Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Highlights

Mak..Ayah.. Kami Tak Dapat Balik Raya. Makan Lemang Tu Ingat Kami Ya. Beginilah Perasaan Orang Yang Bertugas Ketika Raya.

Afiza Kamarulzaman 01/05/2020 | 14:18 MYT
Ada yang mula beremosi apabila bercakap perihal Aidilfitri, apatah lagi untuk berbicara mengenai Mak dan Ayah di kampung yang sudah lama tidak diziarahi. Walaupun ramai yang sudah menjangkakan perkara ini, namun apabila ia akhirnya termaktub semalam, membuatkan ramai yang menangis dalam reda. Bukan tidak bersetuju dengan perintah kerjaan, namun biasalah hati anak di perantauan akan tersentuh sedikit.
Jangan Ingkar Demi Kebaikan Semua
Apa pun yang terbuku di hati dan emosi yang bercampur-baur, pastikan kamu kekal patuh dengan segala yang telah ditetapkan sepanjang PKP ini. Jangan sesekali memikirkan helah untuk tetap pulang ke kampung halaman hanya kerana mahu meraikan Aidilfitri bersama yang tersayang. Kita bukan selalu diminta untuk tidak balik kampung ketika Hari Raya, cuma kali ini demi memastikan matlamat kita tercapai.
Pastikan kita kekal di rumah dan mengurangkan pergerakan di luar terutamanya di kawasan zon merah walaupun kerajaan sudah melonggarkan beberapa syarat PKP mulai 4 Mei ini. Apatah lagi, untuk pulang ke kampung halaman menemui orang tua. Kita tidak tahu apa yang mungkin kita bawa bersama kala bertemu mereka kelak.
Kredit Foto: Google
Kuatkan Hati Kita ‘Video Call’ Saja
Pujuklah hati untuk kekal tenang dan tabah mendepani malam Raya nanti, mendengarkan takbir Raya dan kala terkenangkan memori beraya bersama keluarga. Bermaafan juga menikmati juadah Raya bersama-sama. Anak mana yang tidak rindukan air tangan ibunya di pagi Raya? Anak mana yang tidak rindu mahu mencium tangan Ayah untuk memohon maaf zahir batin.
Dan, sebagai ahli keluarga, kita pasti mahu bertemu kakak, abang, adik, anak saudara, sepupu sepapat dan semua ahli keluarga di kampung itu. Apa kata, tahun ini kita ubah sedikit gaya raya kita dengan bermaafan dan berhubungan secara alam maya sahaja. Berpakaian Rayalah seperti selalunya dan telefonlah Mak Ayah untuk menyantuni mereka.
Kredit Foto: Google
Cipta Suasana Raya di Mana Saja Anda Berada
Inilah yang terbaik. Walau di mana sahaja anda berada, ciptalah keceriaan Aidilfitrti itu seperti biasa. Jangan dilayan sangat emosi lara itu, kelak ranaplah suasana menyambut ‘hari kemenangan’ itu. Sebagai manusia, kita hanya mampu merancang dan Tuhanlah sebaik-baik penentunya. Jadi, mengapa kita harus menidakkan ketentuan yang maha Esa itu?
Sediakanlah persiapan Raya semampu yang selalu kamu miliki ketika di kampung. Pastikan ada juadah Raya seperti rendang dan nasi impit di meja pada pagi Syawal nanti agar kerinduan itu terubat sikit. Hiasi rumah sebaiknya. Ajak seisi rumah untuk sama-sama memeriahkan kediaman kamu seumpama ia Raya terbaik buat kalian sekeluarga.
Doalah Ada Kejaiban di Saat Akhir
Siapa tahu, kan kalau tiba-tiba seluruh Malaysia diistiharkan berada dalam zon hijau dan kerajaan membenarkan rakyat Malaysia untuk pulang ke kampung berharu raya? Bunyinya mungkin agak mustahil namun keajaiban bisa berlaku dengan izin Nya.
Ambil kesempatan di bulan yang mulia ini untuk melipatgandakan amalan dan panjatkan doa sebanyak yang boleh. Kita tidak tahu mungkin ada salah satu doa kita itu diperkenankan Nya.
Kredit Foto: Google
#Aidilfitri #Balik kampung #Perantau
;