gaya hidup
Nak Kahwin Tak Lama Lagi? Belajar Masak Dulu Okey. Taklah Nanti Terkial-Kial Masuk Dapur Rumah Mentua. Ops…
Masih terngiang-ngiang ditelinga penulis apabila arwah nenek yang mesra disapa Mak Tok berleter memberikan kata-kata nasihat dan peringatan untuk cucu-cucu perempuannya. “Esok ni dah menikah, jangan dok makan kederat orang (harapkan orang lain yang buat semua kerja).” Hinggakan kalau zaman dahulu, bagaikan malu yang sukar digambarkan kalau anak dara tak pandai memasak. Dan jangan mimpilah mahu hidup bersuami andai punya anak dara yang tak tahu-menahu dalam memasak.
Kredit Foto: Google
Begitulah tahap piawaian yang nenek moyang kita persiapkan sebelum mengahwinkan anak dara dengan sesiapa sekalipun. Pendek kata, kalau tak pandai masak tu bagaikan memalukan keluarga, umpama si ibu tak pandai mengajar anak dan sebagainya. Namun demikian mungkin zaman sekarang persepsi itu tidak setebal dahulu.
Tak Pandai Masak Tak Apa, Asalkan Cantik… Ehh, Boleh Ke Macam Tu?
“Aku tak kisah kalau dia tak pandai masak. Janji dia pandai layan aku, sedap mata memandang. Kalau tak tahu masak, boleh order aje bro. Lagipun alah, lama-lama nanti pandailah dia nak belajar,” ujar si lelaki yang masih bujang dan tak meletakkan sasaran untuk berkahwin lagi. Kalau sehari dua beli dan makan di luar, bolehlah tahan lagi. Tapi takkanlah pula tujuh hari seminggu asyik nak membeli sahaja. Dan sampai bila suami boleh bertahan tanpa merasa air tangan isteri walau cuma telur dadar dan sambal sardin? Juga fikirkan andai sudah punya anak nanti. Sampai bila tekak mereka hanya tahu makanan barat atau makanan luar tanpa merasai betapa sedapnya masakan dari air tangan ibu. Rugi kan?
Kredit Foto: Google
Usahakan Diri Untuk Belajar Memasak
Terlalu banyak medium yang ada sekarang untuk kita pelajari sesuatu ilmu. Baik mengasah pengetahuan sedia ada atau mempelajari sesuatu yang baru, semuanya hanya dihujung jari. Google, YouTube, Instagram dan lain-lain turut memuatkan kandungan atau laman yang khusus dalam masakan. Resipi, tutorial, video masakan, aneka resipi boleh dijadikan panduan dan rujukan kalau tak mahu kembali kepada cara lama iaitu belajar memasak menerusi buku masakan. Bahkan, bertanya kepada yang arif juga boleh dijadikan sebagai sumber pembelajaran. Pokoknya, hati perlu berkehendak selain rajin dan bersungguh-sungguh untuk menguasai dan mempelajarinya. Tiada alasan lagi kalau mahu bermalas-malasan untuk belajar masak. Hinggakan ramuan atau bahan yang disediakan juga telah banyak memudahkan kerja dan proses memasak. Sebut sahaja apa yang mahu dimakan, semuanya boleh didapati dengan mudah, cepat dan pantas.
Kredit Foto: Google
Tak Rugi Tau Belajar Masak!
Sesuatu ilmu atau kemahiran yang dikuasai percayalah, ia akan memberi manfaat dan kebaikan yang berpanjangan. Kalau dah pandai masak, bukan setakat anak-anak dan suami bertambah sayang tetapi pahala juga akan kita peroleh jika ia diniatkan kerana Allah. Air tangan kita pasti akan dicari dan dirindui lebih-lebih lagi kalau dah handal memasak itu dan ini. Barulah suami tak segan silu mengajak sesiapa bertandang ke rumah untuk turut sama merasa air tangan isteri tercinta. Dan paling penting buat yang baru berkahwin, taklah nanti kekok beraksi di dapur rumah mentua kalau dah mahir serba-serbi.