘Singa’, ‘Naga’ Dan Lain-Lain Sebab Ajar Anak Dirumah? Sabar, Ingat Janji Allah Ini.
Pasti kita biasa dengar dengan ungkapan ini iaitu didikan bermula dari rumah. Ya, rumahlah institusi pendidikan pertama yang membentuk disiplin, jati diri dan tingkah laku siapa kita hari ini. Di sekolah, barisan guru-guru hanya membantu untuk menggilapkan dan memperbetulkan apa yang kurang. Tetapi selebihnya tetap terpikul dibahu kita sebagai ibu bapa. Jika dahulu semasa awal PKP berkuatkuasa, ramai ibu bapa yang mengeluh dan merungut dek kerana perlu berperang mengajar dan memahamkan anak-anak.
Lantaran itu secara tidak langsung barulah kita faham betapa bukan mudah sebenarnya untuk mengajar dan mendidik anak-anak. Mulalah ada dalam kalangan ibu bapa yang menyinga dek kerana tertekan dan mungkin kesabaran sudah sampai ke kemuncaknya. Jujur, penulis sendiri mengakuinya. Urut dada, picit kepala dek menahan sabar untuk memahamkan anak yang baru berusia tujuh tahun.
Tetapi walau bagaimana teruknya tekanan yang dihadapi ibu bapa dalam menyempurnakan tugas ini, berpeganglah kepada huraian yang dikongsikan oleh Dr. Ahmad Sanusi Azmi yang diambil daripada laman Facebook Sahabat Pencinta Al-Quran. Teliti dan fahami penjelasannya.
Pahala Ibu bapa Mendidik Anak
1. Barangkali musim PKP ini adalah situasi yang benar-benar memberikan tekanan buat ibu bapa yang mendidik anak-anak mereka di rumah. Bukan mudah mengendalikan sesi pengajian di rumah dengan pelbagai tekanan yang mendatang.
Kredit Foto: Facebook Sahabat Pencinta Al Quran
2. Pada hakikatnya, pendidikan bermula dari rumah dan ganjaran mendidik adalah sesuatu yang sangat besar di sisi Allah. Dalam Al-Quran Allah memuji Nabi Ismail dan Luqman al-Hakim kerana sifat mereka mendidik keluarganya. Firman Allah yang bermaksud: “Dan (Nabi Ismail itu) menyuruh keluarganya mengerjakan solat dan memberi zakat dan ia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya!” (Surah Maryam: ayat 55)
Kredit Foto: Facebook Sahabat Pencinta Al Quran
3. Malah pahala mendidik anak ini adalah satu ganjaran yang tidak mungkin terputus sekalipun kita telah meninggal dunia nanti. Ibu bapa yang mendidik anak dengan perkara kebaikan dan anak tersebut mengamalkan ilmu tersebut, maka mereka akan mendapat ganjaran pahala yang mengalir selagi mana anak tersebut beramal dengan didikan tersebut. Sabda Rasulullah yang bererti: “Jika meninggal seorang insan itu, maka terputuslah seluruh amalannya melainkan tiga perkara iaitu: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.” (Hadis Riwayat Muslim).
Kredit Foto: Facebook Sahabat Pencinta Al Quran
4. Manakala ibu bapa yang mendidik anak dengan ilmu Al-Quran pula, maka Allah akan menganugerahkan buat ibubapa tersebut satu perhiasan yang tidak boleh dihitung nilainya dengan isi dunia. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Dan dipakaikan kedua ibu bapanya dengan perhiasan yang tidak boleh dinilai dengan isi dunia. Lalu kedua ibu bapanya bertanya: Wahai Tuhan, mengapa kami diberikan nikmat ini? Lalu dijawab kepada mereka: Kerana engkau mengajar anakmu Al-Quran.” (Hadis Riwayat al-Tabrani)
Kredit Foto: Facebook Sahabat Pencinta Al Quran
5. Manakala ibu bapa yang membesarkan anak perempuan dengan baik, maka anak-anak tersebut berupaya menjadi penghalang buat mereka daripada ancaman api neraka kelak. Sabda Rasulullah: “Barangsiapa yang diuji dengan anak perempuan, lalu dia membesarkannya dengan baik (menjaga hak-haknya), maka anak-anak tersebut akan menjadi perisai buatnya dari api neraka.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Kredit Foto: Facebook Sahabat Pencinta Al Quran
6. Semoga ibu bapa terus cekal mendidik anak dalam musim PKP ini dan dikurniaka setinggi-tinggi ganjaran di sisi Allah. Semoga Allah membimbing kita.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar