gaya hidup
PPN Industri Kreatif – Mohon Yang Tidak Divaksin Jujur. Jangan Pentingkan Diri, Susahkan Orang Lain Semata-Mata Nak Dapat ‘Job’.
Akhirnya keluhan dan rintihan penggiat seni industri kreatif berbalas sudah dengan pengumuman kelonggaran yang diberikan pihak kerajaan. Berdasarkan perbincangan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 pada hari Khamis, 2 September 2021, kerajaan melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) bersetuju melonggarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa 1 bagi industri kreatif, yang diharapkan dapat memberi kelegaan kepada lebih sejuta penggiat, artis dan pekerja. Kelonggaran ini juga bakal memberi kelegaan kepada lebih 19,000 syarikat berkaitan industri kreatif.
Persetujuan untuk memberi kelonggaran ini adalah tertakluk kepada syarat SOP yang diluluskan oleh MKN, termasuk hanya kepada penggiat, pekerja dan pengguna yang sudah menerima dua dos lengkap vaksin COVID-19 serta kapasiti ruang premis yang dibenarkan.
Kelonggaran ini juga diberikan berasaskan faktor terdapat negeri-negeri telah mencapai status 80 peratus populasi dewasa menerima dua dos lengkap vaksin atau telah mencapai tahap imuniti kelompok.
Kredit Foto: Google
Ia sekali gus menggerakkan kembali semua inisiatif serta program yang direncanakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), MyCreative Ventures dan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA).
Sehubungan itu, mulai 9 September 2021, semua penggiat industri kreatif yang telah lengkap dua dos vaksin akan dibenarkan untuk kembali bergiat di negeri-negeri yang berada dalam Fasa 1 PPN, bagi aktiviti-aktiviti seperti berikut:
1. Pembangunan dan penyiaran kandungan kreatif secara rakaman atau siaran langsung;
2. Penyiaran secara rakaman atau siaran langsung berbentuk penyampaian maklumat dan hiburan dengan kehadiran penonton yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti penonton 30% di ruang studio;
3. Penggambaran industri kreatif di dalam dan di luar studio kepada individu yang telah lengkap vaksin;
4. Indoor busking kepada individu yang telah lengkap vaksin;
5. Persembahan di lounge hotel kepada individu yang telah lengkap vaksin;
6. Aktiviti panggung wayang kepada individu yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti 50% di ruang dewan tayangan pawagam;
7. Aktiviti persembahan langsung seperti seni teater, muzikal, muzik dan komedi (secara pra-daftar) dengan penonton yang telah lengkap vaksin serta kapasiti penonton 30% di ruang premis; dan
8. Aktiviti pameran seni di dewan pameran, muzium dan galeri seni (secara temu janji) dengan pengunjung yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti pengunjung 30% di ruang premis.
Apa yang mencetus kebimbangan adalah jika ada dalam kalangan penggiat seni yang tidak berlaku jujur, mementingkan diri sekali gus meletakkan keadaan orang lain dalam bahaya. Lebih-lebih lagi mereka yang tidak mahu mengambil vaksin. Berdasarkan apa yang dikongsi Seniwati Fauziah Nawi nyata merisaukan apabila ada pihak produksi memandang enteng soal ini.
Kredit Foto: IG Fauziah Nawi
Ya, rezeki Dia yang tentukan bukan kerajaan. Tapi ikhtiar itu kan dituntut agama. Tidak dinafikan peratusan mereka yang enggan menerima vaksin masih tinggi sekali gus menyukarkan kita mencapai tahap imuniti kelompok. Berdiri atas 1001 alasan dan dakyah waima telah dibentangkan dengan pelbagai hujah dan fakta, golongan ini masih tidak berganjak dengan pendirian mereka.
Justeru, moga pelepasan yang diberi pihak kerajaan kepada penggiat seni kreatif tidak disalah gunakan. Ini soal periuk nasi juga melibatkan nyawa dan keselamatan ramai pihak. SOP ketat harus dipantau rapi pihak berwajib agar tiada kluster penggiat seni pula yang kita dengari selepas ini. Sama-samalah kita mengambil peranan dan menjadi rakyat yang bertanggungjawab. Ini ikhtiar kita untuk mencari jalan keluar daripada pandemik. Moga penglibatan dan kerjasama setiap lapisan masyarakat akan memacu Malaysia bebas daripada wabak Covid-19.