gaya hidup
“Saya Hanya Mau Cari Makan. Saya Boleh Kerja..." Ah Soon Akhirnya Turunkan BENDERA PUTIH, Kembali Semangat
Usaha kibar bendera putih bukan mainan politik kerana ia adalah idea daripada rakyat biasa untuk rakyat biasa. Banyak yang sudah kita lihat kisah penderitaan rakyat semenjak pandemik melanda dan makin meruncing apabila PKP 3.0 berlanjutan bulan ke bulan.
Ini antara kisah menarik yang dikongsikan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, YB Steven Sim Chee Keong di akaun Facebooknya semalam mengenai salah seorang penduduk bernama Ah Soon yang dirundung malang dan terpaksa menggantung bendera putih walau hati sangat malu.
Kredit Foto: FB Steven Sim Chee Keong
Bacakan perkongsian YB Steven ini:
Ah Soon seorang penjaja. PKP berulangkali bukan sahaja menyebabkan dia tidak dapat berniaga malah terpaksa menanggung hutang - sewa gerai, motor, sewa rumah, bil api dan air semua sudah 4-5 bulan tak bayar. Sampai mesin basuh dan kipas angin di rumah terpaksa dijual demi sesuap nasi.
Kesempitan hidup menyebabkan dia terdesak sehingga meletak bendera putih petang semalam. Dia sudah give up, dia bagitau jirannya jika dia pergi, mereka boleh ambil motornya.
Jam 8 pagi tadi, saya melawat Ah Soon. Sedih mendengar kisahnya. Dia bukannya tidak mencuba, malah berusaha untuk bangkit semula selepas tersungkur berkali-kali. Tapi PKP berulang-ulang menyebabkan dia buntu. Semua usaha tidak menjadi. Dia sudah penat.
Saya bagitau Ah Soon, jangan berputus asa. Hidup ini ada naik dan turun, tapi harapan tetap ada. Setidak-tidaknya, ada orang nampak bendera putihnya dan saya telah datang. Saya tanya Ah Soon, apa yang dia perlu? Dia jawab: "Saya hanya mau cari makan. Saya boleh bekerja, tapi macam mana saya nak berusaha dalam keadaan ini." Dia kata ada lot gerai baru yang lebih baik dekat rumahnya, tapi dia dah tak larat.
Kredit Foto: FB Steven Sim Chee Keong
Beginilah, saya bayar segala hutang sewa rumah, hutang bil api dan air, hutang motor Ah Soon. Kemudian saya bantu Ah Soon dapatkan lot gerai baru itu. Sewa gerai sampai hujung tahun saya tanggung. Janji Ah Soon boleh mulakan hidup baru dan terus berusaha.
Kami bercakap lebih satu jam. Apabila saya ajak Ah Soon bincang menu apa yang dia nak jual, saya nampak Ah Soon kembali bersemangat. Dia bersungguh-sungguh nak berusaha sendiri. Dia tulis menunya kepada saya. Ok, jom beli bahan-bahan. Hari ini juga kita buka gerai baru!
Ah Soon seakan-akan tak percaya. Dia bertubi-tubi ucapkan terima kasih. Saya minta dia janji tiga perkara: satu, jangan lagi fikir nak putus asa. Dua, bantu orang lain bila dia mampu. Dan tiga, malam ini dinner, dia masak untuk saya, nak cuba menu dia di gerai baru.
Kempen bendera putih bukan main-main. Rakyat sedang susah. Gunalah apa carapun untuk hubungi saya. Saya akan turun segera. Dalam beberapa jam saja, Ah Soon sudah bangkit semula, malah dia sendiri telah menurunkan bendera putih depan rumahnya.
Kawan-kawan yang saya kasihi, jangan berputus asa dalam apa keadaan sekalipun. Harapan sentiasa ada walaupun sekecil zarah. Dan sekecil-kecil zarah itu akan memberi sinar kepada hidup kita. Masih ramai lagi yang sudi bantu kita. Jika anda ada masalah jangan putus asa, call saya 012 5907 507.
Kredit Foto: FB Steven Sim Chee Keong
Dan sehari seleps itu, YB Steven kembali menjenguk lagi...
Saya dah cuba air tangan Ah Soon. Bukan saya nak puji ka apa, oang yang kenai saya tau saya ni cerewet bab makan. Bukan kata nak kena makan mahal-mahal tapi orang Penang boleh fahamlah, kita kan negeri Darul Makan. Ok balik kepada Ah Soon, memang sedap .
Saya gembira melihat Ah Soon bersungguh-sungguh mengendalikan gerai barunya. Mulai hari ini, untuk satu minggu, saya akan tapao 50 bungkus makanan dari gerainya setiap hari untuk diedarkan kepada orang susah. Nak kasi dia dorongan sikit buat laris bisnes baru ini. Tapi Ah Soon pun kata dia akan kira murah untuk saya sebagai sumbangannya membantu orang susah.
Korang, tolong promote gerai Ah Soon. Dia berada di kedai tepi Caltex (Sentosa, Jalan Kulim, Bukit Mertajam) - depan mee ketam Haji Mohamad & gerai air nyiur Cina yang femes. Dia buka setiap hari 11 am - 7 pm kecuali hari Jumaat. Bila dah sampai boleh juga layan mee ketam dan air nyiur. Kawan-kawan Muslim, gerai Ah Soon non-halal, tapi mohon tolong promote kat kawan-kawan non-Muslim ya. Kita sama-sama sokong Ah Soon ini. You help me, I help you. Kita BMF - buy Malaysian first.
Kredit Foto: FB Steven Sim Chee Keong