Highlights
Ika Nabella Kongsi Pengalaman TTC – Petua Buah Zuriat, Kelapa Bakar, Ruqyah, Sabar, Doa, Unfollow Orang Negatif!
Walaupun penantian menimang cahaya matanya tidaklah selama orang lain, namun tempoh tiga tahun itu cukup menguji dan membuatkan Ika berada dalam keadaan yang sangat tertekan dan emosi yang tak stabil.
Cerita Ika kepada InTrend, “sebenarnya, lima bulan selepas bernikah, saya disahkan hamil, sesuatu yang saya tak expect berlaku sepantas itu. Malangnya, saya keguguran kerana terlalu sibuk berlakon ketika itu.”
“Hanya selepas mengalami keguguran itu, barulah saya terasa betul-betul inginkan anak secepatnya. Maka bermulalah proses TTC saya untuk mengandung secara semula jadi. Hubungan intim kami lakukan semata-mata untuk anak. Saya sangat tertekan sehingga menganggu emosi saya dan kala bersama suami juga.”
Ika juga memberitahu setiap kali datang haid, dia mula rasa kemurungan kerana itu petanda usaha mereka gagal. Pernah satu ketika dia shooting di kawasan hulu di Johor, sangat jauh jaraknya. Tetapi dek mahu ‘bersama’, suami ulang alik dari KL ke tempat shooting Ika – hampir 21 hari Ika di situ.
Ika juga cuba kurangkan aktiviti lasaknya seperti hiking, berlari yang menjadi rutinya sebelum itu. Pelbagai petua dilakukan namun masih gagal. Sehinggalah Ika dan suami buat keputusan untuk bertemu pakar.
Hampir Buat IUI, Allah Turunkan Keajaiban
Ika menemui seorang doktor kesuburan di sebuah hospital terkenal di ibu kota. Apa yang boleh Ika katakan, doktor tersebut langsung tidak membantu malah membuatkan Ika lebih tertekan dan negatif.
“Pada sesi pertama lagi saya dapat rasakan doktor ini tidak sesuai untuk saya. Dia tanya umur saya (29 tahun waktu itu) dan kemudian menyatakan yang saya sudah ‘tua’ dan macam teruk sangat apabila saya tidak mampu hamil dalam tempoh itu, Malah, apabila balik rumah selepas itu, Ika sampai bangun tengah-tengah malam menangis. Rasa down sangat,” cerita Ika kecewa.
“Kemudian, kami proceed untuk buat rawatan Intrauterine insemination (IUI), nak dijadikan cerita ketika kami nak buat examination tahap kesihatan saya dan suami, waktu itulah saya didapati positif hamil. Allah, hanya Tuhan yang tahu perasaan kami waktu itu.”
undefined
Pelbagai Petua Diamalkan
Kongsi Ika lagi, dia percaya sikapnya yang lebih tenang dan reda selepas itu antara dorongan kejayaan dia hamil selepas mencuba hampir tiga tahun. Setelah lama berdepan pelbagai ujian dan kesulitan, akhirnya Ika pilih untuk berserah dan alhamdulillah, doaknya dimakbulkan.
Ika juga sudi berkongsi pelbagai usaha dan petua yang diamalkannya sepanjang TTC itu. Usaha dan ikhtiar itu penting, barulah Allah nampak kesungguhan kita mahukan sesuatu yang kemudian dimakbulkan Nya.
“Kebetulan satu waktu tu, saya terlibat dengan produksi Kak Anne Abdullah. Kak Anne ke Mekah tunaikan umrah dan saya langsung tak kirim apa-apa daripada dia dan tak pernah pun cerita kisah TTC saya kat dia. Tapi, pulang dari Mekah, Kak Anne belikan buah zuriat untuk saya. Ya, Allah baiknya dia. Ingat saya walaupun tak pesan.”
“Saya pun Google lah cara nak guna buah zuriat tu. Selepas minum air buah zuriat tu, suami akan bacakan doa dan usap perut saya setiap malam sebelum tidur. Ironinya, dengan cara itu sebenarnya membuatkan saya lebih tenang dan dapat tidur dengan lena.”
Ika juga bercerita yang dia pernah ke Melaka bertemu seorang ustaz untuk diruqyahkan. Sekadar ikhtiar dengan cara perubatan Islam pula, kata Ika. Ustaz itu juga memberi petua air buah kelapa bakar untuk diamalkan.
“Setiap dua ke tiga kali seminggu saya akan buat kelapa bakar ini dengan dimasukkan bersama lada hitam dan serai. Kalau ada shooting di luar kawasan pun, PA saya akan buatkan untuk saya.”
Doa, Positif, Sabar, Usaha
Syukur, alhamdulillah, setelah melalui pelbagai cabaran dan ikhtiar, akhirnya doa mereka dimakbulkan, Ika dapat hamil secara natural. Ika akui TTC bukanlah satu perjalanan yang mudah, hanya wanita yang pernah melaluinya saja tahu getirnya.
“Apa yang penting kena positif dan singkirkan benda-benda toksid yang ada di sekeliling kita. Satu kesilapan saya di awal TTC dulu saya terlalu beremosi dan stres. Tapi, perlahan-lahan saya ubah. Kalau ada orang negatif di media sosial, saya akan unfollow. Kita kena dikelilingi kawank-kawan yang positif.”
“Jika ada yang suka bertanya pasal anak, minta mereka doakan. Memang dulu pun, saya rasa mereka menjengkelkan tanya soalan seperti itu tapi lama-lama saya fikir yang baik-baik, minta mereka doakan saja. Percayalah dengan rezeki Allah, positif, sabar.”
Ika juga sedang merancang anak ke dua selepas ini sementelah Noah pun sudah besar dan Ika mahu memberikan adik kepadanya. “Masanya sudah sampai dan inilah adalah waktu paling sesuai untuk besarkan keluarga.”
“Kepada wanita yang sedang berdepan situasi yang sama dengan Ika, Ika mendoakan anda semua diberi kekuatan dan dimakbulkan doa satu hari nanti. Insya Allah...”