Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Highlights

Rakyat Malaysia di BAHRAIN Kongsi Pengalaman Ramadan di Sana – “Suram Tapi Tiada LOCKDOWN di Bahrain.” – Asmunir.

Afiza Kamarulzaman 21/05/2020 | 07:20 MYT
Asmunir, 36 sudah berhijrah ke Bahrain sejak 1 Januari 2011 atas tuntutan kerja sebagai Simulator Shift Leader 3 di Gulf Aviation Academy. Sebelum itu, lelaki yang berasal dari Ipoh, Perak ini juga pernah merantau ke Qatar dari tahun 2008 sehingga 2009 demi melunaskan kerjaya impian. Alhamdulillah, sehingga kini, beliau masih diberi kemudahan yang baik walau bergelar anak rantau di negara orang.
Setelah berkahwin dengan Rosnah Husin pada 16 September 2011, beliau mengambil keputusan membawa isteri tinggal bersama di Bahrain, di samping mahu membina keluarganya di sana. Anak sulung Asmunir, Raudah dilahirkan di Malaysia pada tahun 2012 manakala anak kedua, Eusuff pula dilahirkan di Bahrain pada tahun 2014. Dan kini, mereka membesar dan mendapat pendidikan sepenuhnya di Bahrain.
Ayuh, dengarkan secebis kisah anak perantau yang cekal meneruskan penghijrahannya di Bahrain. Jarak pemisah dengan keluarga bukan 10 atau 20 kilometer, tetapi nun jauh di belahan benua yang pasti sulit untuk selalu bertemu. Jadi, kita yang hanya terpisah dek daerah dan negeri, jangan pula meratap merintih hanya kerana larangan merentas negeri Raya nanti. Insya Allah, raya tahun depan, railah seperti biasa.
Kredit Foto: Asmunir
Bagaimana keadaan pada permulaan sampai di Bahrain?
Alang kita masuk ke sekolah baru pun akan berasa canggung, inikan pula berubah negara. Ketika mula tiba di sini, saya memang tidak kenal sesiapa. Main redah saja membawa diri. Selepas beberapa hari, barulah saya ada terjumpa rakyat Malaysia di Bahrain. Gembiranya hati bukan kepalang dapat bersembang bahasa ibunda dengan rakyat senegara. Menariknya di sini tentulah makanan mereka. Pada mula tu, memang teruja dapat merasa pelbagai jenis makanan Arab di sini seperti shawarma, nasi mandy, manisan dan pelbagai lagi tetapi selepas beberapa bulan tekak mula merindui masakan Malaysia. Aduhai, siapa boleh menidakkan citarasa menu Malaysia dengan kuih-muihnya yang pelbagai, sambal belacan, durian, cendol. Ini mebuatkan hati amat rindukan Malaysia.
Kredit Foto: Asmunir
Bagaimana dengan penerimaan orang di sana, terutamanya di tempat kerja?
Rakyat Bahrain antara orang Arab paling peramah dibandingkan dengan penduduk Gulf Cooperation Council lainnya. Daripada segi suasana bekerja pula, ia satu pengalaman yang sangat berharga apabila kita berpeluang bekerjasama dengan rakan kerja yang datang dari pelbagai negara. Contohnya, dari Scotland, England, Perancis, Sepanyol, Afrika Selatan dan Filipina. Memandangkan saya adalah satu-satunya rakyat Malaysia yang bekerja di sini, ia menjadi tanggungjawab saya untuk menjaga nama baik Malaysia. Kita ini seumpama ‘duta kecil’ jika bermaustatin ke negara orang, kan?
Kredit Foto: Asmunir
Bagaimana dengan isteri dan anak-anak hidup berkelana, terutamanya persekolahan anak-anak di sana?
Isteri suri rumah sepenuh masa. Anak-anak sudah dibesarkan di sini sejak kecil lagi, jadi mereka sudah biasa dengan keadaan di sekeliling. Daripada soal persekolahan mereka, saya terpaksa menghantar mereka ke sekolah swasta kerana sekolah tempatan menggunakan bahasa ibunda yang menyukarkan proses pembelajaran. Di sekolah swasta, mereka menggunakan silibus British atau Amerika, lebih universal cuma, kosnya memang mahal. Sesi persekolahan di sini sama seperti di universiti. Ada tiga semester iaitu autumm term (1 September - 16 Disember), spring term ( 9 Januari - 28 Mac) dan summer term ( 9 April – 25 Jun). Persekolahan bermula dari umur tiga tahun (pre nursery) sehingga grade 12 ( tingkatan lima). Sesi pembelajaran bermula jam tujuh pagi hingga dua petang (Ahad hingga Khamis). Sejak kes Covid-19, sekolah ditutup pada 29 Februari 2020 sampai ke hari ini. Jadi, anak-anak belajar secara online sahaja.
Kredit Foto: Asmunir
Adakah Bahrain mengamalkan pengawalan Covid-19 dengan lockdown atau PKP seperti di Malaysia?
Keadaan di Bahrain masih terkawal. Kerajaan di sini tidak menggunakan kaedah lockdown secara total. Cuma, semua pusat membeli-belah diarahkan tutup selama dua minggu dan pihak berkuasa mewajibkan semua rakyat memakai face mask ketika keluar rumah. Jika tidak, mereka boleh disaman sebanyak RM80. Sama seperti Malaysia, kerajaan Bahrain mengalakkan semua rakyat bekerja dari rumah. Restoran dan supermarket dibuka seperti biasa tetapi hanya dibenarkan untuk take away atau delivery sahaja. Walaupun tiada MCO yang ketat, namun rakyat di sini nampaknya patuh pada arahan kerajaan. Setiap sektor yang beroperasi mesti mengikut SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Bahrain. Pada pandangan saya, kaedah yang digunakan lebih kepada mendisiplinkan individu itu sendiri.
Kredit Foto: Google
Bagaimana kes Covid-19 di Bahrain setakat ini?
Kes Covid di Bahrain setakat hari ini (20 Mei 2020) seperti berikut:
Di sini, kami mempunyai aplikasi di telefon mudah alih yang dinamakan BeAware Bahrain. Apilkasi ini membolehkan kami mendapat maklumat jika sesuatu kawasan itu didapati mempunyai kes Covid-19. Melalui aplikasi ini juga, kita dapat mengetahui jumlah kes terkini. Kami juga seperti kebanyakan rakyat Malaysia di luar negara, yang pada mulanya ada juga merancang untuk pulang ke tanah air pada bulan Mac tempoh hari. Namun, memikirkan keselamatan semua, kami terpaksa batalkan hasrat itu.
Kredit Foto: Asmunir
Bagaimana sambutan Ramadan di sana?
Kalau ikut tahun-tahun sebelum ini, sambutan Ramadan di Bahrain amat meriah. Ia lebih meriah daripada sambutan Hari Raya. Kebiasaannya, malam selepas solat sunat terawih, penduduk disini akan mengadakan jamuan (GHAB GHA) sehigga ke sahur. Seumpama moreh di Malaysia. Walau bagaimanapun, disebabkan Covid-19, semua itu tidak ada untuk tahun ini. Tempoh berpuasa di sini bermula jam 3.20 pagi sehingga 6.20 petang. Cuaca di Bahrain panas kering dan sejuk sahaja. Cuaca panas di sini pernah mencecah sehingga 60 selsius. Agak mencabar. Untuk menu berbuka, biasanya kami masak sendiri. Tekak orang Melayu mesti nak rasa juga juadah Melayu. Seperti di Malaysia, solat terawih di masjid juga tidak dibenarkan tahun ini. Cuma sejak dua minggu lepas, masjid mula dibuka tetapi hanya enam orang jemaah sahaja dibenarkan termasuk imam. Tidak semua masjid dibuka.
Kredit Foto: Google
Kebiasaannya, beraya di mana? Setiap tahun pulang ke Malaysia atau berasa di sana sahaja?
Kebiasaan kami beraya di Bahrain dan hanya akan balik ke Malaysia dua minggu selepas Aidilfitri atau pada Hari Raya Haji sahaja. Kami jarang balik raya kerana memikirkan banyak kedai makan tutup pada waktu itu. Nanti, tak dapatlah nak rasa makanan Malaysia. Hahaha... Tapi, kalau sekali kami balik, kami akan bercuti selama 27 hari! Memang balas dendamlah.
Bagaimana agaknya sambutan Aidilfitri tahun ini?
Nampaknya, tahun ini akan berbeza kerana hanya mampu beraya di rumah sahaja. Tidak dapat lagi menziarahi rumah kawan-kawan Malaysia yang lain. Tidak dapat juga bergambar raya di bawah pokok kurma. Namun, juadah raya serta biskut raya lebih meriah pula tahun ini kerana ada lebih banyak masa terluang untuk membuatnya. Dan, wajib buat video call dengan keluarga di Malaysia pada pagi raya untuk mengubat rindu.
Kredit Foto: Asmunir
Ucapan raya anda dan keluarga?
Di kesempatan ini, kami ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir batin buat keluarga di Ipoh dan di Sepang, serta saudara mara, sahabat-handai yang mengenali diri kami. Ampunkan segala kekhilafan kami, andai ada terlanjur bahasa, secara sengaja atau tidak. Sama-samalah kita doakan dunia ini akan pulih daripada wabak Covid-19 dan kita dapat menikmati kehidupan harian seperti biasa. Salam sayang daripada kami perantau Malaysia di Bahrain.
Kredit Foto: Asmunir
#Ramadan #Perantau #Bahrain
;