Highlights
Menegur – Bukan Tak Boleh, Tapi Berpada. Jangan Sampai Jatuhkan Air Muka. Jadikan Peringatan Untuk Diri Sendiri.
Orang tua-tua, nenek moyang kita dahulu sememangnya suka menitipkan pesanan. Sama ada dalam bentuk kiasan, perumpamaan ataupun secara berterus terang. Semuanya ada maksud tersirat disebaliknya. Betapa mereka mementingkan dan memelihara adab dan tatacara sopan agar ia kekal terpelihara dari generasi ke generasi seterusnya.
Antara titipan pesanan mereka adalah jangan tegur saiz badan orang, jangan tegur porsi makanan seseorang, jangan tegur buruknya wajah seseorang, jangan tegur buruknya perangai seseorang juga jangan tegur cara hidup seseorang. Kalau ditegur juga, nanti kita akan jatuh sakit.
Kredit Foto: Google
Tetapi kalau diperhalusi ada sebab mengapa peringatan sedemikian diberi. Semua perkataaan ‘jangan’ itu adalah untuk tidak menjatuhkan air muka seseorang. Dan dalam masa sama juga, kita menjaga tutur bicara diri sendiri agar tidak melampaui batas.
Lain Orang Lain Penerimaannya
Kadang-kalanya bagi kita teguran itu bukanlah berniat apa-apa. Tapi pada mereka yang mendengar mungkin lain penerimaannya. Tidak kiralah sama ada mereka yang jenis tak ambil hati, masuk telinga kanan keluar telinga kiri ataupun mereka yang jenis mudah terasa hati. Lagilah perlu dijaga cara teguran itu ditujukan.
Kredit Foto: Google
Ada juga dalam kalangan kita yang suka menegur begitu begini kerana baginya niat itu baik. Namun demikian apabila dia pula yang ditegur mengenai sesuatu perkara, perasaan tidak puas hati, sentap, terasa dan sebagainya bukan kepalang. Perihal yang sama juga apabila seseorang itu ditimpa ujian. Saat orang sekeliling menyuruhnya bersabar dalam segala ujian, redha dan pasrah menerima ketentuan takdir. Tetapi apabila empunya diri diuji dengan dugaan yang sama lalu orang sekeliling memintanya bersabar, lain pula ceritanya. Mula melenting dengan mengatakan orang lain tidak memahami keadaannya.
Kerana Berkata Lebih Mudah Daripada Melaluinya
Mengapa empunya diri mudah melenting saat orang sekeliling memintanya bersabar dengan ujian? Tidak lain tidak bukan kerana berkata dan bercakap itu jauh lebih mudah daripada menempuhinya. Memberi nasihat itu senang berbanding dengan diri sendiri yang melaluinya. Hal ini kerana hanya mereka yang pernah melalui sesuatu ujian itu akan lebih memahami.
Dalam erti kata lain, kita hanya akan tahu dan faham bagaimana perit dan pahitnya ujian itu apabila kita melaluinya. Kerana ia takkan sama walaupun kita beranggapan kita tahu dan memahami sesuatu situasi hanya dengan tutur kata. Bercakap berdasarkan pengalaman takkan pernah sama dengan sekadar memberi nasihat yang bait-baitnya seakan skrip yang sudah dihafal.
Lantaran itu, andai mahu menegur dan memberi nasihat kepada sesiapa sekalipun, berpada-padalah. Jangan memandai-mandai jika diri sendiri tidak pandai dan arif dalam sesuatu hal. Kematangan fikiran itu mencerminkan tingginya peradaban seseorang. Jadikan ia sebagai pengajaran dan teladan untuk diri kita sama-sama belajar andai melihat orang lain melakukan kesilapan. Bukannya dengan menuding jari, menghentam dan terus mengecam. Bimbang nanti ia berlaku pada diri sendiri.
Kredit Foto: Google