Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
gaya hidup

Saham JANDA Memang Wow Tapi Tak Semua GATAL – Ifa Raziah Kongsi Ujian 2 Kali Menjanda, Akhirnya Miliki Suami Terbaik.

Afiza Kamarulzaman 15/03/2021 | 00:00 MYT
Tidak salah apabila ada pendapat mengatakan ‘perkahwinan ini umpama perjudian’. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Semua pasangan yang mendirikan rumah tangga mengimpikan masjid yang dibina kekal hingga ke taman firdausi Tuhannya. Namun, suratan takdir tak mampu ditepis.
Pengalaman bercerai umpama sembilu yang harus ditelan. Begitu yang berlaku dalam kehidupan Ifa Raziah. Eksklusif di program Borak Kelamin, episod 3, penyanyi sensasi, Ifa Raziah berkongsi kisah peribadinya yang selama ini disimpan rapi. Bagaimana dia pernah bergelar janda sebanyak dua kali, dan hanya pada perkahwinan ke tiga barulah bertahan sehingga kini masuk 17 tahun.
Janda Rebutan – Antara Persepsi dan Realiti
Topik perihal janda rebutan kali ini dibincangkan bersama Ifa Raziah dan Pakar Motivasi, Dr. Hj Tengku Asmadi. Ketika ditanya bagaimana perjalanan hidup Ifa yang pernah dijandakan? Ifa tanpa berselindung mengakui pernah memalui detik pahit bercerai hidup dengan dua suami terdahulu.
Perkahwinan pertama sebelum bergelar artis hanya bertahan setahun. Begitu juga dengan perkahwinan ke duanya. Kedua episod perpisahan ini disebabkan faktor tidak dikurniakan zuriat. Bukan mudah bertahun-tahun memikul status janda. Kemana pergi orang pandang serong, apatah lagi bagi seorang artis bernama Ifa Raziah.
Siapa tidak kenal Ifa Raziah yang sentiasa dilumpuri kontroversi, hanya yang buruk-buruk sering dikaitkan dengan dirinya. Apa lagi selama memegang nama janda itu. “Tidak ada seorang isteri mahu dijandakan. Bagi isteri yang takut suaminya dikebas janda sebenarnya mereka itu berasakan diri mereka tidak cantik, bukan semua janda suka menggatal!” Jelas Ifa.
Kredit Foto: Astro Ria
Janda Itu Wajar Dinafkahi Bukan Dinikahi Semata
Godaan seorang janda ini memang banyak. Menurut Dr. Hj. Tengku Asmadi, saham seseorang janda itu dikira naik atau tidak bergantung kepada jenis-jenis janda itu sendiri. Ada janda yang pandai berhias, jaga badan, pandai cari duit mungkin lebih diburu berbanding janda yang tiada apa-apa atau memiliki anak berderet.
“Tidak semua janda bernasib baik. Pahala besar dijanjikan kepada mereka yang menafkahi janda, tapi tidak semestinya dinikahi. Ia dikira jihad fisabilillah apabila kita bantu janda-janda tidak berkemampuan ini memenuhi keperluannya,” menurut beliau lagi.
Apabila ditanya kenapa agaknya stigma negatif selalu dilabelkan kepada seorang janda, dan mereka lebih ditakuti berbanding anak dara? “Persepsi ini terjadi apabila ada yang menganggap janda ini sudah berpengalaman sebagai isteri, mereka pernah ‘bersama’ suami. Maka, masyarakat berasakan apabila sudah lama tidak bersuami, janda ini akan dahagakan kasih-sayang, mulalah mahu menggatal dan sebagainya.”
Sedangkan pada sisi positif mereka tidak nampak bahawa kebanyakan janda ini, mereka lebih matang, mempunyai pertimbangan yang lebih baik dan tidak lagi memandang duit semata-mata untuk menjamin kebahagian hidup mereka. Pengalaman lalu banyak mendewasakan mereka.
“Ibu saya sendiri janda, tidak pula pernah dia menggatal atau menggoda suami orang. Hidupnya sibuk menjaga anak-anak sehingga tiada masa untuk fikiran hal lain. Orang yang berasakan suaminya akan digoda sebenarnya berada dalam zon tidak selamat, sentiasa bimbang dan takut,” tambah beliau.
Ifa Raziah Hanya Mahukan Suami Yang Membawanya Ke Syurga
Ketika ditanya bagaimana dia mengekalkan hubungan dengan suaminya kini sehingga memasuki tahun ke-17? “Tak tahu macam mana nak ceritakan ujian dan keperitan yang kami lalui selama bersama sebagai suami isteri. Lebih banyak kesusahan daripada kesenangan yang orang tak tahu. Orang mungkin nampak kejayaan kami tapi hanya kami tahu apa yang telah kami lalui selama ini..” Rintih Ifa sambil berlinangan air mata.
Ifa juga sempat bercerita bagaimana mula-mula dia mendekati ibu mentuanya? Katanya, mana-mana ibu pasti mempersoalkan kalau anaknya mahu menikahi seorang janda yang dipalit pelbagai kontroversi.
“Apa yang Ifa lakukan Ifa cuba ‘tackle’ keluarga suami terlebih dulu. Ifa pernah cakap dengan mak mentua, ‘Mak, mak nak menantu yang bagaimana? Kalau mak nak menantu yang pandai masak, Ifa bukanlah orangnya tapi kalau Mak nak menantu yang pandai cari duit, Insya-Allah, yes! Ifa berterus-terang supaya Mak faham keadaan diri Ifa...” Luah Ifa Raziah.
Apabila Elly Mazlein bertanyakan apa yang terbuku di lubuk hati Ifa sekarang ini? Jawab Ifa, “Saya terharu kerana setelah melalui pelbagai kegagalan, saya akhirnya ditemukan dengan seorang suami yang menyayangi saya lebih daripada nyawanya sendiri. Memang saya selalu doa agar saya dikurniakan suami yang baik, yang mampu membimbing saya ke syurga Nya. Saya tidak mahu cari yang berduit kerana saya sendiri boleh cari duit...” Malam itu, Ifa bermandikan air mata apabila bercerita soal hati dan ‘imamnya’ itu.
Kredit Foto: Astro Ria
#Ifa Raziah #Janda #Borak Kelamin
;