gaya hidup

Kasihani Juga Mereka Yang Uruskan Jenazah Covid-19, Kalau Tak Kuat, Boleh Rebah. Terima Kasih!

Huda Hussain
03/06/2021
15:35 MYT
Sponsor Banner
Kasihani Juga Mereka Yang Uruskan Jenazah Covid-19, Kalau Tak Kuat, Boleh Rebah. Terima Kasih!
Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) adalah sebuah pertubuhan NGO pengurusan jenazah profesional yang menyediakan perkhidmatan menguruskan jenazah 24 jam di seluruh Malaysia. Bukan sahaja membantu menguruskan jenazah Muslim tempatan dan warga asing, mereka turut melakukan pengurusan jenazah bukan Muslim juga jenazah warga Malaysia di luar negara.
Dan sejak penularan wabak ini tahun lalu, SPJM turut tampil membantu waris pesakit Covid-19 menyempurnakan fardhu kifayah ini. InTrend Malaysia berkesempatan mengikuti siaran Live yang disiarkan di Facebook SPJM. Pengerusi Eksekutif SPJM, Ustaz Rafieudin Zainal dalam sesi selama 50 minit itu berkongsi mengenai prosedur dan cabaran sebenar yang dilalui sepanjang setahun lebih menguruskan jenazah pesakit Covid-19. Mereka juga barisan hadapan kita yang berisiko dijangkiti bila-bila masa sahaja. Namun semua itu diketepikan seketika demi perjuangan menyempurnakan tugas dan tanggungjawab fardhu kifayah ini. Ini perkongsiannya.
Kredit Foto: IG SPJM.Official
4 Rukun Fardhu
  1. Memandikan yakni meratakan air ke seluruh anggota badan sehingga terangkat hadasnya, menyucikan dari kotoran, najis dan sebagainya.
  1. Akan dikafankan yakni menutup aurat dengan sempurna sebaiknya dengan kain kafan berwarna putih.
  1. Solat jenazah empat takbir. Solat boleh berulang kali misalnya bagi yang tidak sempat sehingga kalau jenazah sudah dikebumikan masih boleh buat solat ghaib.
  1. Pengebumian jenazah. Nabi sebut segerakan pengurusan dan pengebumian jenazah ini. Jangan kita lewatkan tiga hal kata Nabi Muhammad SAW. Pertama bila masuk waktu solat dan tiada urusan penting, segerakanlah solat. Kedua apabila ada anak perempuan kita yang sudah cukup umurnya, telah berjumpa jodohnya segera kita kahwinkan. Dan ketiga apabila ada kematian, segera kita uruskan pengebumiannya. Jangan ditangguh. Maknanya, apa yang Nabi SAW tekankan disini adalah pengembumian ini sama macam keperluan kita menyegerakan solat.
Prosedur Menguruskan Jenazah Covid-19
Kaedah Tayammum
Apabila berlaku kematian pesakit beragama Islam akibat Covid-19, para alim ulama yang terdiri dalam kalangan mufti dan sebagainya membincangkan secara khusus bagaimana pengendalian jenazah. Setelah mendapatkan pandangan daripada pakar-pakar misalnya KKM, MKN dan sebagainya mereka memutuskan bahawa jenazah diuruskan dengan cara tayammum sahaja.
Kredit Foto: Google
Jenazah tidak boleh dimandikan atas faktor risiko jangkitan. Apabila berlaku kematian pihak yang mengendalikan jenazah perlu memakaian sut lengkap PPE. Dan maklum sajalah, bila pakai PPE dan kalau duduk ditengah panas tuan-tuan boleh bayangkanlah macam duduk dalam oven panasnya. Allahu Akbar. Dan apabila tak boleh nak mandikan jenazah, maka digantikan dengan tayammum. Kaedah yang sama diaplikasi semasa pandemik wabak ebola dahulu. Apabila diputuskan cara tayammum:
  1. Jenazah Covid-19 tak boleh disentuh langsung atas permukaan wajahnya.
  2. Memakai dua lapis gloves (bahagian dalam dan luar)
  3. Jenazah dimasukkan ke dalam body bag mayat. Sama ada sudah dipakaikan pakaian, atau pihak hospital sudah letakkan jenazah dalam kain untuk menutup aurat (itu mengikut cara pengendalian daripada pihak hospital).
  4. Terus disanitasi bahagian atas dan bawah. Kemudian body bag kedua disanitasi sekali lagi kemudian barulah diurus pasukan pengurusan jenazah.
Cuma bezanya tak boleh ada sentuhan langsung ke muka jenazah. Walaupun pakai gloves tapi tak boleh sentuh muka jenazah hanya tayammum atas body bag sahaja. Menyapu debu tanah hanya tiga tempat sahaja iaitu muka, tangan kanan hingga ke siku dan tangan kiri hingga ke siku. Bagi kes Covid- 19, kita raba-raba sikit atas body bag, tepuk tangan kemudian tayammum pada tangan kanan dan kiri hingga ke siku.
Kredit Foto: Google
Selesai tayammum, kemudian jenazah terus disolat. Ada sesetengah tempat, mereka akan kafankan dahulu jenazah selepas body bag dimasukkan. Tiada masalah selagi jenazah masih berbalut body bag tadi. Siapa yang uruskan tayammum ini? Pihak yang dilantik oleh KKM atau daripada Jabatan Agama, hospital. Asalkan dipantau oleh Inspektor Kesihatan (PKD).
Dah selesai tayammum solat dengan memakai PPE, ahli keluarga yang tak dapat turut serta boleh lakukan solat jenazah ghaib. Selesai solat, jenazah akan disanitasi sekali lagi. PPE yang dipakai tadi tak boleh dibuang sewenangnya. Ada prosedur dan kaedah perlu dipatuhi dan diletakkan dalam beg plastik khas. Waris masih boleh menaiki van jenazah dengan syarat perlu pakai PPE dan maklumkan kepada pihak pengurusan jenazah dan Inspektor Kesihatan.
Masa Selepas itu pihak pengurusan jenazah tak boleh terus urus jenazah. Semasa nak tuntut jenazah, kami perlu dapatkan kebenaran atau keizinan daripada pihak tertentu untuk tentukan nak kebumi di mana. Bukan seperti jenazah dah siap diurus, dalam perjalanan baru nak maklumkan nak ditanam di mana. Tidak. Tetapi dimaklumkan lebih awal. Hal ini bergantung kepada pihak pengurusan tanah perkuburan. Misalnya pukul berapa boleh sediakan tanah kubur. Contohnya si fulan orang KL nak kebumi di Raudhatus Sakinah, Jalan KL-Karak.
Kredit Foto: IG SPJM.Official
Sebelum tu kami perlu dapatkan permit kubur, pergi ke tanah kubur buat tempahan untuk slot itu. Katakanlah, kami pukul 3 petang boleh terima jenazah. Sekarang baru pukul 11 pagi, jadi kami perlu ikut waktu pihak tanah kubur. Di pihak kami pula, kita kena awalkan sebab timing berbeza kerana terikat dengan banyak pihak. Misalnya pihak tanah perkuburan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) pukul berapa mereka boleh hantar wakil untuk uruskan dan pantau jenazah tadi. Makanya perihal seperti inilah yang perlu dipertimbangkan.
Dan dalam contoh kes ini, kami akan berhubung dengan pihak hospital dan maklumkan akan datang pukul 2 petang. Kemudian kami akan lakukan prosedur tayamum dan sebagainya hinggalah selesai pengurusan di hospital dan kami akan bawa jenazah dan sempurnakan ke liang lahad.
Penglibatan Waris Prosedur dalam untuk tayamum hanya perlu memakai PPE yang lengkap. Ada yang bertanya waris boleh uruskan tak? Boleh, tiada masalah tapi perlu maklumkan kepada Inspektor Kesihatan dari PKD atau pengurusan jenazah untuk bantu. Kami akan pantau, pastikan waris memakai PPE, boleh buat pengecaman jenazah boleh buat tayammum.
Cabaran
  1. Waris Positif Perlu Kuarantin, Tak Dapat Bantu Untuk Turut Sama Uruskan
Berhadapan dengan kes-kes yang jenazah positif dan meninggal dan ahli keluarga juga positif (dikuarantin) maka tidak ada ahli keluarga atau waris untuk bantu uruskan jenazah. Lantaran itu diserahkan sepenuhnya kepada pihak pengurusan jenazah. Maka mungkin hal ini ada yang agak mengecewakan waris sebabnya kami perlu lakukan panggilan video.
Bagi kami yang menguruskan jenazah ini perlu menahan sebak. Pengalaman peribadi saya, apabila pihak kami uruskan jenazah minggu lepas kedua-duanya warga emas positif Covid-19 di hospital. Kedua-duanya dimasukkan ke ICU dan suaminya meninggal dunia. Jadi apabila kita nak uruskan jenazah itu, si anak buat panggilan video kepada emak di wad. “Pergilah dulu, nanti saya akan menyusul” kata si isteri ini.
Dan kami pun uruskan jenazah dalam keadaan sebak. Masakan tidak, sudahlah isteri ini tidak dapat jumpa suaminya sepanjang sakit di wad. Kemudian apabila meninggal tak dapat nak uruskan pula jenazah suami. Tak dapat nak cium, anak-anak tak dapat nak peluk. Dan kesudahannya, dua ke tiga hari kemudian, si isteri pula meninggal dunia.
Kredit Foto: Google
Jadi cabaran ini yang kami hadapi untuk berdepan dengan emosi waris dan emosi kami sendiri. Tipulah kalau katakan kita tidak ada sekelumit sedih pun dalam hati bila orang yang kita sayang tak dapat disentuh, dicium, dipeluk di saat-saat terakhir jasadnya di atas muka bumi ini. Allahu Akbar. Cukup perit. Inilah yang kami lalui setiap hari sepanjang menguruskan jenazah pesakit Covid-19.
  1. Cuaca Panas
Apabila tanah kubur yang ketika dalam keadaan cuaca yang panas. Berdasarkan pengalaman saya menguruskan jenazah semasa bulan puasa tahun lepas. Waktu itu kes kematian akibat Covid-19 masih sedikit.
Kes pertama kami uruskan kalau tuan-tuan masih ingat lagi di Kuantan seorang ayah nekad untuk balik ke Kuala Terengganu dari Segamat, Johor dengan berjalan kaki ekoran tiada pengangkutan awam waktu PKP pertama dahulu. Kerana terlalu rindukan anak-anaknya, dia sanggup berbuat demikian. Takdir Allah, dalam perjalanan dia jatuh sakit dan meninggal dunia di Muadzam Shah.
Kredit Foto: IG SPJM.Official
Panik keadaan waktu itu, jenazah siapa terjumpa di tepi jalan. Selepas dibawa ke Hospital Kuantan jenazah disahkan positif Covid-19. Lalu kamu uruskan jenazah, kalau tak silap saya 23 Ramadan tahun lepas. Kami lengkap memakai PPE dan waktu kebumikan jenazah penduduk sekitar masih takut lagi memandangkan kes kematian akibat Covid-19 tidak banyak seperti hari ini. Bahkan penggali kubur pun tak nak bantu tolong kambus tanah. Saya sendiri yang tolong kambus tanah. Sudahlah memakai PPE dari hospital, waktu tengahari panas, bulan puasa pula hinggakan pitam saya.
  1. Emosi Waris
Ada juga waris yang tak dapat terima hakikat jenazah ayahnya meninggal disebabkan Covid-19 dan tak boleh diuruskan secara biasa. Pengalaman kami, waktu awal-awal kes tahun lepas; si anak dah bersedia nak tolong bantu. Jadi kami pakaikan sut lengkap PPE, Inspektor Kesihatan pun pantau dan apabila nak masukkan jenazah ke kubur, tiba-tiba entah kenapa mungkin dia tertekan atau apa, dia koyakkan PPE dihadapan semua yang ada sambil menangis. “Aku benci SOP semua ni” katanya. Dan tidak lama setelah itu, saya mendapat perkhabaran dia positif Covid-19. Cabaran bagi kami untuk tenangkan waris-waris yang sukar terima hakikat bahawa keluarga mereka tak boleh diuruskan dengan cara biasa.
Lalu apa yang kami buat? Kami ceritakan kepada mereka tentang bagaimana orang-orang yang Nabi senaraikan dalam golongan yang mati syahid. Mati syahid ini bukan sahaja gugur di medan perang sebab itu syahid dunia akhirat. Maksudnya jenazahnya tak perlu dimandi dan dikafankan. Bagaimana pakaian yang berlumuran darah itu terus dikebumikan. Tiada solat? Tidak kerana Allah berkata sesungguhny mereka yang mati di jalan Allah, mereka hidup disisi Tuhan NYA, Allahu Akbar.
Kredit Foto: Google
Adapun orang yang mati syahid akhirat ini iaitu golongan-golongan yang mati kerana beberapa perkara yang Nabi SAW sebut dalam sebuah hadis. Orang-orang yang mati kerana:
  • Kebakaran
  • Mati lemas
  • Sakit perut
  • Wabak
  • Dihempap runtuhan
Apabila seseorang itu meninggal dunia asbab positif kerana wabak itu, maka mudah-mudahan dia beroleh pahala syahid akhirat. Apa itu syahid akhirat, apa yang dia dapat? Orang-orang yang apabila di akhirat nanti dia mempunyai laluan khusus, tidak ada hisab padanya dan terus masuk ke dalam syurga Allah SWT. Diampunkan segala dosa-dosanya. Allahu Akbar. Kecuali golongan-golongan yang berhutang.
Apabila kita dah ceritakan tentang syahid kepada waris, Alhamdulillah mereka boleh menerima. Kita doakan yang baik. Sesungguhnya orang yang bersabar ni, darjatnya tinggi disisi Allah. Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar apabila ditimpa ujian, musibah kepadanya mereka berkata sesungguhnya kita semua datang daripada Allah dan kepada Allah jua kita dikembalikan.
Dalam situasi ini, kalau kita redha emak ayah kita meninggal asbab wabak ini Ya Allah, aku redha mereka tak dapat diuruskan seperti biasa, aku redha mereka sekadar di tayamum Ya Allah. Maka apabila kita redha ada hikmahnya sama ada di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.
  1. Tanah Perkuburan
Sebenarnya tanah perkuburan di Malaysia cukup. Tak timbul isu tanah kubur tiada atau tak cukup. Tetapi berlaku masalah apabila nak kebumikan jenazah hari yang sama si fulan meninggal dunia. Contohnya, arwah meninggal hari ini dan keluarga mahu kebumikan hari ini. Tapi tak ada peluang sebab apa? Kerana ada kekangan misalnya dari sudut pentadbiran kubur yang saya sudahpun membuat teguran agar di perbaharui SOP atau apa yang telah ditetapkan selama ini.
Kredit Foto: Google
Apabila ada ahli keluarga kita yang meninggal hari ini, sudah tentulah kita mahu segerakan pengebumiannya hari ini juga. Tetapi ada sesetengah pengurusan tanah perkuburan mereka mempunyai kuota. Kata mereka, “Minta maaf Encik, Ustaz. Kami hari ini dah terima empat kes jenazah Covid-19. Enam kes biasa, jadi total dah 10 kes. Jadi hari ini kami tak terima jenazah Covid. Tunggu esok pula macam mana”
Ada juga berlaku apabila kami nak rujuk ke tanah perkuburan lain, “Oh minta maaf Ustaz. Arwah ni alamatnya di Selangor. Tak boleh nak kebumikan di kawasan kami. Arwah meninggal di Ampang, tak boleh kebumi di Gombak.
Maka hal-hal inilah yang membuatkan kami terduduk dan sedih sampai bila nak berhadapan dengan masalah ini? Sedangkan tular di media sosial betapa banyaknya jenazah-jenazah di hospital sekarang sehingga menyebabkan pihak hospital terpaksa meletakkan kontena untuk menyimpan mayat.
Namun orang ramai tidak tahu isunya berbalik kepada soal tanah perkuburan tadi. Bila mana mereka meletakkan kuota, had waktu pengebumian mengikut waktu pejabat. Misalnya dari jam 9.00 pagi hingga 5 petang. Selebihnya esok baru dikebumikan. Sudah banyak kali kami berhadapan dengan isu ini apabila maklum balas daripada pihak mereka mengatakan sudah penuh kuota. Mana lagi dengan isu tak cukup petugas kubur, isu kariah dan sebagainya. Dan perkara ini memang berlaku di kawasan Lembah Klang. Memang saya berasa amat sedih dan inilah cabaran yang kami tempuhi.
Kredit Foto: IG SPJM.Official
Saya dah suarakan sebelum ini tetapi dek kerana tiada tindakan, maka saya suarakan sekali lagi dan mendapat maklum balas pihak berwajib secara direct. Kata mereka “Insya-Allah Ustaz kita akan perbetulkan perkara ini.”
Jawapan saya selesaikan segera. Dan apa yang saya lakukan ini bukan kerana mahu mencari publisiti, bukan nak tunjuk hebat. Tetapi demi perjuangan menunaikan fardhu kifayah, cari solusi untuk uruskan pengebumian jenazah Covid-19 ini. Jika ada masalah kekurangan penggali kubur misalnya, kita boleh gajikan orang untuk bantu. Atau jika tidak mampu sekalipun, kami di pihak SPJM sedia membantu kerana kami mempunyai ramai sukarelawan yang kalau dimaklumkan lebih awal boleh disediakan tenaga kerja ini.
Pada saya cabaran-cabaran ini boleh diatasi dengan mengubah atau memperhalusi SOP yang ditetapkan. Bentangkan kepada pihak berwajib, Insya-Allah pasti ada solusinya.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar