gaya hidup
Ibu Yang Alami BURNOUT Perlu Dibantu. Jaga Diri Sendiri Dulu, Baru Kalian Ada Upaya Nak Jaga Keluarga
Burnout adalah satu situasi di mana seseorang mengalami tekanan sehingga berasa seperti tidak mampu lagi memikul tugasan yang ditanggungnya. Bagi seorang ibu, ia berkait rapat dengan tugasan seharian menguruskan rumahtangga terutamanya hal anak-anak. Ia banyak berlaku kepada ibu yang baru memiliki anak.
Rutin baru sebagai ibu yang menuntut banyak masa dan komitmen bersama anak sehingga tidak cukup tidur dan rehat menyebabkan kebanyakan ibu mengalami tekanan luar biasa. ini turut dialami oleh ibu yang sudah lama mempunyai anak, terutama mereka yang memiliki anak yang ramai dan usia yang kecil-kecil.
Tekanan ini tidak tertumpu kepada ibu yang bekerja atau suri rumah sahaja. Sesiapa sahaja boleh mengalaminya bergantung pada tahap tekanan dan komitmen yang didepani mereka dalam kehidupan seharian. Ibu bekrerja tekanannya berkisar soal kerja dan rumah tetapi ada masa untuk ‘me time’ seketika kala di luar rumah.
Manakala ibu yang menjadi surirumah sepenuh masa, walaupun tugasan sepenuhnya menguruskan rumahtangga, mereka juga dilihat berisiko mengalami ‘burnout’ ini kerana tiada pilihan lain untuk melepaskan tekanan melainkan meneruskan sahaja komitmen di rumah setiap saat. Tiada ruang untuk ‘lari’ daripada anak-anak dan bebanan rumah.
Apa Yang Boleh Dilakukkan Untuk Tenangkan Ibu ‘Burnout’?
Peranan suami sangat penting
Siapa lagi individu yang paling dekat dan bertanggungjawab kepada isteri – mestilah suami! Jadi, apa pun yang berlaku terhadap isteri, suamilah yang perlu bertanggungjawab dan memahami setiap inci situasi isteri. Tolonglah suami bersikap lebih peka dan sensitif dengan perkembangan isteri. Jika terdapat perubahan emosinya, jangan buat-buat tak tahu. Ambil peduli. Bantu ringankan bebanan isteri dan jadilah pendengar setia.
Ibu tak perlu jadi yang terbaik
Apabila seseorang meletakkan ‘expectation’ yang terlalu tinggi tetapi gagal untuk mengecapinya, dia pasti akan kecewa. Dan, lain orang lain cara penerimaan kekecewaan itu. Maka, para ibu ingatlah kalian tidak perlu menjadi yang terbaik dalam keluarga. Tidak perlu meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk suami dan anak-anak. Jalankan tugasan sebagai ibu mengikut kemampuan diri sendiri.
Elakkan persaingan
Tidak salah untuk mengidolakan sesiapa pun tetapi tidak perlu menjadikan mereka ‘benchmark’ untuk kamu jadi sepertinya. Dia mungkin boleh menjadi ibu sempurna atas support system di sekelilingnya, sedangkan kamu mungkin tidak punya hatta seorang pembantu rumah pun. Usah juga bandingkan dirimu dengan kawan-kawan atau jiran tetangga dalam menguruskan keluarga masing-masing. Selagi keluarga kamu dalam keadaan yang baik-baik sahaja, sudahlah, memadai. Dan, paling penting ibu mampu tersenyum ceria setiap hari ketika menguruskan anak-anak.
Fikirkan sesuatu yang boleh membahagiakanmu
Apa sahaja yang buat kamu gembira dan hatimu berbunga. Ia tidak semestinya berkaitan dengan suami dan anak-anak. Sesekali kamu perlu fikirkan kebahagiaan dari cabang yang lain, tidak terikat dalam kepompong di rumah saja. Jika menonton drama di televisyen menceriakanmu, luangkan masa itu. Jika berwhatsapp dengan ibu di kampung sesuatu yang menenangkan, lakukanlah selalu.
‘Me Time’ itu ‘wajib’
Kenapa wajib? Supaya kamu dapat lakukannya secara tetap. Jadikan ia sama penting seperti kamu menguruskan rumahtangga. Keluarlah sekejap minum kopi dengan kawan-kawan seminggu sekali untuk melapangkan minda dan berkongsi cerita yang berbeza. Kalau suami lebih ‘sporting’ boleh izinkan kamu pergi bercuti dengan teman-teman atau sepupu-sepapat, gunakan peluang itu tanpa rasa bersalah.
Jangan suka pendam, luahkan
Usah mainkan drama melankolik dalam jiwa sendiri. Ini kisah benar, bukan drama tontonan di televisyen. Maka, jangan dipendamkan setiap rasa negatif yang bersarang di hati. Kalau penat, nyatakan secara jelas kepada seisi rumah yang kamu sedang penat dan perlu berehat. Jangan paksa diri menjadi kuat. Kalau kamu sedang marah, luahkan marah itu pada cara yang betul dan tak memudaratkan. Kita perlu jadi lebih ‘straight forward’ dan kurangkan sikap ‘memendam rasa’ atau berkias-kias.