Read

Rebut Peluang Jana Saham Akhirat. Selagi Punya Kudrat, Masa Dan Sebelum Terlambat.

Huda Hussain
07/07/2020
14:09 MYT
Sponsor Banner
Rebut Peluang Jana Saham Akhirat. Selagi Punya Kudrat, Masa Dan Sebelum Terlambat.
Seringkali kita dengar dalam kuliah mahupun ceramah agama tentang bekalan yang perlu disiapkan di dunia untuk melalui kehidupan seterusnya. Dan tahukah anda, terdapat beberapa jenis ‘saham’ yang masih berterusan, walaupun kita telah meninggal dunia?
Dan, apa yang menariknya adalah ‘saham’ ini juga akan membantu kita di Akhirat kelak. Apakah ‘saham’ tersebut?

Kredit foto: Google

Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila anak Adam (manusia) meninggal dunia, maka terputuslah semua (pahala) amal perbuatannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis di atas, jelaslah bahawasanya ‘saham’ yang dimaksudkan adalah sedekah jariah atau amal jariah yang dilakukan selagi kita dipinjamkan kudrat dan usia.
Amal jariah adalah amalan yang terus mengalir pahalanya walaupun individu yang melakukan amalan tersebut telah meninggal dunia. Kesimpulannya, amalan tersebut terus menghasilkan pahala yang terus kepada pelakunya yang sudah meninggal.

Kredit foto: Google

Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya di antara amal kebaikan yang mendatangkan pahala setelah orang yang melakukannya meninggal dunia ialah ilmu yang disebarluaskannya, anak soleh yang ditinggalkannya, mushaf (kitab-kitab keagamaan) yang diwariskannya, masjid yang dibina, rumah yang dibina untuk penginapan orang yang sedang dalam perjalanan, sungai yang dialirkannya untuk kepentingan orang ramai dan harta yang disedekahkannya.”
(Hadis Riwayat Ibnu Majah) Ayuh, kita perhalusi satu persatu:
1. Ilmu Yang Disebarluaskan
Terdapat banyak cara yang boleh dilakukan untuk sebarkan ilmu. Selain melalui sekolah, universiti, kolej, berceramah, kursus motivasi dan lain-lain, anda juga boleh berkongsi ilmu melalui di FB, blog, twitter, instagram, you tube dan medium sosial lain.
Manfaatkan platform media sosial yang ada untuk kegunaan yang memberikan pahala di kemudian hari.
2. Anak Soleh Dan Solehah Yang Ditinggalkan
Biarpun tidak dinafikan dalam dunia serba canggih ini, banyak cabaran yang dilalui ibu bapa untuk membesarkan anak. Apatah lagi melahirkan anak yang patuh dan taat pada agama.
Waima apa cabaran sekalipun, ibu bapa perlu berusaha mendidik anak menjadi anak soleh, iaitu anak yang sering melakukan kebaikan di dunia. Dan doa anak yang soleh/solehah kepada orang tuanya mustajab di sisi Allah swt.

Kredit foto: Google

3. Mushaf (Kitab-Kitab Agama) Yang Diwariskannya
Mewariskan kitab seperti kitab suci Al-Quran, kitab tafsir, buku agama dan lain-lain di masjid, surau, perpustakaan awam, sekolah atau maahad untuk kegunaan orang ramai sebagai bahan bacaan, rujukan dan sebagainya.
Ini juga antara yang mudah untuk kita lakukan. Nampaknya mungkin kecil tetapi ada ganjaran pahala yang Allah SWT berikan.
4. Membina Masjid
Besar ganjaran bagi mereka yang membantu untuk membina masjid bagi kegunaan masyarakat. Jika kita tidak mampu melaburkan sejumlah wang, memadai dengan menginfakkan wang ringgit kepada tabung-tabung masjid.
Selain itu, anda juga boleh menyumbang sama ada dari sudut fizikal, tenaga, idea, kewangan atau apa jua pertolongan. Kesemuanya bernilai ibadah dan dipandang mulia di sisi Allah. Insya-Allah.
5. Rumah Yang Dibina Untuk Penginapan Orang Yang Sedang Dalam Perjalanan
Membangunkan rumah penginapan atau pondok mahupun tempat berteduh bagi mereka yang bermusafir sama ada untuk berehat sebentar, bermalam atau kegunaan lain asalkan bukan untuk bermaksiat amat digalakkan sebagai saham Akhirat yang bermanfaat.
6. Sungai Yang Dialirkannya Untuk Orang Ramai
Mengalirkan air yang bersih ke tempat orang-orang yang memerlukan atau menggali perigi. Dan pasti kalian ‘familiar’ dengan istilah wakaf perigi yang digerakkan NGO dan badan-badan amal selama ini.
Inilah salah satu kebaikannya. Semakin ramai yang memanfaatkannya, semakin banyak ‘sahamnya’ di Akhirat nanti.

Kredit foto: Google

7. Harta Yang Disedekahkan
Harta yang kita miliki hakikatnya terdapat hak orang lain di dalamnya. Asalkan dengan niat sedekah tersebut diberikan secara ikhlas dan tidak diungkit kembali, pasti Malaikat mencatat amal kebaikan kita.
Contoh lain adalah mewakafkan tanah untuk dijadikan kawasan tanah perkuburan. Sedekahkan sebahagian harta juga boleh ‘membersihkan’ rezeki yang diperoleh kerana mungkin kita tidak tahu sumber asalnya dan bimbang ia daripada sumber yang syubhah.
Justeru, rebutlah peluang selagi Allah pinjamkan masa, usia, kudrat dan rezeki kepada kita. Yang kalau diikutkan bila-bila masa saja Dia berhak mengambilnya semula daripada kita. Kerana yang hakiki itu adalah milik-Nya jua.
Mungkin juga selain daripada senarai saham Akhirat di atas, sebenarnya banyak lagi amal jariah yang boleh kita lakukan selagi ia memberi kemudahan untuk orang ramai, kesenangan ummah dan membantu orang yang di dalam kesusahan dan sebagainya.
Semuanya tidak lain tidak bukan demi kesenangan dan kemudahan kita di alam sana.

Kredit foto: Non Ellidza Alias

Related Topics
Must-Watch Video
Unitar