gaya hidup
“Jangan Jauhi Tuhan Setelah Berbuat KESILAPAN, Juga Usah Dihebahkan Kepada Sesiapa” – Ustaz Haris Ismail
Kita bukan manusia sempurna, jauh sekali bersifat maksum seperti para Nabi. Justeru, manusia dan kesilapan sentiasa beriringan dalam mengharungi hidup di dunia ini. Dalam sedar dan tidak, banyak kesalahan yang telah dan akan kita lakukan.
Jika kita tersedar daripada kekhilafan itu, segeralah memohon ampun, jangan dilengah-lengahkan untuk kembali ke pangkal jalan kerana ajal maut tiada siapa mampu menduga. Jangan fikir kita masih punya masa untuk bertaubat.
Menerusi perkongsian Ustaz Haris Ismail di akaun Instagramnya perihal melakukan kesilapan ini, katanya Islam tidak bersikap zalim. Malah, Islam meraikan mereka yang pernah melakukan kesilapan dengan syarat mahu bertaubat.
Sabda Rasulullah, “Tiap-tiap anak Adam membuat kesilapan, dan yang paling baik antara mereka yang melakukan kesilapan ini adalah mereka yang bertaubat.”
Ujar Ustaz Haris, “Taubat ada banyak cara dalam Islam dan taubat yang taubat itu ialah taubat nasuha. Namun, ia harus dilakukan dengan kesungguhan untuk tidak lagi mahu mengulangi kesilapan itu, tetapkan hati untuk perkara yang benar.”
Paling utama katanya lagi, janganlah berasa sedih atau jauh daripada agama kerana agama sendiri ingin kita kembali saat hamba Nya melakukan kesilapan.
“Ingat juga, jangan sesekali diceritakan kesilapan yang pernah kita lakukan itu kepada sesiapa pun demi menjaga aib sendiri. Apa yang lepas, biarkan ia berlalu. Mintalah ampun kepada Allah SWT dan semoga Dia memilih kita sebagai orang yang baik untuk menuju syurga Nya,” Akhiri beliau.