Highlights

KISAH BENAR — Kemurungan Wanita Ini Makin Teruk Lepas Berhenti Kerja. Suami Tak Faham, Katanya Mengada Je!

Afiza Kamarulzaman
18/10/2019
02:26 MYT
Sponsor Banner
KISAH BENAR — Kemurungan Wanita Ini Makin Teruk Lepas Berhenti Kerja. Suami Tak Faham, Katanya Mengada Je!
Menurut kajian yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan tahun lepas, menerusi imbasan kesihatan yang dilalukan ke atas 273,203 individu, seramai 18,336 individu berdepan masalah tekanan perasaan. Daripada jumlah itu seramai 11,811 menderita tekanan perasaan ringan, 3,680 sederhana dan 1,682 tekanan teruk.
Statistik ini amat membimbangkan kerana ia meningkat tahun demi tahun. Ternyata kini, kesihatan seseorang indvidu bukan lagi bergantung kepada fizikal semata-mata, ia juga perlu ditelusi menerusi mental.
Ini sebuah lagi kisah benar yang ingin InTrend bawakan kepada pembaca untuk dijadikan iktibar. Penulis berkesempatan berbual hati ke hati bersama Asilah (bukan nama sebenar), yang dilanda kemurungan sejak setahun yang lalu. Ringkasan tentang Asilah, dia berusia 37 tahun. Mempunyai suami yang bekerja sebagai Pengurus Jualan, Adam (bukan nama sebenar) dan tiga orang anak berusia 12, tujuh dan tiga tahun.
Ini kisah Asilah...

Sudah Lama Rasa Tidak Gembira
Susah untuk diceritakan bagaimana perasaan tidak gembira itu hadir? Namun, jelas Asilah sejak ibunya meninggal dua tahun lalu memang dia terasa jiwanya agak kosong kerana selama ini ibunya tempat dia mencurah rasa dan berkongsi masalah.
Tambahan pula dia hanya dua beradik. Abangnya tinggal jauh. Maka arwah ibu memang rapat dengannya.
Namun, kesedihan itu tidaklah begitu menusuk. Kehidupannya masih berjalan seperti biasa, cuma sesekali terasa rindu kepada arwah memang ada.
Sementelah waktu itu, Asilah agak sibuk dengan kerjanya sebagai Pegawai Pemasaran di sebuah syarikat besar.
Apabila di rumah, dia sibuk pula menguruskan hal rumah. Mereka tidak punya pembantu rumah kerana memikirkan anak-anak sudah besar dan Asilah mampu lakukan semuanya sendiri.
Suami ada juga membantu sikit-sikit cuma masanya agak terhad kerana kerap ke luar daerah atas urusan kerja.
Maka, kebanyakan hal rumah diuruskan Asilah sendiri. Daripada mengemas, memasak, mencuci, menghantar/ambil anak sekolah, mengatur jadual mereka dan sebagainya, semua diuruskan Asilah.
Sesekali, kalau Adam ada masa, barulah Asilah minta bantuan Adam untuk mengantar atau mengambil anak sekolah.
Anak-anak semua okey, cuma masing-masing ada perangainya sendiri. Yang sulung jenis cerewet, yang nombor dua jenis berdikari dan ke tiga manja kerana masih kecil.
Namun, pada Asilah semua itu masih mampu diuruskannya walaupun memang badan rasa terlalu penat, otak letih dan jiwa memberontak sesekali.

Bebanan Kerja Pejabat vs Kepenatan Kerja Rumah
Antara kedua-dua ini, Asilah sendiri tidak tahu yang mana lebih menekannya? “Saya sendiri tidak tahu apakah selama ini kerja di pejabat yang buat saya stres atau tanggungjawab di rumah yang lebih memberi tekanan?
Namun, awal tahun lalu, saya digred dengan KPI yang merundum. Saya sangat kecewa. Tiada kenaikan gaji atau bonus. Saya mengadu kepada suami yang saya mahu berhenti kerja. Adam okey sahaja. Lagipun katanya elok juga untuk saya fokus kepada anak kerana semuanya sedang membesar dan perlukan perhatian lebih.”
Asilah amat gembira dengan reaksi Adam. Adam tidak menghalangnya untuk berhenti kerja. Adam pun setuju untuk memberikan elaun RM1500 sebulan kepada Asilah selain komitmen lain akan ditanggung oleh Adam sepenuhnya.
Adam pastilah gembira kerana selepas ini dia boleh fokus pada kerjanya sahaja. Tidak perlu lagi memikirkan hal rumah yang perlu dibantu.
Asilah tidak berfikir panjang lagi, terus sahaja dia menghantar surat berhenti. Tiga bulan selepas itu bermulalah kehidupan baru Asilah sebagai suri rumah tangga sepenuh masa setelah hampir 15 tahun bekerja makan gaji ke pejabat selama ini.

Selepas Berhenti, Hidup Makin Kosong
Bulan pertama, kedua dan ketiga semuanya berjalan lancar. Semua hal rumah diselesaikan penuh sempurna. Asilah bangun seawal jam 5 pagi untuk menyiapkan sarapan, bekal anak dan suami, solat subuh dan menghantar anak ke sekolah.
Setelah semua isi rumah keluar sarang, Asilah akan menyelesaikan kerja rumah seperti mencuci kain, mengemas rumah, menyidai kain, memasak makan tengah hari dan menguruskan anak kecil.
Tengah hari, ambil anak-anak dari sekolah. Siapkan makan tengah hari mereka. Kemudian, hantar semula anak-anak ke sekolah agama. Pulang ke rumah semula. Tidurkan anak kecilnya dan adalah masanya untuk menonton televisyen seketika.
Petang, ambil semula anak-anak dari sekolah agama. Mula siapkan makan malam dan hidangkan untuk anak dan suami. Kebisaaannya, Adam pulang jam lapan malam. Agak lambat tapi itulah rutinnya apabila tersangkut dalam kesesakan lalu lintas.
Selepas makan dan solat bersama, Adam terus masuk bilik melayan lap top dan handphonenya. Asilah di bawah membantu anak-anak siapkan kerja rumah sambil dengar celoteh anak-anak tentang itu dan ini.
Begitulah rutinnya selepas berhenti kerja. Tiada lagi masa duduk atas kerusi melayan komputer, menyiapkan deck untuk masuk meeting, bergosip bersama kawan-kawan sepejabat, keluar makan tengah hari di kantin atau mall berdekatan atau meraikan hari jadi teman atau melayan bos belanja makan. Setelah beberapa bulan barulah Asilah terasa hidupnya semakin kosong.
Walaupun sudah tidak lagi ke pejabat dan berdepan tekanan kerja, badannya masih penat, fikirannya masih bercelaru dan hidupnya masih terasa hambar. Kalau dulu, bosan-bosan di rumah, adalah juga aktiviti di perjabat bersama teman-teman. Kini aktivitinya hanya untuk suami dan anak-anak.
Bukan Asilah tidak bersyukur tetapi entahlah, susah untuk Asilah luahkan. Hanya yang faham akan faham.

Suami Kata Asilah Ikutkan Perasaan
“Pernah saya terduduk di belakang pintu memeluk lutut. Badan saya berpeluh-peluh dan menggeletar. Mujur anak yang sulung sudah bijak. Dia menangis, gosok-gosok badan saya dan berikan saya air.
Perasaan itu hadir tiba-tiba. Darah saya naik. Apabila saya ceitakan kepada suami, dia kata saya terlalu ikutkan perasaan, banyak sangat fikir. Apa lagi yang saya mahu? Katanya. Saya hanya diam...”
Apabila ada apa-apa keraian atau majlis, Asilah cuba elakkan diri. Asilah tidak mahu lagi bertegur-sapa dengan jiran. Malah, sudah lama juga Asilah tidak menjenguk keluarganya. Apabila ke tempat yang ramai oranfg, Asilah akan jadi gelabah. Rasa seperti terancam dan takut.
Makin lama ia makin menganggu rutin hariannya. “Saya tidak tahu bagaimana untuk menjelaskannya. Mujurlah ada seorang kawan Adam, seorang doktor yang kebetulan melihat gelagat saya waktu itu menasihati Adam untuk ambil berat tentang perubahan saya. Dengan nasihat kawannya itulah, baru Adam membawa saya berjumpa doktor pakar.”

Masih Dalam Rawatan
Dan kini Asilah di bawah rawatan psikoterapi. Asilah diberi ubat Anti-depressant untuk memberinya ketenangan apabila dia berasa resah dan kemurungan melampau. Asilah perlu menjalani beberapa sesi kaunseling di bawah seliaan pakar.
Walaupun baru beberapa minggu menjalani rawatan, Asilah ada menunjukkan tindak balas positif. Sudah boleh keluar berjumpa orang dan bersosial dalam jangka masa pendek. Ada kawan-kawan yang datang ke rumah bertanya khabar dan ini memberikan semangat baru kepada Asilah.
“Lebih pentingnya, Adam sudah lebih memahami. Apa yang berlaku ke atas saya bukan buat-buat atau mahukan perhatiannya semata-mata. Saya pun faham tanggungjawab suami mencari naflkah di luar, cuma para suami pun kena faham situasi isteri di rumah pun bukanlah seronok sangat. I
steri yang tidak bekerja, tekanannya lebih complicated kerana tiada ruang untuk kita ‘me time’ atau bersendiri tanpa tekanan di rumah. Jadi, suamilah seharusnya menjadi bahu untuk isteri menangis, telinga untuk mendengar ngomelnya dan tangan yang mengusap memberikan ketenangan,” Akhiri Asilah dengan senyuman positif dan segar.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar