Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Personaliti

Keluhan PENGASUH – Mak Ayah Hantar Anak Hidung Berkerak, Lampin Bocor Tapi Masa Ambil Dia Nak Anak Wangi Je

Penulis Jemputan 09/02/2021 | 08:11 MYT
Teks: Nor Hatina Shuib
Kita sering mendengar rungutan pengasuh berkenaan sikap segelintir ibu-bapa yang tidak peka, menghantar anak ke rumah asuhan dengan najis masih berada dalam lampin pakai buang dan bersikap selamba menghantar anak tanpa dibersihkan najis atau air kencing terlebih dulu.
Kebanyakan ibu-bapa yang hantar anak ke rumah pengasuh, biasanya sudah membuat perjanjian awal sama ada perlu memandikan anak terlebih dulu, membawa makanan sendiri ke rumah pengasuh atau pun baju dibasuh pengasuh dengan kadar bayaran yang ditetapkan dan dipersetujui kedua pihak.
Namun, dalam bab najis anak yang masih berada dalam lampin pakai buang ketika dihantar pada waktu awal pagi, ia adalah satu nilai moral yang tidak begitu beretika dilakukan kepada pengasuh. Sebagai individu dewasa, perkara ini adalah satu situasi yang tidak sensitif dilakukan kepada orang lain dan sepatutnya tidak berlaku.
Ya, memang benar. Setiap bulan anda akan membayar wang asuhan antara RM 300 sehingga RM 450 untuk seorang anak anda mengikut usia kepada pengasuh.
Tetapi jika dicongak nilai seharian menjaga anak anda, ia hanya RM10 hingga RM15 sehari. Layakkah perbuatan sedemikian? Adakah ini tiket kepada anda untuk memperlakukan pengasuh sedemikian rupa?
Sepatutnya wujud hubungan harmoni, berkasih- sayang dan saling menghormati supaya amanah kita iaitu anak dijaga sepenuh hati. Bagi yang memiliki pengasuh berusia, hormatilah mereka seperti ibu atau kakak sendiri manakala yang memiliki pengasuh lebih muda, hormati mereka seperti adik sendiri.
Percayalah sikap baik anda kepada pengasuh, menghimpunkan rasa lebih bertanggungjawab mereka untuk menjaga anak asuhan sepenuh hati.
Teringat penulis saat menghantar anak pada usia bayi, sedaya upaya mahu memandikan anak sebelum dihantar ke pengasuh. Anak mestilah berbedak wangi, lampin pakai buang ditukar dan barulah perasaan jadi lega dan tenang untuk meninggalkan anak kepada pengasuh.
Jika di pertengahan jalan anak membuang air besar atau kecil, rasa cukup bersalah sangat memandangkan perlu juga meneruskan perjalanan untuk segera ke tempat kerja.
Santuni Pengasuh Umpama Keluarga Sendiri
Disinilah terbentuknya sikap toleransi antara anda dan pengasuh. Mudah saja untuk atasi situasi seumpana ini. Gunakan ayat berhemah dan minta maaf kepada pengasuh dan ceritakan situasi sebenar anda, tentu mereka akan faham. Tidak rugi sedikit pun jika kita menyantuni insan yang menjaga anak kita saat kita keluar bekerja seharian.
Amalan ini perlu dijadikan budaya dalam masyarakat dengan menyantuni pengasuh umpama keluarga sendiri. Jadi, tidak timbullah sesuatu yang tidak diingini saat kita keluar bekerja. Kita perlu ingat, pengasuh juga manusia biasa seperti kita, punya emosi dan batas kesabaran terhad.
Jadi, sebelum berlaku perkara tidak diingini, tanganilah secara bijak dan rasional.
Ini kerana ada juga kes dera berlaku hanya disebabkan perkara yang kita sangkakan remeh temeh ini. Hubungan yang baik jadi tegang kerana pengasuh merasakan anda tidak menghormati mereka dan menganggap mereka seperti ‘kuli’ walaupun mungkin anda sendiri tidak sedari perbuatan anda.
Terlalu banyak aduan kekurangan pengasuh umpama anda ibu sempurna dan terlalu cerewet antara sikap yang perlu diperbaiki.
Akibat pendam rasa, amarah dilepaskan kepada anak. Kita tidak mahu hal ini berpanjangan dan memudaratkan anak. Lebih baik elakkan sebelum menjadi perkara yang bukan-bukan.
Jalinkan Hubungan Harmoni Berteraskan Rasa Hormat
Namun, tidak dinafikan ada ramai ibu-bapa peka kepada budi baik dan jasa pengasuh membantu mereka membesarkan anak saat keluar bekerja.
Daripada hubungan pengasuh bertukar seperti adik beradik sendiri dan adakalanya anak asuhan yang dijaga daripada usia selepas pantang dikekalkan ukhuwah sehingga dewasa.
Tidak kurang ada anak yang memanggil pengasuh mereka ‘emak’, ‘ Ibu” dan’ Mama’ kerana terbit hubungan kasih sayang kepada ibu asuhan mereka. Hubungan ini menjadi erat kerana kita sebagai ibu-bapa memainkan peranan dalam menjalinkan hubungan yang harmoni antara kita, pengasuh dan anak.
Pada masa sama, tidak berkira dengan pengasuh seperti memotong bayaran asuhan jika kita bercuti dan tidak menghantar anak ke rumah pengasuh.
Percayalah, walaupun zahirnya pengasuh akur dengan jumlah duit upah asuhan yang dipotong, ia mewujudkan satu situasi yang tidak sihat dalam hubungan antara anda diaan pengasuh pada hari-hari berikutnya.
Sebenarnya, cukuplah kita melihat anak selesa, ceria, bersih, diberikan makan cukup oleh pengasuh berbanding kita mahu mempertikaikan kenapa pengasuh berkira dengan kita dan merungut apabila anda menghantar anak dengan najis ketika awal pagi sebelum keluar bekerja. Berfikirlah dengan matan g dan jangan dengan emosi.
Semoga anak-anak kita terlindung daripada sebarang bahaya sepanjang kita keluar bekerja dan selamat berada dengan pengasuh. Itu yang paling utama bagi seorang ibu.
Panduan Wujudkan Keharmonian Antara Ibu Bapa dan Pengasuh
Kepercayaaan
Perkara ini paling penting untuk wjudkan hubungan baik antara anda dan pengasuh. Periksa latar belakang pengasuh dan tahap kesihatan mental dengan merisik kepada jiran berdekatan bakal pengasuh.
Sebarang kecurigaan perlu diperiksa terlebih dulu, Ingat, anak akan berada di rumah pengasuh lebih lama berbanding rumah sendiri saat kita keluar mencari rezeki. Apabila hubungan berlandaskan kepercayaan, semuanya berjalan lancar.
Jangan Berkira Wang Ringgit
Setiap bulan, selain membayar upah asuhan, tidak salah anda belikan buah tangan seperti kek, tudung baru atau apa saja untuk mengambil hati pengasuh. Walaupun pemberian kecil, mesti hatinya berbunga-bunga dan merasakan anda menyayangi dia seperti keluarga sendiri.
Namun, bagi ibu-bapa yang tidak gemar melakukan perkara seperti ini, paling tidak pun, janganlah anda memotong bayaran mereka saat anda bercuti ataupun mereka bercuti sehari dua atas urusan kecemasan.
Ini caranya anda menunjukkan sikap tidak berkira anda supaya jika ada kecemasan dan hal penting untuk diselesaikan, anda boleh saja meletakkan anak di rumah pengasuh seketika. Tentu mereka menyambut baik kedatangan anak anda di hujung minggu.
Hormat Menghormati
Bukan saja anda, anak-anak juga perlu diajar cara menghormati ibu asuhan mereka. Sebelum balik, amalkan anak untuk bersalam dan mengucapkan terima kasih sepanjang hari menjaga mereka.
Tentu penat mereka seharian hilang melihat anda benar-benar menghargai mereka sebagai pembantu anda menjaga anak mereka.
Rancang Percutian Bersama
Ramai juga menganggap pengasuh anak mereka sebagai keluarga sendiri. Ada yang membawa pulang ke kampung untuk mengenali keluarga anda dan tidak kurang berkelah atau melancong bersama-sama.
Ini cara terbaik anda merapatkan hubungan sesama anda serta menunjukkan mereka bukanlah pekerja anda tetapi menjadi orang kepercayaan dalam hidup anda saat anda perlu keluar mencari rezeki sepanjang hari. Hubungan terbina ini biarlah berlanjutan dan kekal ukhwahnya.
#Gaya Hidup #Pengasuh #Kasih Sayang
;