gaya hidup
Misi Kemanusiaan Palestin – Pengalaman Emas Buat UEL Dan Caprice Jejakkan Kaki Di Gaza. Ya Allah, Lindungi Mereka.
Umum mengetahui perkongsian ikon kemanusiaan yang tidak perlu lagi diperkenalkan iaitu Ustaz Ebit Lew dan deligasi baru sahaja dibenarkan masuk ke Gaza dua hari lalu selepas hampir sebulan berada di Mesir. Berlepas dari Kuala Lumpur 25 Mei lalu, tanggal 29 Jun menjadi tarikh keramat bagi Ustaz Ebit Lew dan rombongan Misi Bantuan Kemanusiaan Gaza Palestin. "Menurut kedutaan Malaysia dan Unit perisikan Tentera Mesir kami team pertama dalam dunia yang dibenarkan masuk melalui Pintu Rafah selepas perang 2021 baru-baru ini." tulisnya di Instagram.
Kredit Foto: IG Ebit Lew
Selepas Sebulan Allah Buka Jalan Masuk Ke Gaza
Akui Ustaz Ebit Lew lagi, agak sukar baginya dan team untuk memuat naik perkembangan terkini setiap hari atas faktor keselamatan. Semua itu dikongsikan menerusi sesi Live Meletop yang dihoskan Nabil dan berjaya menarik perhatian 26 ribu yang menonton secara langsung di Instagram Meletop. Cerita Ustaz Ebit Lew lagi, “Memang kita niat pertama nak hantar barang kemudian balik. Bukan niat masuk Gaza. Cuma nak hantar barang di Rafah lepas tu balik. Sebab kita tahu memang tak boleh masuk sebab tengah perang waktu tu. Kedua, kalau ada rezeki lebih kita nak serah bantuan ke Palestin Red Crescent atau Egypt Red Crescent. Kita cuma nak sampai di sempadan. Dan ketiga kalau ini ajaibnya, kita nak masuk dalam. Tapi yagn tu memang niat dalam hati saja, bukan beritahu semua orang,” kongsinya.
Kredit Foto: IG Meletop
Tambahnya lagi, “Entah macam mana selepas kita mohon, ada jalan. Yang biasa semua orang guna, kita guna. Tapi di pertengahannya Allah uji. Ayah saya sakit, kata doktor ada baki kurang 10 hari untuk hidup. Lebih kurang begitulah. Saya mesej Wisma Putra, memang saya nak balik. Tapi hari nak balik tu tiba-tiba Allah buka jalan nak masuk ke Gaza,” ujar Ustaz Ebit Lew penuh syukur.
Kredit Foto: IG Ebit Lew
Menceritakan kembali detik perjalanannya dan deligasi untuk misi ini, ia mengambil masa selama 21 jam. Diiringi 12 kereta kebal, mereka terpaksa melalui sekatan dan pemeriksaan ketat di 21 checkpoint yang dipantau tentera Mesir. “Bayangkan kita orang kampung, ada 12 kereta kebal jaga. Rasa macam tengok movie kat Astro Nabil. Mereka bawa ikut jalan tentera dan kami lalu di padang pasir. 21 jam perjalanan kami naik van, Alhamdulillah tak rasa nak makan, tak rasa nak buang air besar. Lupa semua sekali. Kami berhenti solat saja.” kongsinya.
Kredit Foto: IG Ebit Lew
Misi Bantuan Kemanusiaan Gaza Palestin ini disokong penuh Kementerian Luar menerusi Menteri, Dato Sri Hishammuddin Hussein selain mendapat dokongan Tuanku DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim Ismail. Dengan kerjasama Egypt Red Crescent dan Palestin Red Crescent, misi ini mendapat kebenaran dan kelulusan perjalanan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan.
Kredit Foto: IG Ebit Lew
Giliran Caprice Bakal Menyusul
Direzekikan ke bumi Palestin melalui pintu masuk Mesir, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli berlepas meninggalkan Malaysia seminggu yang lalu. Penyanyi, penulis lagu, penerbit rakaman, ahli perniagaan dan penceramah motivasi ini juga punya misi tersendiri untuk direalisasikan di sana. Antara lain, keberangkantannya membawa harapan untuk membantu rakyat Palestin di wilayah Gaza selain berkenalan juga membina rangkaian demi meneruskan misi Road To Al Aqsa 2040 untuk jangka masa panjang. Malah pemergiannya juga untuk berjumpa dengan pelajar-pelajar Malaysia yang terkandas di Mesir sejak pandemik Covid-19.
Kredit Foto: IG Caprice
Sungguhpun begitu terdapat kekangan yang terpaksa ditempuhinya. “Cuma caprice tidak boleh rakam semua gerakan untuk certain missions demi keselamatan. Kalau ade mission complete, baru dapat post InsyaAllah.” tulisnya menerusi satu perkongsian di Instagram sejak tujuh hari berlepas ke sana. Bakal masuk ke Gaza dalam beberapa hari, menurut Caprice misinya takkan dapat dilaksana tanpa bantuan Dr Ramy, dari Red Crescent Mesir dan kerajaan Mesir.
Kredit Foto: IG Caprice
Doa terus dipohon kepada Ilahi agar segala urusan buat dua insan hebat yang kini berada dibumi para Anbia ini akan dipermudahkan. Lancar dan dilindungi serta terpelihara semuanya. Menjadi pencetus inspirasi buat rakyat Malaysia agar lebih bersungguh menjiwai naluri kemanusiaan yang bukan tertakluk pada suatu masa atau musim. Moga selamat pergi dan kembali ke tanah air serta diberkati seluruhnya.