Highlights

“Kalau Tuhan Kata Kita Boleh Pilih Kanser, Kita Patut Pilih Kanser Prostat. Sebab…” Dato’ Sri Nazir Razak

Huda Hussain
17/11/2020
15:00 MYT
Sponsor Banner
“Kalau Tuhan Kata Kita Boleh Pilih Kanser, Kita Patut Pilih Kanser Prostat. Sebab…” Dato’ Sri Nazir Razak
InTrend berkesempatan menemubual secara eksklusif bersama Dato’ Sri Nazir Razak sempena Kempen Kesedaran Kanser Prostat. Beliau yang turut diundang sebagai salah seorang tetamu rancangan Tanya Doktor musim terbaru, tidak lokek berkongsi kisah disebalik penyakit ini. Biarpun terkejut pada awalnya kala dimaklumkan doktor, namun sikap keterbukaan beliau selain positif melawan kanser prostat cukup dikagumi. Ketepikan seketika soal malu, beliau kini tampil untuk membantu orang ramai selain menyuntik kesedaran mengenai pentingnya ia dikesan lebih awal.
Kredit Foto: Ideaktiv
Boleh Dato’ Sri ceritakan bagaimana Dato’ Sri menyedari akan penyakit ini pada peringkat awalnya? Mungkin ada simptom-simptom? Semuanya bermula pada Oktober 2018. Penasihat kewangan saya menasihatkan saya untuk membeli satu produk insurans. Tetapi katanya saya perlu melalui pemeriksaan perubatan. Pada saya ia tidak memberi apa-apa masalah kerana pada masa itu memang saya sihat walafiat. Apabila pemeriksaan dijalankan, salah satu peringkat ujian adalah PSA test (Prostate-Specific Antigen, cancer marker) untuk memeriksa kelenjar prosatat. Tetapi skornya tinggi dan doktor memberitahu saya disyaki menghidap kanser prostat. Kemudian, saya sekali lagi menjalani pemeriksaan seterusnya iaitu menerusi ujian MRI. Hasil ujian MRI mendapati memang ada imej seperti kanser prostat dan saya perlu menjalani proses biopsi pula untuk pemeriksaan selanjutnya. Keputusan ujian biopsi mengesahkan bahawa memang saya menghidap kanser prostat tahap dua ketika itu.
Selepas itu, apa rawatan susulan yang Dato’ Sri lakukan? Pada bulan Disember 2018, selepas keputusan biopsi diterima dan analisa secara terperinci dibuat oleh doktor mendapati kanser yang saya alami agak agresif. Ada scoring system dilakukan iaitu gleason score yang menunjukkan skor kanser dari satu hingga 10. Dan kanser saya berada pada skor sembilan. Menurut doktor yang merawat, kalau prostat itu tidak dikeluarkan sekarang ia boleh merebak ke kawasan lain pula. Sebab nak elakkan kanser merebak pada tahap advance stage, selepas itu saya terus jalani pembedahan untuk membuangnya. Alhamdulillah setelah selesai pembedahan, saya melalui proses pemulihan hinggalah kini pulih daripada kanser prostat.
Kredit Foto: Ideaktiv
Selepas diberitahu oleh doktor tentang kanser tersebut, apa perasaan Dato’ Sri waktu itu? Apabila diberitahu ia adalah kanser, memang saya risau dan terkejut. Tapi perkara pertama yang saya buat adalah lakukan research sendiri. Selepas meneliti semuanya tentang penyakit ini, saya agak yakin ia masih berada diperingkat awal dan keduanya memandangkan dapat kenal pasti lebih awal maka Insya-Allah boleh pulih sepenuhnya.
Bagaimana respond isteri, keluarga dan rakan-rakan apabila mengetahui tentang penyakit Dato’ Sri itu? Semua terkejut. Isteri turut menemani saya waktu itu, kami sama-sama pergi berjumpa doktor. Katanya sambil memegang tangan saya, “Kita akan menang”. Alhamdulillah dia sangat positif dan memberi galakan sepenuhnya serta yakin saya akan pulih. Lagipun saya tak beritahu kepada ramai orang. Hanya keluarga dan rakan rapat sahaja. Syukur Alhamdulillah semua memberi kata-kata semangat dan selalu beri sokongan positif kepada saya. Pada saya ia amat penting kerana apabila minda kita positif, ia secara tak langsung memberi isyarat badan kita juga akan memberi tindak balas yang sama. Kita boleh melawannya.
Kredit Foto: IG Dato' Sri Nazir Razak
Apa yang orang perlu faham tentang kanser prostat ini terutamanya lelaki? Saya pernah dengar, ada orang sebut bahawa kalau Tuhan kata kita boleh pilih kanser satu, kita patut pilih kanser prostat. Sebabnya, kalau kita dapat kesan dengan awal memang boleh buat full recovery. Tapi yang pentingnya, ia perlu dikesan secara awal. Jadi untuk para lelaki, saya selalu kata kalau berusia lebih 50 tahun amat digalakkan untuk melakukan PSA test tiap-tiap tahun. Kalau ada simptom juga, amat digalakkan untuk melakukan pemeriksaan. Antara simptomnya seperti apabila kerap membuang air, ataupun ketika di kamar tak boleh perform dan tanda-tanda lain memang disarankan untuk buat ujian dengan segera.
Orang selalu menganggap penyakit kanser tiada harapan, komen Dato’ Sri? Kalau kita dapat kesan awal, memang banyak harapan. Contohnya melalui pengalaman saya sendiri, Alhamdulillah dengan pertolongan doktor dan ia dapat dikesan lebih awal. Syukur semuanya okey dan saya kembali sihat.
Bagaimana Dato’ Sri positif dalam melalui detik sukar itu? Dan terus kuat untuk menjalani setiap rawatan? Pertamanya kita perlu dengar apa kata doktor dan sentiasa positif. Kemudian yang pentingnya, proses pemulihan itu sendiri dirumah selepas menjalani pembedahan. Memang kita perlu ikut apa arahan doktor. Misalnya dari segi senaman seperti pelvic exercise, maklum sajalah ini berkaitan dengan tubuh kita. Jadi perlu buat. Begitu juga dengan pemeriksaan susulan. Pendek kata, jangan memandai-mandai.
Kredit Foto: Google
Ada yang suka memilih rawatan alternatif kerana takut untuk melalui rawatan biopsi dan sebagainya dengan alasan takut ia lebih sakit atau memburukkan lagi keadaan. Pendapat Dato’ Sri? Memang kita kena ikhtiar tapi bagi saya lebih elok kalau dapatkan pandangan doktor terlebih dahulu.
Bagaimana tergerak hati Dato’ Sri untuk berkongsi pengalaman ini dengan orang ramai? Sebab tak ramai dalam kalangan kita yang berbual dan berkongsi tentang topik ini. Pertamanya malu kerana ia melibatkan fungsi seksual tapi sebab saya lihat ini adalah peluang kedua. Kerana saya seorang survivor dan saya rasa memang perlu dan patut untuk saya tolong orang lain di luar sana supaya mereka juga boleh survive. Kalau kita tengok data sekarang, di Malaysia sebanyak 60 peratus orang yang mendapat kanser prostat dikesan pada masa yang lewat. Manakala di negara lain kebanyakannya cuma 20 atau 25 peratus sahaja. Jadi kalau difikirkan kenapa lewat sebab orang tak tahu dan orang tak bercakap pasal penyakit ini. Maka saya fikir, saya patut keluar dan bercakap mengenainya. Dan dengan harapan orang lain juga yakni survivor seperti saya turut sama bercakap dan bantu sebarkan mesej untuk mengesan penyakit ini lebih awal.
Nasihat Dato kepada pesakit kanser prostat di luar sana untuk terus cekal dan positif? Kalau anda diberitahu menghidap kanser, kita perlu sentiasa positif dan lakukan research sendiri. Pengetahuan itu penting kerana semua kanser ada rawatannya sendiri, Insya-Allah. Cuma kita kena ikhtiar dan sentiasa positif.
Jangan ketinggalan untuk mengetahui butiran lanjut kisah perkongsian Dato' Sri Nazir Razak serta banyak isu kesihatan dalam rancangan Tanya Doktor musim terbaru yang akan menemui penonton pada 16 Disember 2020 setiap Rabu jam 9 malam di Astro Prima.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar