Highlights
Quran Tag with Ayesha — Wany Hasrita, Sherry Alhadad, Heliza Helmi dan Ramai Lagi Selebriti Teruja ‘Tagging’ Ayat Al-Quran
Huda Hussain
02/10/2019
|
13:31 MYT
QURAN TAG
Tarikh Tayangan: Setiap Isnin
Masa: 9 malam
Saluran: Astro Naura 125
Hos: Ayesha Syahira
Sinopsis: Merupakan sebuah program dakwah secara perkongsian santai yang menampilkan selebriti jemputan bersama ustaz dan ustazah jemputan. Membincangkan pelbagai topik berbeza setiap minggu, selebriti jemputan turut berkongsi pengalaman mereka berdasarkan kisah dan intipati ayat dalam Al-Quran.
Dari mana tercetusnya idea untuk tampil dengan nota sebagai tanda pada ayat-ayat Al-Quran?
Kira-kira enam tahun lalu, waktu itu saya baru mula berhijrah. Baru nak ‘berjinak-jinak’ dengan Al-Quran peringkat demi peringkat. Dan saya dapati sebenarnya terlalu banyak perkara yang terkandung dalam Al-Quran ini yang membuatkan saya teruja nak belajar lagi.
Mengapa saya teruja? Kerana sebelum ini saya tidak pernah diperkenalkan dengan membaca Al-Quran dalam suatu cara yang cukup indah. Selepas saya mulai belajar, hadiri kelas, usrah dan sebagainya; saya ambil inisiatif gunakan post it note untuk tulis nota-nota penting.
Ya saya gunakan pen untuk tulis di atas post it note itu. Tetapi lama kelamaan, dakwat itu semakin mengembang dan sukar untuk saya baca dan ulang kaji semula. Lantas saya terfikir, mesti ada cara lain yang memudahkan saya menyusunnya dengan kemas dan paling penting readability.
Kemudian saya cetak pelekat sendiri tetapi dalam masa sama, terlintas juga dalam fikiran saya; mesti ada kaedah lain yang membolehkan saya bezakan penggunaan pelekat ini.
Misalnya pelekat merah untuk apa, pink pula untuk apa dan sebagainya. Kemudian, saya mula susun dan buat pengkelasan dan perbezaan penggunaan pelekat mengikut topik tertentu.
Begitulah cerita serba sedikit bagaimana Quran Tag bermula. Dan sudah dua tahun saya buka kelas mengajar dalam kelompok kecil.
Apa yang tertera pada ‘tagging’ tersebut?
Ia sebenarnya adalah rumusan ringkas dalam sesuatu ayat. Cotohnya apabila ayat itu membicarakan tentang pengampunan Allah SWT, maka saya letakkan pelekat keampunan Allah SWT.
Dan apabila saya imbas semula halaman Al-Quran itu, ia secara tidak langsung memudahkan saya memahami, mengingati semula apa intipati cerita yang terkandung dalam ayat tersebut.
Dan sebenarnya, ‘tagging’ itu hadir mengikut topik yang berbeza. Malah saya cipta sendiri topik-topik mengikut pelekat tanda warna yang berlainan antaranya Attributions of Allah, Tauhid, Fiqah, Akhlak, Peringatan, Harapan, Cerita dari Al-Quran, dan Doa-doa.
Dan bagaimana pula datangnya ilham untuk mengkomersilkannya?
Saya tidak pernah terfikir untuk mengkomersilkannya, apatah lagi menjualnya. Kerana secara peribadi, tidak pernah sama sekali terlintas dalam fikiran saya bahawa ia sebenarnya adalah satu perkara yang memberi kesan dan impak yang besar seperti apa yang saya lakukan hari ini.
Selain itu, mungkin kerana sikap saya yang suka berkongsi dan kerana itulah juga di Instagram, saya tampilkan #Ayeshashares bertujuan untuk berkongsi dengan orang ramai apa yang saya belajar.
Dan secara kebetulan, apabila saya membawa Al-Quran ini ke kelas, ramai kawan-kawan bertanya apakah tagging ini dan sebagainya. Malah sebelum saya buka Quran Tag Workshop lagi, apabila saya dan kawan-kawan berkumpul; mereka cadangkan saya agar buka kelas supaya mereka turut sama beroleh manfaat.
Rentetan itulah, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan secara tidak langsung menjadi titik tolak hingga munculnya rancangan ini di televisyen.
Malah saya fikir, jika ia tidak dikomersilkan hingga disiarkan di televisyen sekalipun; saya masih akan teruskan. Kerana ia adalah salah satu kaedah yang saya sifatkan sebagai terapi yang membahagiakan saya, membantu saya memahami Al-Quran dengan cara yang mudah, membuatkan saya cinta dan sayangkan Al-Quran.
Juga kerana saya fikir, perlunya saya berkongsi dengan orang ramai agar kita dapat menangkis bahawa susah untuk faham Al-Quran dan sama-sama mendapat manfaat.
Insya-Allah saya akan terus lakukannya agar ia boleh menjadi medium yang membuatkan orang ramai berasa dekat dengan Al-Quran.
Dengan saiz Quran yang sederhana kecil, tanda pelbagai warna; memudahkan ia dibawa ke mana-mana. Komen Ayesha?
Pada saya Al-Quran boleh dibawa ke mana-mana sahaja, tiada masalah padanya. Dan berdasarkan apa yang saya belajar sebelum ini, Al-Quran terjemahan ini bagaikan sebuah buku biasa.
Berbeza dengan Al-Quran dalam bentuk mushaf (tanpa terjemahan yang ditulis sepenuhnya dalam Bahasa Arab) mungkin ia sedikit menyukarkan. Tetapi selagi ada terjemahan, ia tidak menjadi hal.
Kita boleh bawa telefon bimbit ke mana kita pergi kan? Dan seharusnya kita berbuat yang sama terhadap Al-Quran.
Ia adalah sebuah naskhah agung yang Allah beri kepada kita sebagai panduan, rujukan, untuk memberi ketenangan, beri peringatan, menurunkan perintah untuk kita laksanakan juga sebagai peringatan.
Sudah tentu kita perlukannya setiap masa kerana apabila kita mentadaburkan ayat-ayat Al-Quran, ingat Allah ke mana jua kita pergi, secara tidak langsung ia akan meningkatkan keimanan untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik.
Suka saya sarankan agar anda dapatkan senaskhah Al-Quran yang benar-benar dekat di hati anda dan nikmati kembara juga ‘perjalanan’ anda dengannya.
Siapa yang memberi inspirasi dan galakkan kepada Ayesha mengenengahkan konsep bacaan Al-Quran dengan pelbagai tanda ini?
Semua orang yang berada dalam hidup saya misalnya kedua ibu bapa, suami, rakan-rakan, guru dan ramai lagi. Sejujurnya, saya bukanlah mengajar mereka membaca Al-Quran tetapi pendekatan Quran Tag ini lebih kepada untuk membangkitkan semangat, menanamkan kecintaan dan keterujaan untuk memahami Al-Quran dalam cara yang mendekatkan mereka dengan Al-Quran.
Dalam kalangan pelajar saya pula, ada diantaranya tidak pernah baca Al-Quran. Dan apabila mereka buat tagging, rasa seronok dan teruja kerana secara tidak langsung; mereka perlu baca dan cuba fahami terjemahan ayat tersebut.
Malah saya percaya, apabila seseorang itu cuba dan mahu dekatkan diri dengan Al-Quran, sebenarnya itu adalah kehendak Allah yang memberi kefahaman, membangkitkan keterujaan dan sebagainya.
Itu semua kuasa Allah. Dan tugas kita adalah untuk memulakan langkah pertama, selebihnya Allah akan bantu kita. Sejujurnya saya berasakan, inspirasi dan idea tampil dengan Quran Tag inipun semuanya datang daripada Allah.
Apa yang saya usahakan ini sekadar membantu dan berkongsi sahaja.
Apa yang Ayesha cuba sampaikan menerusi rancangan ini?
Cuba untuk membuang taboo dan kefahaman dalam pemikiran masyarakat kita yang fikir perlu ‘perfect’ untuk baca Al-Quran. Misalnya, ada yang berkata jika anda tidak sebagus mana atau tiada ilmu Al-Quran, tak usahlah cakap berlebih-lebih mengenainya.
Itulah yang cuba saya tangkis. Selain daripada itu, saya cuba nak sampaikan bahawa tiada apa yang perlu anda takutkan dengan Al-Quran. Ia bagaikan sebuah buku yang Allah mahu kita baca, kita fahamkan dan amalkan sehabis baik yang kita boleh.
Sebolehnya, saya tidak mahu ada yang berasakan bahawa baca Al-Quran ini susah, berat, bosan dan sebagainya.
Saya berharap, menerusi Quran Tag with Ayesha ini orang ramai dapat lihat bahawa Al-Quran adalah sumber rujukan lengkap dalam kehidupan kita.
Mengapa masyarakat perlu tonton Quran Tag musim ini? Ada kelainan yang ditampilkan?
Jika dalam musim pertama dahulu, kita bawakan barisan selebriti yang muda. Dan itu juga adalah pengalaman pertama buat saya muncul di televisyen. Saya juga tertanya-tanya sama ada penonton suka atau tidak.
Dan sepanjang musim ini, saya berasakan selepas banyak belajar, saya semakin yakin untuk berkongsi, memberi lebih banyak lagi input daripada apa yang saya pelajari sebelum ini.
Antara artis jemputan yang turut serta dalam musim ini adalah mereka yang punya kisah dan pengalaman tersendiri untuk dikongsi.
Malah saya percaya, penonton akan lebih faham kerana mereka boleh ‘relate’ dengan apa yang dilalui sendiri sekali gus akan membuatkan penonton lebih dekat lagi dengan musim kali ini.
Bagaimana dilamar produksi Astro untuk menjadikan Quran Tag sebagai sebuah rancangan?
Mulanya saya lakukan private session Quran Tag bersama beberapa bos dan team Astro. Kemudian mereka bertanya sama ada saya berminat dan mahu terbitkan Quran Tag dalam sebuah rancangan televisyen.
Pada awalnya saya takut. Takut jika orang ramai tidak boleh terima atau tidak boleh faham tentang apa yang saya cuba sampaikan. Saya juga takut kerana saya bukanlah seorang ustazah.
Apa orang ramai akan fikir misalnya, “Oh dia ni bukan ustazah tapi nak ajar Al-Quran”. Begitulah pemikiran awalnya. Tetapi saya sahut cabaran itu dan Alhamdulillah maklum balas yang saya terima menerusi musim pertama amat mengejutkan.
Masya Allah. Ramai penonton yang suka dan kini sudah masuk musim kedua.
Selepas dua musim, apa kepuasan dan apa lagi yang Ayesha ingin tampilkan?
Saya lebih berpuas hati dengan apa yang saya sampaikan. Daripada barisan selebriti, pihak produksi semuanya memberikan kerjasama yang amat baik. Selebriti jemputan misalnya, mereka tidak lokek berkongsi pengalaman menerusi setiap topik yang dibincangkan.
Mereka bercerita daripada hati. Dan jika berkesempatan muncul untuk musim akan datang, mungkin cadangan saya kita boleh pelbagaikan kelompok tetamu jemputan. Misalnya tidak terhad kepada selebriti sahaja tetapi juga influencers, individu biasa dan ramai lagi.
Secara peribadi saya suka tonton Ustaz Ebit Liew. Tentang bagaimana dia boleh turun ke lapangan, berjumpa dengan pelbagai kelompok masyarakat. Saya juga menanam impian yang sama.
Cuba untuk sampaikan mesej bahawa kembalilah kepada Al-Quran dan amalkannya. Tidak kiralah siapa pun anda, apa jua pekerjaan anda sekalipun, sama ada anda orang alim ulama ataupun individu biasa, semua orang boleh kembali dan rujuk kepada Al-Quran.
Secara tidak langsung boleh mengajak semua orang agar lebih dekat dengan Al-Quran. Insya-Allah.
Adakah Quran Tag bakal menemui penonton untuk musim ketiga pula?
Saya tidak pasti sebaliknya saya serahkan kepada Allah SWT. Jika itu yang terbaik, memberi manfaat kepada ramai orang di luar sana, moga dengan adanya musim seterusnya; kita boleh lakukan banyak lagi dengan Quran Tag ini.
Misalnya menggunakan platform ini sebagai medium dakwah terbaik di televisyen. Semoga semua yang menonton, yang menyokong saya dalam perjalanan dakwah ini; doakan semoga Quran Tag akan kekal untuk musim ketiga dan seterusnya, Insya-Allah.
Siapa antara selebriti jemputan yang membuatkan Ayesha ‘look up to’ untuk musim ini?
Ramai sebenarnya. Tetapi jika mahu menamakan beberapa selebriti, saya kagum dengan misalnya Heliza Helmi, Hazwani Helmi; Masya Allah saya seronok sangat apabila dimaklumkan mereka sertai musim ini.
Malah sewaktu sesi penggambaran, kami bersemangat untuk jayakannya. Saya suka lihat bagaimana adik-beradik ini cukup positif dengan kerja-kerja dakwah mereka.
Wany Hasrita, seorang yang amat merendah diri, punya kecantikan luaran dan dalaman malah saya adore dengan sifatnya dan moga saya juga dikurniakan dengan sifat sepertinya.
Vokalis Caliph Buskers Azmi Saat yang pada saya cukup terbuka berhadapan dengan sebarang kemungkinan walaupun dia tidak berupaya melihat. Pada saya itu bukan kekurangan tetapi keistimewaan yang Allah beri kepada Azmi.
Selain mengendalikan rancangan Quran Tag, apa lagi yang Ayesha lakukan dalam kehidupan seharian?
Saya anjurkan Quran Tag Workshop, sesiapa yang tonton dan nak tahu cara-cara tagging boleh datang ke bengkel ini. Kadang kala sekali atau dua kali sebulan. Saya buka untuk umum juga secara private.
Dan bagi mereka yang mahukan secara private, saya boleh datang ke rumah dan kita boleh sama-sama belajar dalam kumpulan kecil. Selain itu, saya turut memasang impian untuk menyambung pengajian dalam bidang Al-Quran dan psikologi juga teringin sekali mahu mengajar Al-Quran dari segi tajwid misalnya.
Dan untuk itu, saya juga perlu terus belajar dan mendalami ilmu Al-Quran sebaik mungkin. Insya-Allah, doakan saya okey!
Selain misi dakwah, apa harapan Ayesha terhadap rancangan Quran Tag?
Moga ia akan menjadi program yang sentiasa ditunggu-tunggu dan diikuti orang ramai atau mungkin mencetus fenomena tersendiri.
Kerana saya percaya, kita pasti mahu semua orang memahami Al-Quran dan saya harap orang ramai tahu dan faham bahawa sesungguhnya adalah sangat bermakna apabila kita kembali kepada Dia yang Maha Mencipta segala.
Bahawa sesungguhnya kita ini penting dan perlukan Allah, betapa sayangnya Allah kepada kita lalu diturunkan Al-Quran untuk kita.
Dengan serba sedikit apa yang kita belajar tonton rancangan ini, kita semua mendapat manfaat, masa yang berkat dan secara tidak langsung akan membawa orang ramai untuk mendekati dan mencintai Al-Quran.