Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
gaya hidup

Isu Kemanusiaan – Bukan Untuk Diperdagangkan Atau Jadi ‘Content’ Tagih ‘Likes, Views’. Niat Perlu Ikhlas KeranaNya.

Huda Hussain 21/07/2021 | 14:47 MYT
Umum mengetahui isu yang sedang hangat bertebaran di laman sosial mahupun laman berita online. Kemelut dan isu berbangkit antara Caprice dan Ustaz Ebit Lew pada awalnya hingga membawa kepada pendedahan eksklusif saudara Nadir Al-Nuri cukup menggegarkan semua. Bukan niat penulis berpihak kepada sesiapa kerana maklum pasti pembaca dapat menilai dan masing-masing punya pendapat tersendiri. Apabila kebenaran dibongkar, maka lenyaplah segala kemusykilan dan tanda tanya sebelum ini. Maka, tunggu saja semua itu.
Berbicara mengenai isu kemanusiaan, banyak perkara yang perlu diperhalusi dan diteliti. Benar, niat untuk membantu itu baik dan amat digalakkan kerana membantu orang yang dalam kesusahan besar ganjaran pahalanya disisi Allah. Bahkan ia memang dianjurkan dalam mana-mana agama sekalipun untuk kita terus berbuat baik dan menyebarkan kebaikan sesama insan.
Kredit Foto: Google
Niat Itu Perlu Jelas
Sungguhpun begitu, sebelum pergi lebih jauh tanya dahulu pada diri. Apakah kita benar-benar ikhlas melakukannya kerana mengharap keredaan Allah, mengejar pahala dan mengumpul saham akhirat atau semata-mata dilakukan kerana si fulan dan si fulan, mengharapkan pulangan, balasan dan keuntungan. Pendek kata, mengharapkan sesuatu disebaliknya. Pastikan jelas semuanya. Lebih-lebih lagi jika ia berkaitan dengan kerja-kerja kebajikan, kemanusiaan. Besar tanggungjawab dan amanah yang dipikul dan tergalas dibahu sesiapa yang melakukannya.
Ikhlas Lillahitaala
Sabda Baginda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: Sesungguhnya setiap perbuatan tergantung niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya kerana (ingin mendapatkan keridhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keredaan) Allah dan Rasul-Nya. Dan siapa yang hijrahnya karena menginginkan kehidupan yang layak di dunia atau karena wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia niatkan. (Hadis Riwayat Bukhari)
Kredit Foto: Google
Menurut perkongsian Ustaz Don Daniyal Biyajid menerusi sesi rakaman zoom bersama penulis baru-baru ini ada mengupas mengenai tingkat keikhlasan dalam Islam. Menurut Imam Al Ghazali juga berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW, tingkat keikhlasan ini terbahagi kepada tiga jenis.iaitu:
  1. Ikhlas Seorang Hamba
Seorang hamba ini dimiliki oleh tuannya. Jadi dia sentiasa takut kepada tuannya. Dia buat pun sebab dia takut tuan dia akan memarahinya, akan memukulnya, tuan dia kurung hingga tak berinya makan dan sebagainya. Dan kerana dia takut maka dia taat kepada tuannya. Maka ini juga dikatakan ikhlas oleh Imam Al Ghazali tetapi ikhlasnya adalah seorang hamba yakni tahap ikhlas yang paling rendah. Kita pun mungkin ada ikhlas tahap ini.
  1. Ikhlas Saudagar
Ia seperti orang yang berdaang, ada urusan untung dan rugi. Contohnya kata Ustaz Don, “Kalau ada untung aku buat. Kalau tak ada untung kira…hmmm berat jugalah. Saya kalau buat dapat apa? Kalau saya terima kasih pada orang, Allah bagi balasan tak pada saya?” terangnya memberi penjelasan mengenai konsep ikhlas saudagar ini. Kalau begini kata Imam Al Ghazali, ia tetap berada pada tangga keikhlasan juga tetapi ia hanya keikhlasan saudagar sahaja.
  1. Ikhlas Kekasih
Tahap keikhlasan ini adalah tingkat ikhlas paling tinggi yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW ketika Siti A’aisyah RA bertanya kepada Nabi, “Ya Rasulullah, kenapa sembahyang sampai bengkak-bengkak kaki? Bukankah Nabi diampunkan dosa dahulu dan dosa yang kemudian?” Jawab Baginda, “Wahai isteriku A’aisyah, salahkah aku menjadi hamba yang bersyukur”. Maknanya, salahkah Baginda berbuat sesuatu yang Allah suka. Kita doa sama-sama supaya kita boleh berusaha untuk capai tahap keikhlasan ini.
Kredit Foto: Google
Untuk disesuaikan dalam konteks ini, penulis ingin memetik apa yang dikongsi Ustaz Don lagi. Ujarnya, “Ini slot yang lebih gerun sedikit. Dalam satu hadis Nabi pernah berkata kepada kita semua. Ini berkaitan dengan kita beri sedekah kepada orang, kita mengajar orang ilmu dan yang berkorban duduk dibarisan hadapan. Ini semua termasuk dalam hadis Nabi. Apa kata Nabi? Sampai di akhirat nanti, tiba-tiba diseru nama orang yang ada ilmu. Kata malaikat, wahai orang yang berilmu masuklah kamu ke dalam neraka. Terkejut dia namanya masuk dalam neraka. Dia bertanya Ya Allah kenapa aku dimasukkan dalam neraka? Dan semua dialog ini Nabi ada menceritakan dalam hadis. Kata Malaikat, kamu siapa? Jawabnya, saya seorang guru yang mengajar di atas muka bumi. Lalu Malaikat bertanya lagi, apakah sebab kamu mengajar? Jawab si fulan ini “Saya mengajar ikhlas kerana Allah Taala.” Pintas Malaikat, “Bohong! Kamu mengajar sebab kamu mahukan orang berkata kamu ni alim. Masuklah kamu dalam neraka”.
Kredit Foto: InTrend Malaysia
Tiba pula giliran kelompok kedua, orang yang beri sedekah, NGO dan sebagainya. Sebab itu kita pesan, sesiapa yang nak buat NGO berhati-hati kerana hadis Nabi ini ada menyebut tentang golongan ini. Dan kita perlu beringat sesama kita. Jelas Ustaz Don lagi, “Saya ada NGO saya, setiap kali ada event sedekah kita nak buat, kita peru beringat sama-sama. Jangan kita termasuk dalam golongan ini. Sama juga perihalnya kalau kita nak sedekah secara peribadi. Beri sedekah banyak, tahu-tahu Allah panggil namanya. Yang beri sedekah nama sekian sekian, masuklah kamu ke dalam neraka. Terkejut dia lalu mempersoalkan kenapa aku dimasukkan ke dalam neraka? Lalu malaikat bertanya, siapakah kamu? Jawabnya penuh yakin ‘Saya ni di atas muka bumi, banyak beri sedekah kepada orang. Patang orang minta saya bagi. Tanya Malaikat lagi, kamu beri sebab apa? Saya beri ikhlas kerana Allah Taala. Bohong! Kamu tolong orang sebab nakkan orang berkata kamu ini pemurah. Masuk kamu dalam neraka!
Kredit Foto: Google
Sampai pula giliran ketiga, yang berjihad di jalan Allah, kata Malaikat masuklah kamu ke dalam neraka. Terkejut mereka lalu bertanya kepada Malaikat kenapa mereka dimasukkan ke dalam neraka. Tanya Malaikat, siapakah kamu? Jawab mereka, kami yang berjihad di jalan Allah. Malaikat bertanya lagi, kamu berjihad sebab apa? Jawab mereka lagi, kami berjihad kerana Allah. Bohong! Kata Malaikat kamu buat sebab nakkan orang ramai berkata kamu ini hero. Kamu buat sebab mahukan orang berkata kamu ini handal. Lalu masuklah kamu ke dalam neraka.
Tidak adalah sesuatu yang kita bercakap melainkan ada Raqib dan Atid yang menulis setiap amalan kita. Allah berfirman yang bermaksud, Bagi kamu ada malaikat yang menjaga kamu. Apa yang kamu lakukan, mereka akan mencatat.
“Di hari akhirat nanti boleh kita lawan mereka? Kamu bohong, jawab Malaikat. Jadi marilah kita sama-sama berdoa supaya janganlah kita termasuk dalam golongan ini. Penat kita kerja didunia, penat kena godam di hari Akhirat. Rugi dan sia-sia sahaja,” hurai Ustaz Don mengakhiri perbualan. Maka dalam konteks ini, menjadi kewajaran bagi kita semua untuk mengambil iktibar untuk dijadikan pedoman, rujukan dan panduan. Betapa pentingnya kita perbetulkan niat dalam mencari keredaan Allah.
#Agama #Kebajikan #Kemanusiaan
;