Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Highlights

Lima Bulan Kita Dilanda Pandemik Covid-19. Kalau Masih Sihat, Cukup Makan Dan Masih Bekerja, Bersyukurlah. Sebabnya...

Huda Hussain 09/08/2020 | 14:31 MYT
Terlalu banyak sebab mengapa kita perlu bersyukur melewati hari ini. Tatkala digemparkan dengan kluster Sivagangga yang membadai beberapa negeri Utara tanah air, ada golongan peniaga kecil yang baru mula ‘bernafas’ terpaksa menutup kembali perniagaan mereka. Tidak kurang juga di bandar-bandar besar yang masih terkesan dan merasai impak pandemik yang memberi tamparan hebat kepada semua.
Daripada segah-gah profesyen memandu pesawat, kini ada dalam kalangan juruterbang bergelar runner, rider menunggang motosikal berkhidmat dengan syarikat perkhidmatan e-hailing. Hingga dikhabarkan ada yang membunuh diri dek kerana tidak dapat menerima tekanan hidup yang kian menghimpit. Itu antara cerita yang kita tahu di media sosial. Dan jika diikutkan logiknya, masih terdapat banyak lagi bingkisan kisah hidup masyarakat yang kita tidak tahu betapa peritnya mereka melalui fasa ujian ini.
Kredit Foto: Google
Jika Hari Ini Kita Masih Sihat…
Pejam celik pejam celik, sudah lima bulan negara kita dilanda penularan Covid-19 yang hingga hari ini tidak tahu bilakah penamatnya. Selagi vaksin masih belum ditemui, sepanjang itu jugalah tempoh yang kita perlu biasakan ‘hidup dengannya’. Dan selama tempoh itu juga, seandainya hari ini anda masih sihat, cukup makan dan pakai juga masih punya pekerjaan, sepatutnya anda bersyukur. Malah terlalu banyak sebab mengapa anda perlu bersyukur kerana masih dipinjamkan nasib yang baik untuk merasai nikmat yang selama ini sudah biasa dirasakan. Sama ada masih bekerja dari rumah dan masih lagi memperoleh gaji pada setiap hujung bulan, maka apa lagi yang anda mahu keluhkan? Selain daripada bersyukur, bantulah semampu yang boleh. Sedekahkan apa yang patut. Kerja yang ada itu, sempurnakan tanggungjawab sebaiknya.
Kredit Foto: Google
Semua Sedang Berjuang
Baik pihak pentadbir kerajaan, barisan hadapan negara dan banyak lagi profesyen; semuanya sedang berjuang. Dan ia dilakukan demi memelihara juga melindungi keselamatan kita. Lihat di luar sana, ada bapa yang berhempas pulas siang dan malam membanting tulang dan keringat mencari nafkah demi memastikan ada makanan yang mampu disuapkan ke mulut anak dan isteri. Juga tidak dilupakan, ada barisan guru yang kini turut bergelar barisan hadapan. Memastikan keselamatan dan kesihatan anak-anak kita terbela dan terpelihara sepanjang mereka berada di sekolah. Datangnya awal pagi, pulangnya lewat petang. Waktu makannya pula mungkin tidak menentu.
Kredit Foto: Google
Hakikatnya masih ramai yang kurang bernasib baik. Terpaksa diberhentikan kerja dan maklum sajalah, bukan mudah untuk mencari dan mendapatkan pekerjaan dalam situasi serba mencabar ini. Dan ia tidak terhenti di situ sahaja. Rumah yang dulunya dibeli kini terpaksa dilelong pihak bank. Ada yang terpaksa melepaskan aset milik sendiri, jual kereta, motosikal, itu dan ini, bergolok gadai emas, korek segala wang simpanan yang ada dan apa jua harta yang digenggam selama ini demi meneruskan hidup seharian.
Kredit Foto: Google
Kuatkan Mental, Cekalkan Hati
Sungguh, tidak mudah untuk menjalani kehidupan pada hari-hari akan datang. Apa yang mampu dititipkan agar semua yang sedang berjuang ketika ini dipermudahkan urusan kalian. Diringankan untuk menempuhi pelbagai ujian hidup. Dibukakan pintu rezeki seluas-luasnya untuk kalian. Mungkin hari ini hari kalian, entah esok lusa giliran yang lain pula menyusul. Sesungguhnya Allah menjanjikan kesenangan sesudah kesempitan dan pastinya ada ganjaran buat mereka yang berusaha. Insya-Allah, moga yang baik-baik sahaja untuk kalian.
;