“Rindu Juga Nak Bersiap Ke Ofis. Tapi Bekerja Dari Rumah Pun Seronok! — Wanita Ini Kongsi Apa Dibuatnya Selepas Ambil VSS. Jual Kuih, Jadi Dropship..
Kemelut ekonomi negara tidak hanya memberi kesan kepada negara tetapi juga buat rakyat secara individu. Banyak yang kita dengar sekarang ini, syarikat-syarikat gergasi terpaksa menawarkan Voluntary Separation Scheme (VSS) kepada staf mereka lantaran masalah kewangan syarikat yang tidak dapat dibendung lagi.
Salah seorang yang terkena tempias itu ialah seorang bekas Penolong Penerbit, Nor Shafina Ahmad (Fina), 37 yang sudah lebih lapan bulan tidak lagi ke ATM mencucuk gaji bulanan.
Hampir 12 tahun setia bersama syarikat lamanya, akhirnya pada Februari 2019, Fina terpaksa mengucapkan sayonara kepada kerjaya yang amat dicintainya itu. Walaupun sedih dan gusar, namun keputusan ini harus diterima dengan redha kerana dia percaya Allah sudah mengatur cantik perjalanan hidupnya. Pasti ada cahaya lain yang sedang menanti.
Kenapa Fina setuju untuk mengambil VSS?
Sebagai HR Staff, kelangsungan kerja kami bergantung pada kontrak yang diperbaharui setiap tahun. Sedari November tahun lepas, kami terdengar ura-ura tentang kemungkinan yang HR Staff tidak akan disambung kontark.
Ini keputusan yang sangat besar dalam hidup saya dan keluarga juga. Pastinya, banyak perkara yang bermain di fikiran. Ya, saya akui paling saya takut adalah kehilangan punca pendapatan tetap.
Tidak sayangkah meninggalkan kerjaya itu?
Sayang sangat. Memang menangis untuk mengambil keputusan ini. Namun, saya yakin akan kembali semula bekerja satu hari nanti. Insya-Allah, saya tunggu anak bongsu ini besar sedikit untuk kembali mencari peluang kerja tetap di luar sana.
Apa yang berlaku pada hari pertama bangun pagi dan baru perasan yang Fina tidak perlu lagi ke tempat kerja?
Oh, sangat sedih! Hanya yang pernah mengalami saja tahu bagaimana rasanya? Hati meronta mahu bersiap juga ke pejabat. Hahaha... Ya lah, 12 tahun berulang ke tempat kerja, tiba-tiba hari ini bangun kamu tidak perlu lagi melakukannya.
Jadi, apa rutin sekarang? Tidak rasa sunyi?
Tiada satu hari pun tidak melakukan apa-apa. Sebagai suri rumah yang menguruskan empat anak berumur antara 10 ke satu tahun rutin harian memang sibuk. Kata orang, memang tiada masa rehat kalau di rumah, ada sahaja kerja nak diselesaikan.
Bagaimana permulaan kehidupan tanpa gaji tetap?
Mula-mula tu struggle juga. Hati sentiasa bimbang kalau tiada duit di tangan. Suami memang ada beri elaun bulanan tetapi tidaklah sebanyak duit gaji kita dulu. Kalau dulu anytime nak shopping, boleh saja tetapi sekarang kena lebih berhati-hati.
Apa lagi yang Fina usahakan untuk menampung belanja bulanan?
Orang kata, kita ni kalau dah biasa pegang duit sendiri, pasti tak boleh duduk diam. Saya gunakan apa saja kepakaran yang saya ada. Kebetulan, Allah beri saya bakat memasak.
Bagaimana uruskan masa antara menyiapkan produk, menghantar tempahan dan menjaga rumah?
Untungnya saya, suami cikgu. Jadi apabila suami balik dari kerja tengah hari, dia pula bantu uruskan anak-anak. Waktu petang, bolehlah saya pula menyiapkan kerja-kerja saya termasuk menghantar pesanan kepada pelanggan.
Jadi sekarang, ada terlintas rasa menyesal mengambil VSS dulu?
Macam mana nak cakap ya. Tidaklah menyesal cuma ada rasa terkilan sebab dengarnya ada staf seperti saya dulu yang disambung kontraknya seperti biasa. Inilah kadang-kadang, syaitan tu saja menghasut supaya hati kita tak keruan, kan?
Apa nasihat Fina kepada mereka yang sedang atau bakal berdepan nasib yang sama dengan Fina?
Pandang ke depan. Bersangka baik dengan setiap percaturan Allah itu. Semangat harus kuat. Buat saja apa yang boleh dibuat asalkan halal. Jika masih mahu bekerja, boleh sahaja teruskan cari peluang di tempat lain, PERKESO pun boleh bantu.