Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
gaya hidup

Penyakit Buerger: Francis Akur Kaki Terpaksa Dipotong Elakkan Keadaan Semakin Melarat.

Huda Hussain 25/06/2021 | 06:04 MYT
Pasti ramai dalam kalangan kita tidak menyedari dan tahu mengenai definisi penyakit jarang jumpa atau rare disorders. Menerusi episod kali ini, penonton akan dibawa memahami definisi rare disorders dan bagaimana Perkeso menerusi program Return To Work (RTW) berupaya membantu pekerja yang berhadapan dengan masalah ini.
Terdahulu Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso John Riba Anak Marin, menghuraikan dua skim perlindungan keselamatan sosial pekerja yang disediakan iaitu:
  1. Skim Bencana Pekerjaan
Memberi perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan atau penyakit khidmat yang berpunca atau terbit daripada pekerjaannya.
  1. Skim Keilatan
Takrif Keilatan merujuk kepada seseorang pencarum dianggap menghidap keilatan apabila mengalami keuzuran yang berkekalan sama ada tidak boleh diubati atau tidak mungkin sembuh serta tidak berupaya mencari nafkah sekurang-kurangnya 1/3 daripada keupayaan pekerja yang normal. Memberi perlindungan 24 jam kepada pekerja dari keilatan atau kematian akibat dari sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan. Selain itu terdapat juga pelbagai faedah yang diberi kepada orang berinsurans atau pencarum dibawah skim ini meliputi:
  1. Faedah Perubatan
  2. Faedah Hilang Upaya Sementara
  3. Faedah Hilang Upaya Kekal
  4. Elaun Layanan Sentiasa
  5. Kemudahan Pemulihan Jasmani/Vokasional/Return To Work (RTW)
  6. Faedah Orang Tanggungan
  7. Faedah Pengurusan Mayat
  8. Faedah Pendidikan
Sementara itu turut diundang ke set Luar Biasa ialah Presiden Malaysian Rare Disorders Society, Dato’ Hatijah Ayob yang berkongsi mengenai takrif rare disorders. Ujarnya ketika ditanya mengenai soal ini, “Penyakit jarang jumpa ini tiada definisi yang tepat. Lain negara mempunyai takrif yang berbeza mengikut populasi penduduknya. Dan ciri-ciri penyakit jarang jumpa ini juga susah untuk didiagnos doktor. Hinggakan ada yang memakan masa tiga ke empat tahun untuk disahkan sesuatu jenis penyakit. Penting untuk kami sebarkan kesedaran mengenai penyakit jarang jumpa ini kepada masyarakat. Menerusi kerjasama dengan Perkeso ini diharap kita dapat membantu untuk meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai rare disorders, bagaimana pihak Perkeso dapat membantu dan sebagainya,” hurainya lanjut.
Dan ia membawa kepada perkongsian cerita orang berinsurans atau pencarum yang mengalami penyakit jarang jumpa ini untuk episod ini. Francis Balleh dari Sibu, Sarawak yang bekerja sebagai Inspector of Work yang skop kerjayanya menjurus kepada kerja-kerja di tapak pembinaan. Turun di lapangan, memantau dan mengemaskini kerja-kerja di tapak pembinaan sememangnya menuntut pergerakan. Walaupun terbatas, tetapi ia tetap dilakukan demi memenuhi tuntutan kerjayanya saban hari.
Ditakdirkan cerita, dia mengalami penyakit buerger yang disebabkan oleh keradangan progresif berulang dan pembekuan pada arteri kecil dan sederhana dan vena tangan dan kaki. Puncanya tidak diketahui, tetapi paling kerap berlaku kepada lelaki yang mempunyai sejarah penggunaan tembakau. “Mulanya saya pun tak percaya tetapi kata doktor ia berpunca kerana saya merokok hingga kaki terpaksa dipotong,” jelas Francis.
Tidak menafikan rasa sedih apabila doktor berkata kakinya tak dapat diselamatkan, memikirkan keadaan kaki yang kian membengkak dan hitam; dia reda menerima takdir ini. Berkat dorongan dan kekuatan keluarga, rakan sekerja dan majikan akhirnya Francis kembali pulih. “Majikan saya Encik Dominic banyak membantu. Dia beri harapan dan sokongan yang tak berbelah bagi untuk saya bangkit. Dengan bantuannya juga saya dapat mohon untuk dapatkan kaki palsu,” terangnya penuh semangat.
Bagi Pengurus Kes Pejabat Perkeso Sibu, Sarawak, Muhammad Yahzrie Sukri; dia bertanggungjawab mengendalikan kes Francis bagi mendapatkan kaki palsu dan alat bantuan pergerakan yang lain. Sebagai salah seorang peserta program Return To Work (RTW) menjadi tugas Yazhrie untuk berbincang dengan pihak majikan bagi menentukan kaedah kerja yang perlu disesuaikan mengikut keadaan Francis selepas menjalani pembedahan memotong kakinya. Penilaian turut dilakukan meliputi tahap keselamatan Francis kerana diakui tugasnya amat mencabar. Dia perlu memandu dengan keadaan jalan yang tidak sekata, berada tapak pembinaan dan kawasan sekitar tempat pemprosesan kayu balak, selain terdedah kepada risiko lain.
Bagi Jurutera Perunding Wahba Sdn Bhd, Dominic Anak Tembak; dia kagum dan terharu melihat kesungguhan yang dipamerkan Francis. “Walaupun saya dapat pencen ilat, tapi saya masih mahu kerja. Selagi mana-mana pihak atau syarikat masih perlukan khidmat saya walaupun saya seorang OKU, selagi itulah saya akan bekerja. Selagi kita masih mampu untuk berdiri dan bergerak, janganlah menyerah kalah. Ingat, apa yang kita lakukan itu untuk diri sendiri. Walau pernah jatuh, jangan mudah putus asa untuk bangkit semula dan teruskan kehidupan seperti biasa,” hurai Francis bersungguh.
Bagi pekerja di luar sana yang berhadapan dengan situasi hampir serupa dengan Francis jangan sekali-kali berputus asa. Dapatkan maklumat lanjut di pejabat-pejabat Perkeso berhampiran untuk mengetahui secara terperinci mengenai program RTW. Banyak bantuan selain kewangan disediakan. Juga ketahui pelbagai faedah yang akan diperoleh jika anda mencarum dibawah Perkeso.
#Astro Prima #Luar Biasa
;