Kecantikan

PENGANTIN Umur 60 Tahun, Lepas Mekap Terus Nampak Macam 30 an! Ini Cerita Jurusoleknya

Afiza Kamarulzaman
29/09/2021
08:35 MYT
Sponsor Banner
PENGANTIN Umur 60 Tahun, Lepas Mekap Terus Nampak Macam 30 an! Ini Cerita Jurusoleknya
Penangan solekan yang tepat bisa mengubah ketidak sempurnaan wajah kepada kanvas yang lebih indah dan mengasyikkan saat dipandang mata. Itulah fungsi mekap sebenarnya; menutup cela, menambah serikan wajah dan menonjolkan paras yang lebih berkarisma.
Baru-baru ini tular di media sosial kisah seorang pengantin berusia 60 tahun yang kelihatan awet muda persis wanita 30 tahun selepas dia disolekkan untuk majlis akad nikahnya. InTrend sempat mewawancara jurusolek empunya gambar, Erma Tahir.
Jurusolek berasal dari Kulai Johor ini mula berjinak-jinak dalam dunia solekan ketika di bangku sekolah lagi menerusi contengan wajahnya sendiri. Namun, dilakukan sorok-sorok kerana takut diketahui bapanya.
Kemudian, bakatnya dikembangkan dengan menyolekkan ahli keluarga dan mak cik mak ciknya sebelum memberanikan diri mengambil tempahan pengantin di sekitar kawasan Kulai.
Pada awalnya, kerjaya solekan pengantin ini dilakukan secara sambilan sahaja sementalah Erma masih bekerja tetap. Hanya selepas anak-anak sudah bersekolah, barulah dia mengambil keputusan untuk menumpukan kerjaya ini sepenuh masa.
“Alhamdulillah, permintaan sentiasa ada walaupun agak terjejas ketika PKP yang lalu. Servis saya diketahui orang melalui mulut ke mulut dan menerusi hebahan di media sosial,” ujarnya memulakan bicara kami.
Erma Tahir
Bertalu-talu Oarang Hubungi Selepas Viral
Terus pada kisah pengantin 60 tahun yang viral baru-baru ini, kongsi Erma, “Ya Allah, saya pun tak sangka. Sebenarnya majlis akad nikah tu diadakan bulan Ogos yang lalu, hanya baru ni saya sempat upload.
Tak dinafikan selepas viral, bertalu-talu orang hubungi saya dan kebanyakannya di luar Johor. Tapi, maaflah saya tak dapat penuhi buat masa ni demi keselamatan. Insya Allah, ada rezeki bolehlah saya mengembangkan bakat ini ke luar Johor pula,” katanya merendah diri.
Ceritanya lagi, kliennya yang bernama Kak Mislia itu dikenali menerusi anak saudaranya yang pernah dimekapkan sebelum itu. Kemudian, anak saudaranya recommend kepada mak ciknya pula, iaitu pengantin berusia 60 tahun ini.
“Ketika berbual di telefon, dia ada tanya ‘boleh ke mekapkan orang berusia? Kemudian, dia beritahu dia 'Sweet 60'. Saya okey saja kerana saya memang sukakan cabaran baru,” jelas Erma.
Rahsia Muda Kak Mislia
Menurut Erma lagi, ketika pertama kali melihat Kak Mislia, dia macam tak percaya umurnya sudah 60 tahun. Sekali imbas macam umur sekitar 40 tahun kerana tanpa mekap pun, wajahnya nampak muda. Erma puji cara beliau menjaga kulit mukanya kerana nampak cekang dan mulus seperti orang muda.
Sambil-sambil menyolekkan pengantin itu, mereka sempat juga berbual-bual. Tentunya Erma tak melepaskan peluang bertanyakan rahsia kecantikan empunya wajah awet muda itu.
“Katanya, dia mengamalkan minum banyak air putih sebaik bangun pagi, sebelum gosok gigi. Dan, banyak makan ulam-ulaman. Itu sajalah petua yang dikongsinya dengan saya.”
Erma mengambil masa lebih kurang satu jam lebih untuk menyolekkan Kak Mislia. Dan, selepas siap ditatarias, ternyata wajah Kak Mislia berubah begitu indah, nampak segar dan muda. “Walaupun dia memang nampak muda pun sebelum mekap tapi selepas mekap berganda muda dia kelihatan.”
Ramai memuji hasil solekan hari itu. Usai akad nikah, kliennya itu sempat menghubunginya memberitahu ramai suka dengan solekan Erma itu. “Alhamdulillah, inilah kepuasan bagi seorang jurusolek apabila klien puas hati dan happy,” tutur Erma lagi.
Tips Menyolekkan Wanita Berusia
Dalam wawancara ini juga, Erma tidak lokek untuk berkongsi tips bagaimana menyolekkan wajah matang atau berusia? “Jangan solek terlalu tebal, gunalah teknik natural semaksima yang boleh. Kulit wanita berusia tidak boleh terlalu ‘diasak’ dengan penutupan mekap yang ‘over’.
Saya juga mengaplikasikan langkah penjagaan kulit yang teratur (prep-skin) sebelum memulakan sapuan foundation seperti membelai wajah pengantin dengan sapuan serum, pelembap dan primer untuk elak pori kulit tersumbat apabila sudah ditutupi mekap berlapis-lapis,” kongsi Erma.
Erma juga menyarankan pilihan warna yang selamat dan lembut untuk mata, pipi dan bibir buat wanita berusia.
“Untuk Kak Mislia, memang dia request nak fokus pada solekan mata. Jadi saya layangkan pembayang mata rona coklat gelap di hujung matanya untuk nampak lebih ‘bold’ sebagai Ratu Sehari. Saya pakaikan juga bulu mata palsu tapi jenis yang natural saja. Ia sesuai untuk bentuk matanya yang agak kecil.”
Erma juga sempat menasihatkan pengantin yang mahu mengadakan sesi fotografi selepas majlis, ambillah solekan kali ke dua untuk touch up semula mekap yang mungkin luntur atau sememeh dek peluh dan masa yang lama menunggu.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar