Highlights

Kenapa Kita Masih Rasa Tak Ada Baju Walau Almari Dah Sendat? Terus Membeli, Walau Yang Lama Tak Berpakai?

Afiza Kamarulzaman
17/10/2020
04:19 MYT
Sponsor Banner
Kenapa Kita Masih Rasa Tak Ada Baju Walau Almari Dah Sendat? Terus Membeli, Walau Yang Lama Tak Berpakai?
Rasanya kebanyakan wanita memang ada perangai seperti ini. Kalau tidak baju, kasut, atau tudung mahupun beg tangan. Muhasabah diri sekejap. Cuba tenung baik-baik koleksi yang ada. Ada terlalu banyak sehingga hampir runtuh almari dibuatnya. Ada pula sesetengahnya dibeli sudah lama, sehingga kini belum berpakai kerana ‘tidak perasan’.
Kemudian, kita runsing apabila mahu ke pejabat, tiada baju baru. Mahu ke kenduri, tiada yang sesuai pada badan. Lantas, keinginan meluap-luap untuk menambah koleksi. Kita membeli bagaikan tiada hala tuju. Akhirnya, berlaku pembaziran. Yang dibeli tidak berpakai, yang lama tersadai. Duit pula menyusut tanpa sedar.
Kredit Foto: Google
Kemas dan Atur Semula Wardrobe
Ini adalah penyelesaian terbaik. Ramai kalangan kita berdepan masalah menyusun atur wardrobe sendiri. Kesempitan ruang antara faktor utama kenapa barangan peribadi tidak dapat disimpan dan disusun dengan baik, terutamanya yang bersaiz kecil seperti tudung, anak tudung, inner dan sebagainya.
Di sini pentingnya sikap sistematik. Apa kata mulakan dengan mengeluarkan semua pakaian, tudung dan lain-lainnya. Lihat satu-persatu yang mana masih boleh disimpan dan boleh disingkirkan? Yang mana sudah tidak muat atau rasanya tidak akan dipakai lagi, simpan terus ke dalam beg atau plastik. Ketepikan terus, jangan dipandang lagi.
Nah, sekarang atur semula wardrobe kamu mengikut susunan yang memudahkan kamu untuk mencari. Sebenarnya menyusun atur barangan peribadi tidak memerlukan sebarang rujukan kerana lain orang, lain caranya. Dan, penyusunan ini seharusnya dilakukan oleh kita sendiri supaya selepas ini mudah untuk kita mencarinya.
Jika ruang bilik sempit, gunakan kotak-kotak simpanan kecil untuk melipat simpan barangan mengikut jenisnya. Gantung pakaian yang betul-betul perlu sahaja, selebihnya lipat dan masukkan sahaja di dalam kotak. Ia mungkin memakan masa, namun dapat menjimatkan ruang dan memudahkan pencarian.
Kredit Foto: Google
Kalau Pandai ‘Mix and Match’ Tak Perlu Selalu Membeli
Jika kita bijak menyuai padankan sesuatu ‘look’ itu, sebenarnya kamu tidak perlu selalu membeli barang baru. Sebagai contoh, baju untuk menghadiri majlis bertema. Boleh sahaja dikorek apa kamu ada untuk dikombinasikan. Mungkin jaket lama dengan jeans baru atau kamu hanya perlu membeli shirt di dalamnya sahaja.
Kreativiti harus diasah lebih dalam berfesyen. Pergilah menelaah sumber rujukan fesyen di laman media sosial juga makalah yang ada. Lihat bagaimana ikon-ikon fesyen dalam menggayakan sesuatu suai padan itu. Asal sahaja kamu boleh ‘carry’ sesuatu look itu, boleh sahaja ditiru.
Kredit Foto: Google
Buat Jualan Pre-Loved Atau Dermakan
Okey, jika sudah putuskan mana-mana koleksi yang tidak mahu lagi disimpan, jangan pula dibuang begitu saja. Elakkan timbunan sampah dan silalah kitar semula barangan fesyen yang ada. Sekarang pun sudah menjadi trend memasarkan pre-loved item dan menjadi rebutan kebanyakan orang yang menghargainya.
Walaupun tidak mendapat pulangan yang sama harganya, tapi setidak-tidaknya ia dapat disalurkan dengan berhemah daripada dibuang sahaja. Malah, ia bagus untuk kamu mengasah bakat berniaga. Terdapat banyak platform dan organisasi yang menganjurkan pasaran jualan sebegini dan ia sangat menarik.
Jika tidak, berikanlah kepada orang yang berminat atau dermakan kepada yang memerlukan. Ingat ya, saban tahun dunia berdepan dengan timbunan sampah termasuklah daripada item fesyen sendiri. Ia satu pembaziran kerana kebanyakan item ini masih boleh dikitar semula dan digunakan. Jadi, salur dan kendalikanlah sebaiknya.
Kredit Foto: Google
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar