Read

Nyaris dipanggil ‘Ayam Negro’ – Ini Sebab Ayam Kicap ‘3 BUDAK GEMOK’ Viral LUAR BIASA!

Public Anonymous User
18/01/2019
03:28 MYT
Sponsor Banner
Nyaris dipanggil ‘Ayam Negro’ – Ini Sebab Ayam Kicap ‘3 BUDAK GEMOK’ Viral LUAR BIASA!
Oleh: Huda Hussain

Kredit foto: IG tigabudakgemok

Dari mana dan bagaimana tercetusnya ilham tampil dengan nama 3 Budak Gemok?
Mulanya kami fikir mahu tampil dengan nama the notch (dalam Bahasa Zimbabwe bermaksud hitam) tetapi apabila difikir semula, tak cukup ‘catchy’. Kemudian mahu letak nama ayam negro tapi takut dilabel ‘racist’ pula.
Hinggalah kami decide mahu tampil dengan 3 Budak Gemok sebabnya memang kami bertiga (saya dan dua orang adik gemuk).
Kami tidak fikir soal malu atau moral down kerana memang hakikatnya saya (Rafeel Ramli) dan dua orang lagi adik perempuan (Natasha dan Natalia) memang beginilah saiznya, hahaha.
Peringkat awal kami hanya berniaga dengan dua meja di bawah khemah berhampiran dengan Garsa Kitchen di Wangsa Maju, Seksyen 10.
Alhamdulillah sejak mula dibuka pada Disember 2016 hingga kini sambutan yang kami terima amat menggalakkan.
Resipi ayam kicap, apakah ia warisan turun-temurun keluarga?
Sejujurnya mak kami tidaklah pandai masak banyak jenis makanan. Cuma ayam kicap kuah pekat inilah salah satu daripada masakannya. Dari kami kecil hingga hari ini, memang inilah rasanya.
Tiada yang berubah. Lantas kami fikir untuk komersilkan masakan emak supaya ia dapat dirasai semua.

Kredit foto: IG tigabudakgemok

Keberanian untuk membuka perniagaan yang hanya fokus kepada satu menu sahaja, siapa punya idea?
Adik saya selalu ingatkan agar ‘presentation’ untuk sesuatu menu perlu ada kelainan. Malah saya pula dalam pada berborak-borak dengan adik-beradik yang lain selalu tertanya-tanya dan mencari, “Memang susah nak jumpa di luar ayam kicap kuah pekat macam mak selalu masak.
Sama ada di rumah orang atau kedai makan, memang takkan ada yang sama” dan daripada situlah adik-beradik saya sepakat juga timbulnya idea untuk cuba dan mula berniaga.
Pada awalnya, adik kedua saya yang memasak. Dan bercakap mengenai kelebihannya, dia pandai dan rajin mencuba pelbagai jenis masakan.
Daripada segi modal permulaan pula, boleh dikatakan mencecah ribuan ringgit juga kami peruntukkan untuk mula berniaga.
Apa cabaran atau kekangan awal yang kalian perlu harungi?
Cabarannya perlu bangun awal pagi ke pasar mencari bahan mentah untuk membeli. Malah pada mulanya kami hanya membeli ayam di NSK atau Giant.
Hinggalah kami berjumpa dengan beberapa orang di pasar borong yang menawarkan khidmat penghantaran.
Cabaran lain termasuklah soal penat. Yalah, bisnes makan seperti ini bohonglah kalau saya katakan tak penat. Tetapi ia berbaloi apabila hasil jualan kami habis dan sentiasa mendapat permintaan daripada pelanggan.
Dari dua buah meja di Seksyen 10 hingga kini punya dua lagi cawangan, kalian percaya kuasa media sosial dan sebaran mulut ke mulut membantu meluaskan nama 3 Budak Gemok?
Alhamdulillah syukur kini kami mempunyai tiga cawangan dalam tempoh lebih kurang setahun setengah. Apa yang menjadi perhatian adik saya dalam era kini, kita tidak boleh terlalu bergantung kepada kuasa mulut ke mulut sahaja.
Adik saya mengambil inisiatif masuk ke kelas dan mempelajari selok-belok pemasaran, online dan offline untuk terus memajukan perniagaan kami.
Dialah yang berkongsi ilmu kepada kami kerana memang menjadi lumrah semua orang punya akaun di media sosial (Facebook, Instagram) dan sebagainya.
Maka daripada situlah kami manfaatkan pengaruh media sosial untuk mengembangkan lagi perniagaan ini.

Kredit foto: IG tigabudakgemok

Apa lagi keistimewaan 3 Budak Gemok yang menjadi kegilaan warga kota ini?
Kami hidangkan makanan yang boleh dinikmati semua kelas masyarakat. Tidak kiralah sama ada orang kaya, pertengahan mahupun bawahan semua boleh makan. Ia bagaikan makanan ‘standard’ yang dijual pada harga yang murah dan sesiapa sahaja boleh membeli.
Seperkara lagi, kami punya satu lokasi yang memastikan kuah ayam dimasak dan diramu dengan bahan yang mencukupi.
Ia bagi memastikan kualiti, tekstur dan rasa ayam kicap itu sama di setiap cawangan.
Bagaimana pula dengan sambutan yang diterima pelanggan? Misalnya dahulu hanya buka gerai untuk makan tengah hari dan kini sudah membuka gerai untuk makan malam pula, komen?
Alhamdulillah syukur sambutan yang kami terima amat menggalakkan. Malah ada pelanggan yang datang dari jauh nun dari Sabah malah ada yang datang dari Brunei. Dan rata-rata sekitar Semenanjung kian tular dari mulut ke mulut.
Dan mengenai buka gerai pada waktu malam pula, ketika itu kami sedang mencari lokasi untuk luaskan perniagaan. Kebetulan The H Hartamas menawarkan ruang dan waktu operasi bermula jam 6.30 petang hingga satu pagi setiap hari.
Begitu juga di Uptown Kota Dame, kami mula berniaga dengan waktu operasi yang sama.
Alhamdulillah sambutan yang kami terima amat baik. Sama hebat permintaannya baik untuk makan tengah hari dan makan malam.

Kredit foto: IG tigabudakgemok

Kekuatan 3 Budak Gemok bersandarkan kepada apa? Komen?
Selain daripada menu nasi ayam kicap dan sambal gesek, pada saya mungkin kerana keakraban kami adik-beradik yang membuatkan perniagaan ini Alhamdulillah semakin berkembang.
Misalnya adik kedua saya dahulu yang sering ‘menghasut’ agar saya terjun ke dunia perniagaan.
Daripada makan gaji (dahulunya saya bekerja di sektor perbankan) dia yang beria-ia mengajak saya membuka perniagaan ini bersama-sama. Dari segi lain, mungkin juga gabungan bakat, ilmu dan pengalaman daripada latar belakang kami sebelum ini banyak membantu.
Misalnya saya lebih kerap tampil ke hadapan dan menguruskan soal PR. Adik kedua pula memang ‘kaki masak’ dan mahir soal pemasaran manakala adik ketiga pula mahir dalam selok-belok ‘mencantikkan’ persembahan menu kami.
Adik lelaki pula sememangnya bijak dalam menguruskan soal aliran keluar masuk wang. Maka boleh disimpulkan gabungan kami adik-beradik sudah cukup rencahnya, berbekalkan bakat dan kemahiran masing-masing.
Alhamdulillah, saya bersyukur untuk itu – dikurniakan adik-beradik yang saling menyokong antara satu sama lain.
Kalau soal bergaduh, berselisih faham itu sudah biasa tetapi yalah – itu yang mengeratkan ikatan sesama kami.
Harapan Rafeel agar 3 Budak Gemok terus berkembang maju?
Saya punya harapan agar 3 Budak Gemok mempunyai cawangan di setiap negeri. Insya Allah, doa-doakan ya!
Punya perancangan mahu membuka cawangan misalnya di pusat membeli-belah atau apa lagi yang mahu dikongsi bersama InTrend?
Buat masa sekarang saya dan adik-beradik mahu fokus kepada perniagaan kami. Dalam masa sama kami juga sentiasa peka dengan perkembangan dan permintaan pelanggan.
Misalnya idea untuk tampil dengan menu tambahan seperti telur dadar itu datang daripada pelanggan.

Kredit foto: IG tigabudakgemok

Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024