Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Personaliti

Makanan Pedas Memang Sedap, Tapi Jika Diambil Terlampau Banyak, Anda Berisiko Jadi Pelupa, Nyanyuk!

Penulis Jemputan 25/02/2021 | 01:53 MYT
Teks: Nor Hatina Shuib
Cili padi, cili merah, serbuk cili dan perasa yang berperisa pedas, jika diambil dengan jumlah sederhana, ia tidak mendatangkan kesan kepada kesihatan, tetapi tahukah anda, jika diambil dalam jumlah keterlaluan, ia memberi kesan kepada kesihatan anda.
Pernahkah anda melalui pengalaman ketika makan pedas yang melampau ketika kecil, ibu pasti akan menegur, jangan terlalu banyak, bimbang putus pula urat perut.
Seram betul dengar nasihat dan larangan ibu apabila ia dikatakan dapat merosakkan perut tetapi ibarat masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.
Makanan kegemaran yang berunsurkan makanan pedas memang sudah sebati terutama ketika menginjak usia remaja. Kalau boleh semua mahu yang pedas, baru rasa puas!
Malah, makanan pedas adalah signatur masyarakat Asia dengan pelbagai resepi sambal termasuk sambal belacan yang menjadi pembuka selera dalam masakan.
Namun, perlu berhati-hati kerana pakar dietetik juga melihat pengambilan makanan pedas secara berlebihan boleh menjadi punca kepada masalah gastritis, apendiks dan juga buasir.
Walaupun makanan yang terlalu pedas bukanlah punca utama kepada masalah tersebut tetapi ia boleh menyumbang kepada rasa sakit itu.
Bagi mereka yang mempunyai penyakit yang dinyatakan tadi, adalah dinasihatkan untuk elak pengambilan makanan yang terlalu pedas sebab takut sakit anda itu bertambah teruk.
Kredit foto: Google
Kajian Membuktikan Makanan Pedas Antara Punca Jadi Pelupa
Malah terdapat satu kajian yang dijalankan di China yang mana mereka mendapati golongan yang mengambil makanan pedas tahap ‘neraka’ iaitu melebihi 50 gram cili sehari boleh menyebabkan kurangnya fungsi kognitif otak. Kesannya, mereka cenderung untuk menjadi seorang yang pelupa.
Wah, selama ini kita hanya dimomokkan makan makanan seperti kepala ikan mahupun termakan semut akan menyebabkan jadi pelupa, tetapi hari ini kajian membuktikan makanan kegemaran kita yang berasaskan cili padi, cili api, serbuk makanan mi segera mahupun kentang pedas berisiko menyebabkan berlakunya masalah lupa dalam kalangan penggemarnya.
Tetapi awas pengambilan yang berlebihan berisiko membuatkan anda menjadi pelupa, menurut jurnal Nutrients.
Satu kajian membabitkan lebih 4,500 responden mendapati mereka yang memakan sebanyak 50 gram cili sehari, mengadu berdepan masalah ingatan atau demensia.
Pengambilan cili yang berlebihan sepanjang lebih 15 tahun juga dikaitkan dengan penurunan daya ingatan sebanyak 56 peratus.
Penurunan daya ingatan ini lebih signifikan kepada penggemar cili yang bertubuh kurus.
Kajian ini mendapati orang dewasa yang berusia 55 tahun ke atas antara golongan yang perlu berhati-hati apabila mengambil makanan pedas, kerana ianya mampu menjejas daya kognitif mereka yakni aktiviti-aktiviti mental seperti berfikir dan menganalisis.
Pakar kajian, Dr Zumin Shi, berkata dalam kajian pernah dijalankan sebelum ini, mereka mendapati pengambilan cili bermanfaat untuk penurunan berat badan dan tekanan darah.
"Tetapi kali ini, kami menemukan kesan buruk terhadap perkembangan kognitif dalam kalangan orang dewasa yang lebih berusia,"
Namun beliau berkata, ia hanyalah kajian awal dan penggemar cili tidak perlu bimbang atau berhenti terus daripada mengambil makanan pedas tetapi berhati-hati.
Kajian itu dijalankan oleh Universiti Qatar dengan kerjasama Universiti South Australia sepanjang 15 tahun. Para pengkaji melakukan analisis ke atas lebih 4,500 orang dewasa Cina berumur 55 tahun ke atas. Mereka menyimpulkan bahawa peserta yang sering makan lebih dari 50 gram cili sehari, mengalami penurunan kognitif yang lebih cepat. Kadar penurunan itu lebih cepat pada mereka yang lebih kurus.
Sementara itu, Dr Clare Walton, pengurus penyelidikan Alzheimer's Society berkata, kajian tersebut tidak memberikan bukti konklusif bahawa pengambilan makanan pedas mampu meningkatkan risiko demensia.
"Kajian ini hanya melihat hasil ujian memori dan matematik. Penyelidikan lebih lanjut diperlukan untuk mengesahkan hubung kait antara cili dan demensia.
"Tetapi buat masa sekarang penggemar makanan pedas tak perlu bimbang, makanlah seberapa banyak cili yang anda mahu," ujarnya.
Menurut akhbar New York Post, antara ujian yang dilakukan di dalam kajian tersebut termasuk mengira dari belakang, ulang kembali senarai 10 perkataan dan menyelesaikan masalah matematik mudah.
Dr Ming Li dari Universiti South Australia, berkata makan cili amat popular dalam kalangan orang di Asia. Contohnya, di daerah tertentu di China, cili dimakan setiap hari oleh hampir setiap orang dewasa di daerah seperti Hunan dan Sichuan.
Antara jenis cili yang diteliti para pengkaji adalah cili segar dan kering. Kedua-duanya mengandungi capsaicin yang selama ini dianggap sebagai bermanfaat meningkatkan metabolisme dan kesihatan pembuluh darah.
Namun hasil kajian yang dimuatkan dalam jurnal Nutrients ini yang pertama meneliti kesannya pada otak.
Kredit foto: Google
Makan Secara Berpada-Pada, Kurang Risiko Apa Saja Penyakit
Kesan negatif yang lain terhadap pemakanan cili secara berlebihan adalah mampu menyebabkan irritable Bowel Syndrome, makanan tidak hadam, dan juga sakit perut melampau.
Malah, jika pemakanan pedas keterlaluan ini masih diteruskan,ia berkemungkinan akan menyebabkan ulser perut. Selain itu, ia juga dikatakan mampu mencederakan rongga mulut dan saluran pemakanan.
Maka berhati-hati lah semasa makan makanan yang pedas melampau jika anda tidak mahu menerima kesan sampingannya.
Seperti cili, ia antara tumbuhan yang mengandungi bahan yang bermanfaat kepada tubuh dan memiliki khasiat tersendiri.
Namun, bahan berperisa pedas yang sudah diproses seperti seperti sos cili, serbuk perasa cili dan bahan proses lain yang tinggi kandungan garam perlulah diambil secara seimbang dengan jumlah kuantiti yang tidak melampau.
Hidangan terlalu pedas juga boleh menyebabkan sakit ulu hati, kejang dan sakit perut kerana sistem usus cuba menggerakkan makanan ini ke usus besar secepat mungkin.
Cili yang mengandungi Capsaicin bahan utama dalam cili memberi kesan terhadap badan jika berlebihan walaupun bahan ini mempunyai kesan anti kerengsaan dan anti-oksida yang boleh membantu mengurangkan kesakitan saraf seperti sakit sendi (arthritis), psoriasis serta sakit saraf diabetes.
Kredit foto: Google
Ikut Trend, Tidak Mahu Ketinggalan Jauh, Boleh Beri Mudarat Kesihatan
Di saat ini, kita juga dapat melihat makanan pedas keterlaluan antara trend yang tidak sepi dalam kalangan masyarakat pelbagai usia.
Makanan pedas berapi atau berasap menjadi daya tarikan bagi produk tertentu termasuk makanan segera dan menu dihidangkan di restoran atau kafe sehingga ada skala daripada rendah sehingga paling tinggi jumlah cili yang digunakan.
Ini kesan populariti daripada hidangan makanan daripada negara seperti Korea sehingga ada yang berlumba-lumba menjadikan ia sebagai pertandingan di media sosial.
Namun, adakah makanan yang terlalu pedas itu akan memberikan kesan baik atau memudaratkan kesihatan untuk jangka pendek dan panjang?
Banyak kajian mendedahkan ia memberi kesan kepada kesihatan seseorang jika pengambilannya terlalu kerap. Ditambah lagi, ia dipadankan dengan makanan segera yang tidak berkhasiat.
Kecenderungan ini disebabkan makanan pedas bercili dan berempah mempunyai rasa lebih sedap serta bau enak menjadikan ramai masyarakat tertarik kepada makanan jenis itu.
Walaubagaimanapun, ada juga pakar berpendapat, kesan makanan pedas terhadap kesihatan ada kebaikan dan keburukannya dari sudut kesihatan.
Ini kerana makanan pedas bercili jika diambil secara sederhana boleh memberi banyak kesan positif terhadap kesihatan. Jadi, elakkan mengambil secara kerap, keterlaluan dan dengan skala pedas yang tidak dapat ditanggung oleh anda.
Pada masa sama, usus pula akan bertindak balas dengan merembiskan terlalu banyak cecair yang boleh menyebabkan cirit-birit.
Oleh sebab itu, kita biasa lihat wajah dan dan tangan menjadi merah akibat rangsangan makanan terlalu pedas manakala bagii penghidap penyakit gastrik atau ulser perut, makan cili secara berlebihan ini boleh memudaratkan penyakit sedia ada ini.
Apa sekalipun, sebagai tuan badan, andalah yang memilih apa untuk dimakan dan mengawal pengambilannya untuk melestarikan kesihatan secara unggul. Anda adalah apa yang anda makan. Kawal dan amalkan pemakanan seimbang.
.
Kredit foto: Google
Fakta makan cili
* Tiada kesan secara langsung makanan terlalu pedas dan kesuburan.
* Makan sederhana pedas boleh membantu kesuburan dengan meningkatkan paras metabolisme, imuniti dan menjaga berat badan.
* Makanan terlalu pedas mungkin boleh menggugat kesuburan dengan mengganggu kesihatan.
* Kerap sakit perut, cirit-birit dan ulser perut.
Saranan pakar
* Makan bersesuaian dengan diri seseorang.
* Tidak semua boleh makan pedas, sederhana atau terlalu pedas. Reaksi setiap orang terhadap makanan pedas adalah tidak sama.
* Berhenti makan makanan pedas jika ada tindak balas melampau seperti sakit perut,
#Gaya Hidup #wanita #Pedas
;