Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
gaya hidup

“Lepas Kemalangan Tu Memang Saya Depress. Ambil Masa Sebulan Dua Nak Tenangkan Keadaan” – Ameruddin

Huda Hussain 13/08/2021 | 07:02 MYT
Malang tidak berbau. Begitulah risiko yang perlu dihadapi khususnya mereka yang bekerja sendiri dalam sektor perkhidmatan pengangkutan. Telah sekian banyak kita dengar dan baca mengenai kisah pemandu e-hailing yang terkorban akibat kemalangan jalanraya. Setelah dikenal pasti, kebanyakannya tidak mencarum dengan Perkeso sebagai langkah perlindungan dan bantuan sokongan jika berlaku apa-apa kemalangan.
Episod Luar Biasa malam ini berkongsi kisah mengenai seorang pemandu e-hailing yang kemalangan dan syukur punya kesedaran mencarum.
Kisah Luar Biasa Ameruddin Abdul Rahman
Berumur 45 tahun, Ameruddin adalah salah seorang daripada ribuan pemandu e-hailing di Malaysia. Menceritakan semual kejadian yang menimpa dirinya, ujar Ameruddin, “Kejadian tu berlaku lebih kurang 2 ke 3 pagi. Seperti biasa lepas dah habis kerja, kita akan hantar kereta ke depoh parking. Dalam perjalanan nak balik rumah tu saya menunggang motosikal. Dan kemalangan berlaku melibatkan motosikal saya dan sebuah kereta. Impak daripada kemalangan tu, membuatkan saya tak sedar. Tengok-tengok dah pakai baju lain atas katil,” kongsinya kepada kru Luar Biasa ketika ditemubual.
Selepas kejadian itu, Ameruddin diberi cuti sakit selama lebih kurang sembilan bulan. “Tangan saya lumpuh sepenuhnya dan ingatan juga terjejas disebabkan impak kemalangan. Kawan-kawan ada datang melawat dan kebetulan memang dalam ramai-ramai tu, saya salah seorang yang mencarum dengan Perkeso. Dan saya pun baru teringat ada mencarum,” ceritanya lanjut.
Mempunyai enam orang anak, bagi Ameruddin dia tidak dapat lari daripada kekangan yang terpaksa dihadapi. “Lepas kemalangan tu memang saya depress. Ambil masa dalam sebulan dua juga untuk tenangkan balik keadaan. Lepas jumpa Puan Fatimah dia sarankan tambah lagi tiba bulan pertama untuk cuba rawatan macam mana. Doktor Perkeso juga syorkan perkara yang sama. Selama tiga bulan itu Alhamdulillah banyak yang improve. Daripada tak boleh bergerak langsung, dah boleh bergerak,” hurainya lagi.
Syukur keadaan beransur pulih, bagi Ameruddin ada sesuatu yang penting perlu dikongsi bersama untuk dijadikan panduan dan rujukan. “Skim ini bagus sebenarnya. Mulanya saya tak nak ambil sebab kita nak kena keluarkan duit bayar. Tapi mungkin atas dorongan dan selepas bincang dengan isteri, jadi saya ambil skim ni. Kemalangan ini kita takkan jangka akan berlaku. Saya sangkakan kemalangan hanya berlaku waktu saya bekerja (pandu kereta). Tapi saya kemalangan lepas waktu kerja. Sumber pendapatan saya memang bergantung kepada kerja memandu ni. Kalau terlibat dengan kemalangan, kecederaan, lumpuh dan sebagainya macam saya sendiri sembilan bulan tak boleh nak memandu. Dengan adanya skim ini saya dapat bantuan penggantian pendapatan selama tempoh itu,” ceritanya lagi.
Pengurus Kes Pejabat Perkeso Selangor, Fatimahwati Ahmad Nazir bertanggungjawab mengendalikan kes Ameruddin. Kesnya dirujuk untuk menjalani pemulihan dan rehabilitasi dibawah program Return to Work (RTW) melalui penilai perubatan hilang upaya kekal SPS. “Ketika itu, pada bulan September 2020, Encik Amer telah hadiri sidang penilaian perubatan dan dinilai untuk kehilangupayaan beliau. Didapati Encik Amer masih belum mencapai tahap rawatan yang maksimum. Dan beliau disyorkan untuk menjalani rehabilitasi dibawah program RTW,” ulasnya lanjut.
Faedah dan Kemudahan Yang Diberikan Perkeso:
  1. Bayaran Pampasan (Faedah Hilang Upaya Sementara)
  2. Faedah Perubatan
  3. Rawatan Pemulihan di Panel Pemulihan Perkeso
  4. Khidmat Runding Cara dan Kaunseling Bersama Perkeso.
Terdahulu di awal segmen Luar Biasa telah membincangkan mengenai topik Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang dihurai secara jelas oleh Ketua Bahagian Skim Pekerjaan Sendiri Perkeso, Hj Azhar Md Nadzri. Skim ini telah mula dilaksanakan pada Jun 2017 dan awalnya dikhususkan untuk sektor pengangkutan penumpang. Dan tahun lalu ia diperluaskan kepada 19 sektor lain.
  1. Pengangkutan Barangan dan Makanan
  2. Pertanian
  3. Penternakan
  4. Perhutanan
  5. Perikanan
  6. Makanan
  7. Pembuatan
  8. Pembinaan
  9. Penjaja
  10. Premis Penginapan
  11. Perniagaan Online
  12. Teknologi Maklumat
  13. Pemprosesan Data
  14. Ejen
  15. Perkhidmatan Profesional
  16. Perkhidmatan Sokongan
  17. Kesenian
  18. Perkhidmatan Isi Rumah
  19. Penjagaan Perawatan dan Kesihatan
Turut berkongsi pengalaman adalah selebriti Noraniza Idris yang menceritakan kisahnya berhadapan dengan insiden serta kepentingan mengapa perlu mendapatkan perlindungan seperti skim ini. Kesedaran mengenai kepentingan untuk mencarum dengan Perkeso dan ambil tahu mengenai pelbagai program ditawarkan perlu ada dalam kalangan masyarakat. Penting untuk masyarakat cakna mengenai hal ini. Rujuk dan berhubung dengan pegawai terlibat dimana-mana cawangan berhampiran untuk perlindungan dan bantuan di masa depan. Ya, kita tidak mendoakan kemalangan, kecederaan dan sebagainya. Tetapi kesedaran itu harus ada sebagai langkah persediaan.
#Astro Prima #Luar Biasa #PERKESO
;