Highlights

MUA Paling Kerap Mengajar, Lebih 200 Kelas Dibimbingnya; “Dengan Mengajar, Saya Juga Belajar” -Ayangkamell.

Afiza Kamarulzaman
23/11/2019
14:53 MYT
Sponsor Banner
MUA Paling Kerap Mengajar, Lebih 200 Kelas Dibimbingnya; “Dengan Mengajar, Saya Juga Belajar” -Ayangkamell.
Boleh ceritakan serba sediki latar belakang Ayang?
Saya berasal dari Ipoh, Perak dan sudah pun berumur 45 tahun. Anak ke empat daripada lima beradik. Tiga atas saya semuanya kakak dan yang bongsu adik lelaki. Saya mendapat pendidikan awal di Ipoh.
Kemudian melanjutkan pelajaran menengah atas di Sek Men Teknik TARP, Pulau Pinang 1990-1991. Pada tahun 1992-1996, saya menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan Diploma Rekabentuk Dalaman.
Bila dan bagaimana mula terlibat dengan dunia solekan?
Sejak zaman remaja lagi saya telah mengikuti beberapa rakan juru andam melakukan kerja-kerja solekan. Semasa bersekolah di Pulang Pinang, saya telah dipilih untuk mengikuti kursus solekan teater dan pentas yg dianjurkan oleh Fakulti Teater Universiti Sains Malaysia selama tiga bulan.
Bermula dari situlah, minat saya mula bercambah sikit demi sikit kemudian semakin mendalam terhadap dunia solekan ini. Setelah memasuki UiTM, saya meneruskan minat saya ini dengan menyolekkan orang secara sambilan, buat tambah wang saku. Lama-kelamaan, bakat saya ini dihidu beberapa wartawan dan pihak produksi dan mereka memangil saya untuk bekerjasama.
Sudah memulakan kerjaya ini sedari muda remaja, bagaimana penerimaan keluarga waktu itu?
Jujurnya, pada awal penglibatan saya itu mereka tidak bersetuju juga. Namun, atas kedegilan dan minat yang sangat mendalam, saya buat juga secara senyap dan suka-suka untuk melepaskan rasa ‘ketagih’ itu. Hahaha...
Perlahan-lahan saya cuba memahamkan mereka mengenai kerjaya ini. Saya yakinkan mereka, apa yang saya lakukan ini sekadar menambah pendapatan, saya tidak buat kerja terkutuk. Lama-kelamaan, mereka mula faham dan dapat menerimanya.
Lebih buat mereka bangga apabila melihat saya yang sering mendapat pengiktirafan dan respon positif daripada media dan pelanggan saya. Seronok rasanya kerana kini mereka tidak hanya faham, malah berbangga pula dengan kejayaan yang saya raih hari ini.
Kredit Foto: IG Ayangkamell
Bergelar juru solek bukanlah sesuatu yang mudah, kalau lemah semangat boleh rebah. Kalau boleh Ayang ceritakan detik permulaan bertatih alam dunia solekan ini?
Selepas menamatkan pengajian di UiTM saya terus bekerja dalam bidang yang saya dipelajari selama enam bulan. Kemudian, mencuba untuk memohon jawatan yang ada kaitan iaitu ‘Visual Merchandiser’ bagi satu jenama alat solek antarabangsa yang terkenal.
Malangnya, jawatan itu telah diisi. Namun saya masih berpeluang bekerja di situ dengan jawatan Penasihat Kecantikan sementelah mereka mengetahui yang saya punya sijil/portfolio yang banyak perihal solekan. Wow, bagai pucuk dicita, ulam mendatang! Saya bersetuju dan dari situ lah saya dilatih secara profesional dalam bidang solekan. Selama empat tahun di syarikat berkenaan.
Selepas itu, saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dan melakukan solekan secara ‘freelance’. Keputusan saya itu tidak silap. Banyak tawaran solekan untuk drama bersiri yang saya terima, di samping solekan untuk editorial majalah dan ‘job’ paling utama waktu itu tentulah tempahan sokekan pengantin!
Bekerja dengan banyak syarikat penerbitan terkemuka menemukan saya dengan banyak peringkat manusia dan ia memberi impak perkembangan yang baik buat saya secara peribadi. Terdapat juga syarikat kosmetik tempatan dan antarabangsa yang melantik saya menjadi jurucakap untuk produk mereka secara sambilan.
Dan yang paling membanggakan saya apabila Avon Malaysia telah memberi kontrak selama dua tahun 2017-2019 kepada saya untuk menjadi Duta Selebriti Makeup Artist mereka. Rezeki yang tak terduga. Selain itu, saya juga banyak menerima undangan mengajar dalam bengkel kecantikan dan acapkali dipanggil untuk menjadi juri dalam pertandingan berkaitan. Inilah pengalaman yang saya kumpul tahun demi tahun yang tidak mampu untuk saya beli.
Saya lihat Ayang antara jurusolek yang sering mengajar di kelas mekap, berapa banyak sudah megendalikan kelas mekap dan mengapa ayang suka berkongsi ilmu menerusinya?
Aduh, berapa banyak ya? Jujurnya, jumlah bengkel dan kelas solekan yang telah saya lakukan sangat banyak. Saya sendiri tidak mampu mencongak jumlah tepatnya. Boleh saya katakan lebih dari 200 kelas/bengkel dan seingat saya ia bermula dari tahun 2005 sehingga kini.
Saya amat berminat menurunkan ilmu kerana pada awal pembabitan saya lagi, saya telah dilatih secara profesional dari peringkat asas sehingga berkelayakan profesional. Saya bermula dengan ilmu dan pengalaman dan saya rasa sepatutnya ia dikongsi agar saya dapat mempelajari semula apabila saya mengajar kepada bakat baru itu.
Pendek kata apabila saya mengajar, saya juga belajar. Saya percaya dengan bantuan ilmu yang saya sampaikan itu boleh melahirkan jurusolek yang lebih baik darpada saya pada masa hadapan. Seterusnya, buah fikiran saya menjadi lebih segar dan up-to-date jika saya terus mengajar dan memberi.
Kredit Foto: IG Ayangkamell
Apa pengalaman paling tidak boleh dilupakan sepanjang bergelar jurusolek?
Pada awal pembabitan memang banyak. Lama-kelamaan ia semakin pudar dan kebanyakannya saya dapat tangani dengan baik dan tenang. Benarlah kata orang pengalaman itu mendewasakan. Lantas, pada hari ini saya sudah terbiasa dengan hal-hal kecil yang mengganggu perjalanan karier saya untuk saya biarkan ia lenyap begitu saja tanpa perlu dirumitkan. Saya harus focus pada yang ada di hadapan saya. Yang pahit saya ambil sebagai panduan sahaja.
Kenapa wujud perbezaan harga bagi seseorang jurusolek itu? Apa yang membezakan seseorang jurusolek sebenarnya?
Perbezaan harga itu wujud akibat tidak ada satu badan penyelarasan khas daripada kerajaan atau persatuan yang mengawalnya. Semuanya terletak kepada individu itu sendiri. Tidak berpandu pada mana-mana badan penyelarasan berkanun.
Bagi saya, yang membezakan seseorang jurusolek itu adalah PENGALAMAN. Sudah tentulah masa dan portfolio menjadi ukuran. Tapi saya percaya ada yang mempertaruhkan ‘pengaruh’ dan populariti sebagai ukuran. Tidak menjadi masalah seandainya individu itu berterusan mempersembahkan kerja yang sentiasa terbaik, konsisten serta disiplin kerja yang unggul. Yang penting ilmu, pengetahuan dan seninya juga harus mantap.
Kredit Foto: IG Ayangkamell
Ramai kata Ayang seorang jurusolek yang humble dan sangat berdisiplin, apa komen Ayang?
Yang baik itu datangnya daripada Allah swt. Saya sebenarnya juga mempelajari dari masa lalu untuk sentiasa menjadi yang terbaik. Saya tidak berjalan untuk searang pengiktirafan atau pujian.
Saya bekerja secara ikhlas untuk diri sendiri dan saya komited dengan apa yang saya lakukan. Tiada apa yang lebih membahagiakan jika orang tidak bercakap hal buruk kita dan menerima gelaran yang Puan Editor nyatakan di atas itu sebagai anugerah teratas yang pernah saya terima.
Cuma pesanan saya, kita jurusolek memberi khidmat bakat dan tenaga terus daripada tangan kita sendiri. Jadi penerapan sahsiah diri yang baik harus sentiasa diamalkan walau ada pahit yang kemungkinan kita terima daripada pihak yang menghubungi kita.
Komen tentang ‘MUA Jadian’? Baru buat satu, dua tutorial, sudah meletakkan diri sebagai profesional?
Ia berlaku kerana adanya pengaruh laman sosial pada hari ini. Tidak boleh disalahkan sesiapa kerana situasi semasa yang mengawalnya secara halus. Semua mahu jadikan bidang ini sebagai ruang kerjaya dan pendapatan maka sesekali wujudnya persaingan yang kurang sihat untuk merebut gelaran terbaik. Pendapat saya, mereka (yang baru) boleh letakkan apa saja gelaran yang mereka mahu, tetapi dari segi pengalaman, mereka tidak mampu menciptanya. Jangan ‘syok sendiri’. Cepat naik, cepat juga jatuh nanti. Itu pendapat lazim orang-orang lama seperti saya. Maaf kalau ada yang tidak bersetuju.
Kredit Foto: IG Ayangkamell
Tips atau nasihat Ayang untuk mereka yang berminat dalam dunia solekan?
Okey, dengar sini baik-baik.
Yang pertama, bakat tanpa ilmu adalah sia-sia. Oleh itu, mantapkan diri dengan ilmu terlebih dahulu dan kumpul pengalaman seluasnya. Bicara melalui ilmu yang betul dan bukan daripada citarasa sendiri sahaja.
Kedua, merendah diri itu percuma, tetapi bayarannya sentiasa meningkat mahal.
Ketiga, latih diri berdisiplin, walau terpaksa!
Keempat, mantapkan cara komunikasi dan skil perhubungan dengan pelanggan. Senangkan? Apa yang kita suka, itulah juga yang kita berikan kepada orang lain.
Kelima, belajar meminati solekan secara universal dan bukan personal. Mencipta identiti itu perlu tetapi menerima input dan output universal itu lebih utama. Maksudnya; mestilah suka kepada semua jenis seni dalam solekan. Tidak terlalu fokus kepada satu-satu citarasa sahaja.
Akhir sekali FOKUS!
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar