gaya hidup
Kawan Dan Kenalan Itu Datang Dan Pergi. Tapi Kalau Ada Sahabat Macam Ni, Jaga Sampai Mati.
Huda Hussain
07/12/2021
|
04:15 MYT
Meniti kehidupan sebagai manusia, Allah hadirkan dan pertemukan kita dengan seorang demi seorang. Jika zaman persekolahannya, siapa rakan baik kita, zaman belajar di university hinggalah menempuh alam pekerjaan. Setiap satu fasa kita akan berjumpa, bergaul dan beramah mesra dengan pelbagai ragam dan sifat manusia.
Kalau boleh ‘click’ dan ‘ngam’ hingga bikin apa pun satu kepala maka akan berlanjutan ikatan persahabatan itu. Tidak kurang juga yang Allah takdirkan untuk kita berkenalan dengan seseorang yang berbeza pendirian, sisi lain yang tidak sekufu dengan kita. Kerana apa? Supaya kita belajar.
Bahawasanya manusia ini dinamik sifatnya. Banyak ragam dan fiilnya. Bukan sama dan mendatar sahaja. Penuh warna, suka dan duka. Dan lantaran itu andai kalian punya kawan atau sahabat yang memiliki sifat dan kriteria seperti ini, jagalah ia.
Kredit Foto: Google
- Dia Berani Tegur Kesilapan Kita
Memandangkan usia perkenalan sudah lama, serba-serbi dalam tangan umpamanya; maka pertalian itu sudah bagaikan keluarga walau bukan saudara yang sama darah dagingnya. Dek kerana sayang, mengambil berat dan sentiasa prihatin juga tidak mahu lihat kita jauh tersasar, sahabat kita takkan pernah berasa takut untuk ‘sound’ kita kalau ada yang tak kena pada pandangannya. Untuk apa itu semua? Supaya kita sedar, bahawa selain ahli keluarga ada sahabat yang masih sayangkan kita.
- Datang Bantu Saat Susah
Telefonlah pukul berapa pagi pun, susah macam mana sekali pun dialah yang terawal datang membantu. Dan kita pun tak segan nak minta pertolongan. Sebab apa? Dah rapat sangat, kenal luar dan dalam. Waktu jatuh terduduk, diduga dengan pelbagai ujian kesempitan, tak cukup duit dan macam-macam lagi bentuk kesusahan yang pernah kita tempuh, dia akan sentiasa ada untuk tolong. Bahkan tak berkira untuk hulurkan tangan membantu.
Kredit Foto: Google
- Selalu Beri Nasihat, Semangat
Kita kalau berkawan bukan nak dengar yang baik-baik sahaja. Kerana sifat manusia itu tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Maka perlu ada seorang dua sahabat yang selalu memberi peringatan, kata-kata nasihat dan kobarkan semangat. Waktu kita ‘down’ dialah yang kita cari untuk mengadu domba itu ini. Saat mendengar luahan hati kita, dia ataupun mereka sudah tahu rentak kita. Apa yang sesuai dan terbaik untuk nasihatkan kita. Jadi, berpeganglah dan pelihara tentangnya.
- Hormat Waktu Privasi Kita
Ya, faham kawan baik. Tapi takkanlah sampai tiap-tiap malam lepak di kedai mamak hingga tengah malam, pagi buta dengan kita hingga sanggup ketepikan isteri dan anak-anak. Sahabat yang baik itu tahu bila waktunya nak ‘culik’ kita. Dan faham bila masa kita tak mahu diganggu kerana luangkan masa dengan keluarga. Biarlah seimbang semuanya. Juga sahabat yang baik itu adalah dia atau mereka yang benar-benar memahami kita. Bukannya mahu kita dengar dan ikut cakap mereka saja.
Kredit Foto: Google
- Boleh Dipercayai
Sebut saja nama kita, dia dah tahu semuanya. Apa yang menjadi kepantangan kita, apa yang kita suka dan tidak, apa sebab yang boleh buat kita ‘pissed off, turn off’ dan sebagainya. Segalanya ada dalam genggaman sahabat kita. Tak cukup duit, nak pinjam kereta, rahsia kita semua itu kita tak takut kongsi dengannya. Sebab apa? Kita tahu dia takkan khianati, mungkiri dan paling penting dia memang boleh dipercayai.
- Ikhlas Terima Kita
Baik buruk, kekurangan dan kelemahan; segalanya dia terima dengan berlapang dada dan tangan terbuka. Sama ada waktu kita tiada apa-apa hingga kita berjaya umpamanya; dia tetap ikhlas dan jujur bersahabat dengan kita. Bukan sebab keseronokan, kemegahan, kesenangan semata-mata. Tetapi merangkumi semua yang kita ada.