Highlights
Kalau Hilang Barang Di Jepun, Anda Masih Boleh Jumpainya Semula. Tapi Kalau Disini… Fikir-Fikirkan
Tertarik dengan perkongsian seorang pengguna Facebook, Zunita Ramli seorang rakyat Malaysia yang kini menetap di Jepun, membuatkan penulis terpanggil untuk berkongsi kisah yang sama untuk tatapan pembaca. Mengenai kisah rakyat Jepun untuk kita teladani bersama. Semua maklum mengenai sikap dan sifat rakyat Jepun yang amat menitikberatkan disiplin dalam menjalani kehidupan mereka. Sedari kecil lagi, anak-anak mereka sudah terdidik dengan pematuhan arahan. Baik dari aspek kebersihan, etika, adab sopan dan lain-lain.
Malah kita juga pernah melihat pelbagai dokumentari dan paparan video bagaimana betapa disiplinnya mereka menjaga alam sekitar. Hinggakan sukar untuk ditemui sampah sarap di kaki lima. Ia antara contoh sikap dan habit mereka yang sewajarnya dijadikan insprasi dan ikutan. Antara catatan dan perkongsian Zunita adalah sikap jujur rakyat Jepun apabila tertinggal barang di tempat awam.
Kredit Foto: Facebook Zunita Ramli
Tertinggal Barang Di Tempat Awam? Jangan Risau, Boleh Dapatkannya Semula
Apa akan jadi kalau korang tertinggal barang berharga macam wallet di tempat awam seperti dalam keretapi di Jepun? InshaAllah, peluang untuk dijumpai semula adalah lebih 90%. Betul, pergi je ke kaunter “Lost & Found” atau ke kaunter stesen dan buat laporan barang yang hilang tu, inshaAllah barang korang ada kat sana.
Mengikut statistik, pada tahun 2017 sahaja, kaunter “Lost & Found” di stesen keretapi menyimpan lebih 900,000 barang yang tidak dituntut termasuk wallet, iphone, cermin mata gelap dan sebagainya untuk wilayah Tokyo sahaja. Ni tak termasuk wilayah lain kat Jepun tau.
Kebiasaannya, pada hari hujan secara purata 3,000 kaki payung yang tertinggal dijumpai dalam satu-satu hari di wilayah Tokyo. Ini menjadikan pusat penyimpanan barang tidak dituntut terpaksa mengkhaskan 660m kaki persegi untuk simpanan payung sahaja!
Kredit Foto: Facebook Zunita Ramli
Oleh kerana bilangan barangan yang tak dituntut semakin meningkat, pusat penyimpanan Lost & Found terpaksa diubah-suai menjadi 6 tingkat bangunan, hanya untuk menyimpan barang yang tak dituntut! Dan bilangan ini semakin bertambah dari hari ke hari..
Sistem Efisien Kaunter Lost & Found Di Jepun
Jadi bagaimana pihak terlibat menguruskan barang yang tak dituntut yang semakin banyak ini?
1. HUBUNGI AHLI KELUARGA/ TUAN PUNYA
Jika mereka mempunyai maklumat keluarga seperti dalam wallet atau telefon yang tertinggal, pihak polis akan menghubungi keluarga atau tuan punya barang. Tetapi terdapat juga kes walaupun telah dihubungi, masih tidak dituntut. Hmmm..
Kredit Foto: Facebook Zunita Ramli
2. JUALAN “TETSUDOU WASUREMONO”
Jika setelah beberapa jangka masa yang lama, barang masih tidak dituntut, pihak “Lost & Found” akan membuat jualan yang dipanggil “Tetsudou Wasuremono” atau “Barangan yang Terlupa di dalam Keretapi” di stesen-stesen keretapi kebiasaanya. Barang-barang ini dilelong serendah ¥60 (RM2.40).
3. JUALAN PUKAL
Jualan secara pukal juga lazim dilakukan bagi mengosongkan ruang simpanan dengan cepat. Ada juga barang-barang ini dieksport ke negara luar dan dijual sebagai barang 'second hand'.
Kredit Foto: Facebook Zunita Ramli
Pengurusan yang cekap sangat penting untuk menguruskan beratus ribu barang yang tak dituntut dan semakin bertambah...Complicated juga kan nak uruskan barang yang tak dituntut ni? Di sini kita boleh tengok waima sebatang pensel yang dijumpai pun akan dipulangkan ke tempat “Lost & Found”. Tapi sebenarnya dalam Islam itu sendiri ada diajar benda ni.. Jujur. Tapi itulah. Hmm.
Bukanlah bermakna penulis mahu mengagungkan sikap yang sudah menjadi budaya dalam kalangan rakyat Jepun. Tetapi sewajarnya kita harus jadikan iktibar dan ikutan. Apa jua perkara yang membawa kepada kebaikan, tiada salahnya untuk kita ikut. Malah takkan rugi sekiranya kita cuba adaptasi dan praktikkan dalam kehidupan seharian. Semoga perkongsian ini membuka mata dan minda kita untuk lebih jujur, berintegriti dan amanah dalam apa jua yang dilakukan.