gaya hidup

Kajian Kata Ibu Yang Mahu Kekal Cantik Hanya Perlu Ada DUA Anak – Tapi Ada Je Ibu Anak Ramai Masih Bergaya, Kan?

Afiza Kamarulzaman
22/11/2021
11:09 MYT
Sponsor Banner
Kajian Kata Ibu Yang Mahu Kekal Cantik Hanya Perlu Ada DUA Anak – Tapi Ada Je Ibu Anak Ramai Masih Bergaya, Kan?
Memetik rencana daripada laman sesawang, my.theasianparent.com, terdapat satu kajian yang dijalankan di Jagiellonian University, Poland menyatakan bahawa; jika wanita ingin kekal muda dan cantik, anda perlu mempertimbangkan untuk memiliki keluarga yang kecil.
Ini disokong oleh kenyataan pengkaji American Journal of Physical Anthropology yang menyatakan; “Wanita yang melahirkan sedikit anak sering dilihat lebih menarik, muda dan sihat berbanding ibu ramai anak. Dalam kajian kami, ibu yang ramai anak (tujuh ke sembilan orang) mendapat markah lebih rendah untuk setiap kategori.”
Malah, katanya lagi, ibu yang mempunyai ramai anak sering kelihatan kusut dan ‘tidak bergaya’.
Jadi, Berapa Anak Yang Disarankan?
Kita tidak perlu mempercayainya. Tetapi ia sekadar kajian yang dilakukan secara rambang. Dan, mereka mendapati wanita yang ingin kekal cantik dan bergaya dilihat sesuai mempunyai hanya dua orang anak.
Bunyinya mungkin agak tidak masuk akal kerana bagaimana bilangan anak menentukan seseorang itu mampu kekal cantik dan tidak? Itu juga yang bermain di fikiran penulis.
Namun, sekali lagi diingatkan ia sekadar kajian rambang yang mungkin dilakukan dalam kelompok yang kebetulan memberikan hasil kajian sebegitu. Mungkin ada ramai saja ibu-ibu di luar sana yang mempunyai anak yang ramai (lebih daripada dua orang) masih mampu kelihatan cantik dan bergaya.
Cuma, berfikir secara logik, faktor masa dan komitmen mungkin menjadi dorongan utama untuk ibu mempunyai masa memikirkan soal kecantikan dan kekemasan diri. Tidak dinafikan ibu yang ramai anak menuntut lebih banyak masa menguruskan rumahtangga sehingga tidak sempat untuk membelek diri sendiri.
Terpulang Pada Bagaimana Ibu Menguruskan Kehidupan?
Penulis lebih tertarik dengan kenyataan begini. Seseorang wanita itu kalau sudah biasa berdandan dan memang seorang yang menitikberatkan soal kecantikan, pasti mampu curi masa untuk membelek diri walau dihambat kesibukan menguruskan anak yang ramai.
Ada sahaja ibu yang mempunyai anak yang ramai mampu menguruskan diri sendiri dengan baik malah kelihatan lebih cantik dari zaman anak daranya. Begitu juga sebaliknya, ada ibu yang mempunyai seorang anak pun tidak mampu bergaya cantik.
Kenyataan ini juga bergantung dengan bagaimana rutin harian ibu itu. Adakah dia mempunyai pembantu atau orang gaji di rumah? Adakah suaminya seorang yang rajin membantunya menguruskan anak-anak?
Jika ini menyokong kehidupan si ibu, maka tidak hairanlah jika ibu yang beranak ramai masih mampu untuk bergaya dan tampil cantik.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar