gaya hidup
“Kita Lemah, Tapi Tuhan Beri Juga Upaya Kepada Kita Untuk Bantu Yang Lain” – Ustaz Ebit Lew
Walau dalam keadaan penat, tubuh letih kala mengagihkan bantuan, misi tetap diteruskan. Lensa kamera Jejak Ebit Lew sempat merakam momen dan aksi bersahaja kumpulan sukarelawan dan team Jejak Ebit Lew menunaikan solat berjemaah. Usai solat Subuh, semua duduk berkumpul mendengar tazkirah yang disampaikan Ustaz Ebit Lew. Ia disifatkan sebagai kobar semangat buat mereka selain sebagai peringatan agar tetap mensyukuri nikmat juga rezeki pemberian-Nya walau diuji dalam keadaan apa sekalipun.
Misi Bantuan Keperluan Harian Petugas Barisan Hadapan Hospital Lahad Datu
Memasuki episod ke 13 malam ini, team Jejak Ebit Lew meneruskan misi kemanusiaan bersama Pertubuhan Kasih Umat dengan memulakan penghantaran keperluan harian kepada barisan hadapan di Hospital Lahad Datu. Ketibaan team Jejak Ebit Lew disambut gembira oleh Pengarah Hospital bersama barisan doktor pakar perubatan hospital ini. Menurut Penyelia Jururawat, Maslina Mahmud dan Ketua Jururawat Mahania Nanag, mereka berhadapan dengan cabaran jumlah pesakit yang terlalu ramai, kakitangan yang tidak berkesempatan mendapatkan rehat serta berhadapan dengan masalah kekurangan kakitangan dan peralatan. Bahkan selepas setahun Malaysia dilanda Covid-19, kakitangan disini tidak berpeluang mengambil cuti malah ada yang terpaksa berpisah setahun lamanya daripada suami, isteri dan anak-anak khususnya yang tinggal di Semenanjung. Begitulah betapa besarnya pengorbanan mereka untuk membantu dan melindungi kita. Dan antara sumbangan yang dihulurkan adalah makanan kering, face mask juga 20 buah kerusi roda untuk kegunaan hospital.
Kredit Foto: Astro Prima
“Saya tengok mereka pun ada yang lemah, tidak cukup rehat dan sebagainya. Setahun berlalu tetapi macam tak sudah penularan Covid-19. Tetapi bila kita lemah, kita teringat orang lain terutamanya saya tengok frontliner mesti lagi lemah. Seperti kata doktor tadi, kena ada daya. Kalau kita lemah, orang lain lagi lemah. Jadi kita yang ada daya sedikit untuk terus membantu. Dan apabila kita lemah, dengan siapa kita minta? Untuk itu kita perlu yakin dengan Allah.”
Misi Bantuan Golongan Asnaf, Kampung Wawasan, Lahad Datu
Kedaifan hidup Jamilah Khan, warga emas yang hanya tinggal di sebuah rumah kecil bagaian pondok turut mendapat perhatian team Jejak Ebit Lew. Keuzurannya memaksa tenaga orang lain untuk membawanya ke bilik air. Azlina Sammahjan, penduduk kampung sukarela menjaga warga emas ini. Dialah yang membantu memandikan Jamilah, menukar lampin, memasak dan menyuap makanan sambil dibantu dua anaknya. Untungnya, walaupun hanya punya anak angkat dan dengan belas ehsan penduduk kampung yang bersandarkan pada konsep Islam itu bersaudara; maka mereka tampil membantu sedaya yang termampu. Untuk makcik Jamilah, team Jejak Ebit Lew menyumbang telefon bimbit yang memudahkannya untuk berhubung dengan anak angkatnya yang tinggal berjauhan.
Pesan Ustaz Ebit Lew
“Hari-hari saya berdoa Ya Allah, saya tak nak mak ayah saya masuk neraka” ulangnya berkali-kali kepada sukarelawan ketika memberi tazkirah ringkas usai solat Subuh itu. Dengan nada lembut tetapi terluah jua rasa sebak didada apabila ada getar pada suaranya.
Misi Bantuan Keperluan Pelajar Felda Sahabat 55, Pantai Bangingod
Misi Bantuan Sukarelawan diteruskan apabila tiba di Felda Sahabat 55, Pantai Bangingod. Terlebih dahulu team Jejak Ebit Lew membeli basikal sekadar untuk menggembirakan anak-anak kecil ini. Selain itu mereka turut membawa bersama tablet untuk diberikan sebagai memenuhi keperluan pendidikan sepanjang pembelajaran dan pengajaran dirumah berlangsung. Ini kerana kawasan kediaman sekitar mempunyai masalah jaringan internet yang menyukarkan mereka belajar secara dalam talian. Berkongsi cerita sama adalah Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bangingod, Mohd Shahihi Mat Yassin. Pelajar-pelajar terpaksa keluar rumah hingga ke kawasan pantai untuk mencari internet. Sebagai solusi, team Jejak Ebit Lew bekerjasama menyediakan kemudahan khas wifi untuk pelajar-pelajar ini.
Kredit Foto: Astro Prima
Misi Ziarah Keluarga Golongan Asnaf Kampung Tanjung Labian
Untuk rekod, kawasan ini adalah antara yang terkesan kerana peperangan pengganas Sulu dan tentera hingga mencetuskan trauma dalam kalangan penduduknya. Malah kesan peperangan masih jelas terlihat di dinding dan kawasan dalam rumah apabila peristiwa hitam itu berlaku pada 2013. Antara sumbangan yang dihulurkan adalah bekalan makanan, sedikit wang untuk anak-anak juga tangki air bersih untuk kegunaan penduduk kampung.
Kredit Foto: Astro Prima
Menyantuni Golongan LGBT Di Saujana Ballroom, Lahad Datu
Sebutlah apa sahaja kelompok mahupun lapisan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, semuanya disantuni dengan penuh hikmah. Di sini Ustaz Ebit Lew berkongsi dan memberi tazkirah ringkas kepada golongan ‘mak nyah’. Begitu halus dan lemah lembut pendekatannya tanpa mengguriskan rasa mereka yang mendengar biarpun ada penegasan dalam menyampaikan hukum-hakam soal ini. Ujar Ustaz Ebit Lew, “Apa yang betul tu betullah. Apa yang salah tu salahlah. Yang betul takkan jadi salah, dan yang salah takkan jadi betul. Tapi jangan pernah putus asa dengan rahmat Allah SWT” terangnya lagi menjawab kemusykilan seorang golongan mak nyah. Lantas diakhiri dengan doa memohon rahmat dan kebaikan kepada Allah.
Pesan Ustaz Ebit Lew
“Bagi saya kita setiap manusia ini sama sahaja. Kita ada kelemahan, aib dan dosa. Untuk itu kita perlu sentiasa menghormati dan menyampaikan kebenaran. Jaga solat, bila susah cikgu saya kata tinggal 1 waktu 80 tahun di neraka. Saya dengar tu saya menangis. Saya teringat mak ayah saya. Saya tak mahu mereka masuk neraka. Kena tawan hati dia sampai dia nampak kebaikan Islam tu dalam diri dia. Takdir Allah, Dia jentik hati ayah saya untuk belajar Islam. Dan kalau lihat orang lain susah, saya tak benci mereka. Kadang-kadang saya hairan orang marah bila kita tolong orang. Saya tak kisah, tak kiralah dia agama apa, dia buat apa. Salah satu sebabnya saya tahu keluarga saya macam mana. Saya sedar diri saya pun sebab Allah SWT kutip saya. Kalau Dia tak kutip, saya pun takkan berada disini sekarang. Jangan tinggal solat dan banyakkan berdoa.