Highlights
Para Ibu Ajar ANAK LELAKI Buat Kerja Rumah, Berdikari – Supaya Nanti Tak Menyusahkan Isteri Mereka!
Ada cara orang zaman dulu yang boleh kita teruskan dalam hal mendidik anak-anak, namun yang mana bersifat tidak relevan atau tipikal, haruslah kita tinggalkan. Kebanyakan ibu bapa zaman dulu mempunyai pemikiran (dalam mendidik anak) bahawa anak perempuan duduknya di dapur dan anak lelaki bekerja serta bermain di luar. Adalah menjadi perkara biasa apabila anak lelaki hanya akan memerintah kakak atau adik perempuan mereka menyediakan keperluan mereka.
Apabila ini berlaku sehingga mereka dewasa, anak lelaki akhirnya akan membawa sikap ini langsung ke alam mereka. Yang harus menggalas tanggungjawab ibu dan adik-beradik perempuan itu tentulah isteri mereka pula. Jika isteri tidak bekerja dan hanya duduk di rumah, mungkin tidak mengapa tetapi jika sama-sama bekerja mencari nafkah, adalah sangat tidak adil untuk membebankan semua kerja rumah di bahu seorang isteri. Dengan alasan, itu kerja orang perempuan!
Kredit Foto: Google
Sampaikan Lauk Pun Kena Disudukan
Cerita Amy yang bersuamikan Zainal lima tahun lalu, hatinya memang sentiasa sakit dan berbulu mata apabila melihat tingkah suami yang pemalas dan tidak tahu langsung membuat kerja rumah. Zainal dan Amy sama-sama bekerja dan gaji mereka pun lebih kurang sama banyaknya. Namun, yang menyedihkan, walaupun Amy membantu dari segi ekonomi keluarga, Zainal tidak pula mahu membantunya membuat kerja rumah.
Mujurlah anak mereka hanya seorang, namun itu pun tidak pernah Zainal bantu buatkan susu atau tukarkan lampin. Katanya, tidak biasa. Okeylah, Amy tidak kisah soal anak. Dia sendiri dengan senang hati mampu lakukannya demi anak tersayang. Namun, apabila hal keperluan Zainal dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar keperluan pun Amy harus uruskan, ia membuatkan Amy sangat tertekan. Mengalahkan kena melayan anak kecil pula!
Tidak pernah sekali Zainal angkat pinggannya ke dapur, apa lagi mahu dicuci. Penyapu pun tidak pernah dipegang, apa lagi mahu mencuci baju atau melipatnya. Memasak, jangan cakaplah. Secawan air pun tidak pernah dibancuhnya selama mereka berkahwin. Malah, kalau sudah siap hidangan di atas meja, Zainal tidak akan jamah selagi Amy tidak sendukkan nasi dan sudukan lauk ke pinggannya! Memang menjengkelkan! Sedangkan di pangkuan Amy, ada anak yang sedang menyusu.
Kredit Foto: Google
Ibunya Layan Anak Lelaki Bagaikan Raja
Apabila sudah lama berkahwin dan pernah duduk beberapa hari di rumah mertua, barulah Amy dapat tangkap kenapa perangai Zainal begitu? Zainal ada dua lagi adik-beradik lelaki dan seorang adik perempuan. Ibu Zainal memang tidak bekerja dari dulu, jadi tugasnya 24 jam sebagai suri rumah dan bapanya seorang pegawai pencen. Kalau berada di rumah itu, Amy dapat lihat bagaimana budaya lelaki adalah Raja di rumah mertuanya.
Apabila berkumpul seluruh keluarga, memang ibu mertua, menantu perempuan dan adik perempuan Zainal bagaikan lipas kudung menguruskan makan pakai golongan lelaki dalam rumah itu. Kalau ada menantu perempuan yang minta suami tolong susukan anak atau angkatkan baju, ibu mertua Amy akan buat ‘muka ketat’. Baginya, adalah sesuatu yang kurang sopan untuk menyuruh suami melakukan kerja-kerja sebegitu. Rupanya, semua biras Amy berdepan situasi yang sama.
Kata adik perempuan Zainal, ibu memang melayan anak-anak lelaki berbeza kasta dengan anak perempuan. Ibu sanggup berpenat-lelah menyediakan semua kelengkapan suami dan tiga anak lelakinya daripada makan, minum, pakaian malah dulu kasut sekolah pun ibu yang cucikan, rambut ibu sikatkan sehingga mereka darjah enam. Katil mereka, ibu kemaskan. Kalau di meja makan sehingga ke hari ini, ibu akan cedukkan makanan untuk kesemua mereka. Ibu umpama dayang yang melayan anak-anak raja.
“Apa nak buat, ibu seronok dapat lakukan semua itu walaupun kadang-kadang adik ada juga tegur. Tapi kata ibu, adik jangan jadi pemalas, bagi alasan tak mahu buat kerja rumah. Kita pula yang kena. Hahaha...” Luah adik ipar Amy.
Kredit Foto: Google
Ambil Perhatian, Para Ibu! Tukar Cara Didikan Anak Lelaki
Tidak hilang kejantanan anak lelaki jika diajar tentang kemahiran hidup untuk menguruskan diri dan rumah. Kehidupan mereka yang akan datang nanti bukan hanya mencari rezeki. Misal kata mereka langsung tidak berkahwin atau ditakdirkan beristerikan perempuan yang sama pemalas, bagaimana agaknya rumah tangga mereka kelak? Jadi, sangat tidak relevan untuk menjadikan anak lelaki ‘raja’ di rumah. Ajar mereka skil berdikari dan ‘survivor’.
- Seawal usia empat tahun, ajar mereka untuk mengambil minuman mereka sendiri. Bagaimana mengemas semula barang mainan yang sudah disepahkan agar mereka ada sifat tanggungjawab dari kecil.
- Jika mereka punya adik, didik mereka untuk ada rasa sifat ‘abang’ dan tanggungjawab terhadap adik seperti bantu susukan adik atau tukarkan baju adik itu.
- Tetapkan rutin mereka sebaik bangun pagi, katil harus dikemaskan sendiri. Jangan keluar bilik selagi cadar katil tidak tegang dan bantal disusun di tempat yang betul.
- Apabila sudah masuk sekolah, biarkan mereka uruskan perkakas sekolah dengan bantuan anda. Bagaimana untuk kemas beg sekolah setiap malam, cuci kasut dan bersiap ke sekolah? Jangan semua dibuatkan untuk mereka.
- Selepas makan, pastikan setiap anak mengangkat dan mencuci sendiri pinggan dan cawan mereka.
- Adakan rutin berjadual untuk tugas anak-anak mengemas meja makan, menyapu dan sebagainya.
- Pelihara haiwan peliharaan juga bagus untuk menerapkan sifat tanggjawab dan komitmen. Biarkan mereka sendiri yang bersihkan tempat najis haiwan, beri makan dan sebagainya.
- Sesekali, bawa anak ke dapur untuk tahu apa itu bawang, tepung, lesung batu dan sebagainya. Minta mereka bantu potong sayur atau cuci ikan. Daripada situ mereka tahu, dari mana asal makanan yang masuk ke mulut mereka itu.
Kredit Foto: Google