Personaliti

Orang KL, Selangor Boleh ‘Dine-In’ Bermula Esok! Tapi Untuk Yang Dah Lengkap 2 Dos Ya.

Huda Hussain
19/08/2021
11:38 MYT
Sponsor Banner
Orang KL, Selangor Boleh ‘Dine-In’ Bermula Esok! Tapi Untuk Yang Dah Lengkap 2 Dos Ya.
Memetik intipati pengumuman yang dimuat naik di Facebook Muhyiddin Yassin, pastinya khabar ini beri kelegaan kepada mereka yang mengusahakan kedai makan dan restoran.
KEMUDAHAN TAMBAHAN SEKTOR SOSIAL DAN EKONOMI BAGI INDIVIDU YANG TELAH MENERIMA VAKSINASI LENGKAP
Pada 8 dan 15 Ogos 2021, Kerajaan telah mengumumkan kemudahan-kemudahan sektor sosial dan ekonomi bagi individu-individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.
Seterusnya pada hari ini, saya telah mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membincang dan mempertimbangkan cadangan oleh Jawatankuasa Khas Teknikal MKN untuk memperluaskan lagi kemudahan sektor sosial dan ekonomi terutamanya bagi Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Sidang Khas MKN pada hari ini juga dihadiri oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Ketua-Ketua Setiausaha dari setiap kementerian, Ketua Pengarah Kesihatan, Ketua Pengarah MKN, Ketua Pengarah Imigresen dan pegawai-pegawai kanan Kerajaan yang berkenaan.
Untuk makluman, pertimbangan yang dibuat pada hari ini mengambil kira perkembangan positif kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di seluruh negara yang telah melebihi 50 peratus. Pencapaian ini adalah lebih awal daripada yang disasarkan sebelum ini iaitu 31 Ogos 2021.
Selain itu, mesyuarat turut mengambil maklum perkembangan awal yang positif daripada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di beberapa buah negeri iaitu di WP Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan dan negeri-negeri Lembah Klang (Selangor, WP Kuala Lumpur dan Putrajaya).
Data yang dikumpul oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan bahawa setakat ini, kesemua negeri yang dinyatakan telah mula menunjukkan penurunan bilangan kes bagi kategori 3 hingga 5 apabila liputan dos lengkap vaksin COVID-19 bagi populasi dewasa (18 tahun dan ke atas) telah melebihi 40 peratus.
Pada masa yang sama, data daripada Crisis Preparedness Response Centre (CPRC) bagi Hospital menunjukkan situasi di Jabatan Kecemasan di Lembah Klang juga bertambah baik. Contohnya purata pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan untuk ditempatkan ke wad pesakit bagi hospital KKM di negeri-negeri Lembah Klang telah menurun. Situasi ini dilihat selari dengan pencapaian kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di Lembah Klang yang memberangsangkan iaitu 73.8 peratus.
Apabila liputan imunisasi meningkat, kita akan melihat kes-kes COVID-19 yang perlu dimasukan ke ICU mula menunjukkan trend mendatar and diharapkan akan menurun.
Sehubungan itu, Sidang Khas MKN pada hari ini telah bersetuju untuk memberikan kemudahan-kemudahan tambahan sektor sosial dan ekonomi kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap bagi negeri-negeri di dalam Fasa 1 PPN.
Penting untuk dijelaskan bahawa seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai individu yang telah lengkap vaksinasinya apabila telah memenuhi kriteria-kriteria berikut:
a) Bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (Contohnya Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua; dan
b) Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (Contohnya Johnson & Johnson dan CanSino), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.
Kemudahan-kemudahan tambahan yang dibenarkan bagi sektor sosial secara amnya adalah seperti berikut:
a. Aktiviti Dine-In kini DIBENARKAN bagi negeri-negeri Fasa 1 PPN dan seterusnya: i. Saya ingin menyarankan kepada pengusaha-pengusaha premis kedai makan supaya menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih baik. Risiko penyebaran virus COVID-19 adalah jauh lebih tinggi di dalam premis berbanding di luar.
ii. Pemilik premis kedai makan perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk dine-in MESTI menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.
iii. Bagi pasangan yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk dine-in di premis kedai makan, pastikan anak-anak anda mematuhi SOP yang ketat.
b. Aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan (outdoor) juga DIBENARKAN bagi negeri-negeri Fasa 1 PPN dan seterusnya serta terpakai di dalam daerah yang sama sahaja.
i. Aktiviti sukan dan rekreasi amat penting bagi memastikan tahap kesihatan minda dan kecergasan fizikal yang baik. Oleh itu, aktiviti ini dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka (outdoor) termasuk separa terbuka bermula jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam.
ii. Aktiviti dine-in di restoran atau kafe di premis club house adalah DIBENARKAN selaras dengan kebenaran dine-in. Pemilik premis perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk dine-in MESTI menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.
iii. Operasi bilik persalinan atau bilik mandi di premis club house adalah TIDAK DIBENARKAN. Ini bagi mengelakkan perkumpulan selepas bersukan dan mengurangkan risiko jangkitan.
iv. Aktiviti yang dibenarkan adalah seperti jogging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (single), badminton (single), golf, permotoran dan seumpamanya.
v. Aktiviti yang dibenarkan juga termasuklah perkelahan dan perkhemahan. Penyertaan anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah adalah dibenarkan dengan pematuhan SOP yang ketat.
Sidang Khas MKN juga bersetuju memberikan kemudahan tambahan dalam sektor perdagangan dan pengedaran bagi Fasa 1 PPN dan seterusnya. Kemudahan yang dibenarkan secara amnya adalah seperti berikut:
a. Operasi Pasar Malam dan Pasar Minggu adalah DIBENARKAN
i. Pihak penguatkuasa yang berkenaan serta pemilik premis perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis MESTI menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.
Kesemua kemudahan yang saya umumkan hari ini akan mula berkuatkuasa pada JUMAAT, 20 OGOS 2021. Perincian bagi kemudahan-kemudahan yang baru saya umumkan ini akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam waktu yang terdekat.
Ingin saya tegaskan bahawa setiap kementerian dan agensi yang memantau kemudahan-kemudahan tersebut, termasuk pemilik premis, MESTILAH BERTANGGUNGJAWAB SEPENUHNYA ke atas pelaksanaan kemudahan yang diberikan bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan dan mengelakkan mudarat.
Jika berlakunya jangkitan di premis yang menikmati kemudahan-kemudahan ini, KKM terutamanya akan segera mengambil langkah sewajarnya termasuk melakukan penilaian semula risiko serta tidak menolak kemungkinan menutup serta-merta premis atau kawasan yang terlibat selain mengeluarkan kompaun kepada pihak yang dikenalpasti melanggar SOP.
Kita sebagai rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab bersama dalam usaha mengatasi pandemik COVID-19 ini. Sememangnya, kemudahan ini juga meletakkan tanggungjawab ke atas rakyat yang sudah menerima vaksinasi lengkap untuk membuat penimbangan risiko kendiri yang rasional dan bijaksana dalam menghadapi ancaman virus COVID-19 yang kini sudah berleluasa di dalam komuniti kita. Insya-Allah Kita Menang Bersama.
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN PERDANA MENTERI
19 OGOS 2021
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar