gaya hidup

Pantang Makan Selepas Pembedahan? Ini Jawapan PADU Dr Imelda Balchin. Mudah Faham Dan Hadam.

Huda Hussain
03/12/2020
14:45 MYT
Sponsor Banner
Pantang Makan Selepas Pembedahan? Ini Jawapan PADU Dr Imelda Balchin. Mudah Faham Dan Hadam.
Tidak dinafikan masih ada lagi segelintir masyarakat kita yang tidak jelas dan cakna dalam perihal ini. Lebih-lebih lagi selepas melalui pembedahan untuk merawat apa jua penyakit yang dialami. Menerusi muat naik yang dikongsikan di laman Facebook, Dr Imelda Balchin, yang juga seorang Konsultan Obstetrik & Ginekologis Hospital Pakar KPJ Damansara menghuraikan sebab musabab dan pengecualian mengenai pantang makan selepas pembedahan. Berikut adalah hasil tulisannya.
Tuuuuu diaaaaaaaaa. Pakar-pakar bedah hospital-hospital antarabangsa tak suruh pun pesakit-pesakit pantang makan selepas pembedahan, selagi pesakit itu memang pun tiada alahan atau allergy kepada makanan tertentu. Saya buat pembedahan Caesarean Section untuk ibu-ibu pun saya tak pernah suruh ibu-ibu berpantang makanan yang berkhasiat selagi tiada food allergy. Kalau tiada food allergy, tak payahlah pantang seafood selepas pembedahan. Kalau tiada food allergy, tak payahlah pantang ayam dan telur selepas pembedahan.
Kredit Foto: Google
Makanan bukanlah penyebab nanah. Nanah itu disebabkan oleh kemasukan bakteria ke dalam luka pembedahan. Sel-sel darah putih dari saluran darah kita akan berkumpul di sekeliling bakteria-bakteria dan mempenjarakan bakteria. Hasilnya ialah apa yang kita lihat sebagai nanah yang perlu keluar dari badan untuk mencepatkan pemulihan luka.
Zaman sekarang doktor bedah berikan antibiotik sebelum pembedahan besar atau major surgery, untuk mencegah jangkitan dan mencegah nanah, bukan macam zaman dulu. Antibiotik penicillin hanya ditemui secara semula jadi pada tahun 1928 dan hanya mula digunakan oleh doktor perubatan untuk merawat pesakit buat pertama sekali pada tahun 1942. Pada zaman arwah nenek kita, tiada antibiotik, maka apa yang ada sedikit sifat antibakteria ialah ikan haruan dan manjakani. Zaman sekarang, tiada keperluan lagi memaksa pesakit bedah makan ikan haruan atau menggunakan manjakani sebab kita sudah lebih maju dalam penjagaan kesihatan pesakit-pesakit kita.
Kredit Foto: Google
Zaman sekarang, doktor bedah gunakan benang synthetic yang halus dan disalut bahan antibakteria untuk mencegah keradangan bukan macam zaman dulu dimana doktor bedah hanya ada benang natural semula jadi yang dibuat dari usus kambing, iaitu benang catgut (cattlegut). Inilah salah satu sebab mengapa zaman dulu pesakit bedah kena duduk di hospital lebih lama dari zaman sekarang. Pada tahun 1968, mak mertua saya bersalin secara pembedahan Caesar kepada suami saya di England, dan kena duduk Hospital sampai 10 hari untuk memantau kesembuhan luka pembedahan. Sekarang hanya perlu duduk Hospital 2 malam selepas Caesar dan boleh pulang ke rumah jika tiada masalah lain.
Sayur-sayuran dan buah-buahan yang pelbagai jenis sangat bagus untuk pesakit bukan hanya sebab ada pelbagai jenis zat, Vitamin dan mineral, tetapi sebab serat semula jadi ini juga membantu pergerakan usus untuk mengurangkan masalah sembelit. Selepas pembedahan ada lebih kecenderungan pesakit mengadu sembelit sebab pergerakan usus menjadi perlahan setelah berpuasa, berbaring lama-lama tiada aktiviti fizikal seperti biasa, dan bergantung kepada apakah jenis ubat bius dan ubat tahan sakit yang digunakan.
Kredit Foto: Google
  1. Pengecualiannya ialah pesakit yang ada masalah buah pinggang dan tak boleh makan makanan yang tinggi kandungan potassium. Yang tu kena pantang.
  1. Pengecualiannya ialah pesakit yang ada masalah diabetes dan tak boleh makan makanan yang tinggi kandungan gula. Yang tu kena pantang.
  1. Pengecualiannya ialah pesakit yang ada masalah hypertension dan tak boleh makan makanan yang tinggi kandungan garam. Yang tu kena pantang.
  1. Pengecualiannya ialah pesakit yang ada muntah-muntah atau pembedahan usus maka tak boleh makan sehingga pakar bedah kata boleh makan. Yang tu kena pantang sementara.
Jika kita jaga kebersihan tangan sebelum menyentuh apa-apa luka dan jaga kebersihan luka, Insyallah risiko jangkitan bakteria atau nanah sangat rendah. Inilah nasihat utama yang kita semua mesti disampaikan kepada semua pesakit selepas pembedahan, bukan pantang makanan yang sihat dan berkhasiat. Pesakit yang ada obesiti atau diabetes yang tidak terkawal ada lebih risiko luka pembedahan yang lambat sembuh dan mungkin perlukan tambahan antibiotik sebab lebih senang mendapat jangkitan kuman bakteria pada luka pembedahan. Sebab inilah pemakanan sihat dan mengawal gula itu sangat penting untuk pesakit diabetes yang terpaksa dibedah.
Kredit Foto: Facebook Dr Imelda Balchin
Petang ni, saya makan makanan Hospital: bubur nasi dengan ayam, cream of tomato soup, pan seared chicken, mashed potato, mixed vegetables, low fat yoghurt dan jus mangga tanpa tambahan gula. Alhamdulillah. Terimakasih kepada doa anda semua supaya saya cepat sembuh. Kita mesti ceria dan positif selalu sebab kesihatan emosi dan kesihatan mental juga sangat penting untuk kesihatan fizikal. Toksah laaaaa dok kecam-kecam pesakit yang tak pantang makanan berkhasiat sebab mereka membuat pilihan nak ikut nasihat doktor-doktor perubatan. Jika anda kecam orang yang sakit, anda hanya akan bagi stress kat pesakit dan ini boleh memudaratkan mereka.
Semoga maklumat ini bermanfaat untuk anda semua. Yang ikhlas, Kak Mel. Hari ini saya bukan doktor.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar