gaya hidup

Kempen Bendera Putih Tular Dan Dapat Sambutan, Tanda Solidariti Rakyat Malaysia Sama-Sama Bantu Dalam Kesusahan.

Huda Hussain
29/06/2021
05:53 MYT
Sponsor Banner
Kempen Bendera Putih Tular Dan Dapat Sambutan, Tanda Solidariti Rakyat Malaysia Sama-Sama Bantu Dalam Kesusahan.
Sekejap sahaja ia sudah tular. Tidak dapat dipastikan siapa individu yang memulakannya tetapi usaha dan ikhtiar ini wajar dipuji. Memahami situasi sulit yang berlaku ketika ini, masih ada lagi dalam kalangan kita sentiasa memikirkan apa lagi cara dan kaedah terbaik untuk turut sama membantu. Ya, sifat belas ehsan dan prihatin selain cakna sesama kita masih menebal walau masing-masing diuji.
Kredit Foto: IG Rozita Che Wan
Terpanggil untuk membantu, kini rakyat Malaysia tampil dengan satu kempen yang dipanggil #KempenBenderaPutih. Matlamatnya hanya satu, untuk meminta orang ramai yang dalam kesusahan menaikkan bendera putih sebagai simbolik memaklumkan kepada umum bahawa mereka memerlukan pertolongan.
Daripada gambar yang dikongsi, kebanyakan mereka menyatakan rakyat yang susah tidak perlu berasa malu. Lebih peting lagi adalah untuk mengelakkan daripada melakukan perkara yang boleh merugikan juga memudaratkan diri sendiri dan keluarga.
Kredit Foto: IG Sharifah Amani
Tidak perlu memikirkan soal malu untuk meminta pertolongan kerana hakikatnya apa kita rasai hari ini semuanya sama secara asasnya. Hanya yang membezakan adalah jalan cerita yang dilalui masing-masing. Segenap lapisan masyarakat menyambut baik usaha ini malah selebriti juga tidak terkecuali apabila melakukan perkara sama dengan memuat naik perkongsian ini di laman sosial masing-masing. Inilah antara sikap dan sifat rakyat Malaysia yang wajar dipuji dan diikuti. Hati kita bisa bersatu atas nama keprihatinan dan kemanusiaan.
Kredit Foto: IG Ahmad Fedtri Yahya
Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Selain usaha ini jangan pernah sesekali kita lupa mengikuti apa yang diajarkan agama. Angkatlah tangan, pohon doa seikhlasnya kepada Yang Maha Esa agar diberi kekuatan untuk menempuhi ujian ini. Kerana ujian itu Dia hadirkan tanda kasih dan sayang-Nya kepada kita, tanda Dia mahu kita sentiasa dekatkan diri pada-Nya. Cekalkan hati dan moga yang terbaik Allah gantikan buat semua saat ini. Semoga gerakan dan ikhtiar kita semua untuk turut sama membantu dipermudahkan dan berjalan lancar.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar