Hiburan

“Saya Tak Sempat Tatap Jenazah Ayah. Tiada Kawan Sudi Pinjamkan Wang Tambang, Walau Hanya RM50,” – JOEY.

Afiza Kamarulzaman
07/09/2020
15:23 MYT
Sponsor Banner
“Saya Tak Sempat Tatap Jenazah Ayah. Tiada Kawan Sudi Pinjamkan Wang Tambang, Walau Hanya RM50,” – JOEY.
Ketika menonton rancangan Rumah No.107 yang lalu, saya agak terkesan dengan celahan cerita salah seorang hostnya, Joey yang rupa-rupanya ada menyimpan kisah sedih saat kehilangan arwah ayahnya beberapa tahun yang lalu. Melihatkan personaliti dirinya yang sentiasa selamba dan ceria itu, tak siapa sangka, cerita pahitnya itu membekas luka yang dalam.
Menjadi anak seni bukanlah seindah yang dibayangkan. Ada masa di atas dan ada masanya berada betul-betul di atas tanah. Terduduk terjelepuk pun ada. Begitulah yang pernah dilalui Joey yang dulunya ligat sebagai pemuzik bersama legenda, Datuk M.Nasir sebelum menceburi bidang lakonan pula.
Dulu Kita Muda, Boros, Tak Pandai Jaga Duit
Begitu yang dikongsi Joey pada zaman gemilangnya apabila muziknya mendapat sambutan ramai. Bayaran di sana sini seronok diterima sehingga membuatkan dia terlalai seketika. Usia masih muda, pengaruh orang sekeliling usah dicakap. Maklumlah, baru menjenguk kota Kuala Lumpur, banyak benda yang ingin dipelajari, maka menyimpan duit bukanlah keutamaan waktu itu.
Namun, langit tak selalunya cerah. Apabila sudah tidak lagi bersama seniornya itu, kehidupan Joey mula berubah. Peluang kerja berkurangan dan pendapatan tidak lagi meriah, malah umpama kais pagi makan pagi sahaja. Pengarah AR Badul antara yang pertama menawarnya berlakon pada tahun 2000.
A post shared by Joey Daud (@joey_daud) on
Berita Kematian Ayah Bagai Petir Membelah Bumi
Sekitar tahun 2000 ke 2004, dirinya diuji. Satu hari kakak menelefonnya memberitahu khabar duka yang akan dikenang sepanjang hayatnya. “Ayah dah tak ada...” Kata-kata kakaknya itu masih terngiang-ngiang di telinga Joey sehingga kini. Tiba-tiba dia hilang arah. Apatah lagi dalam dompet hanya tinggal beberapa belas ringgit sahaja.
Tidak cukup untuk membeli tambang bas balik ke Johor. Joey jarang meminjam. Namun, pada waktu yang sangat mendesak itu, dia terpaksa menebalkan muka meminta simpati kawan-kawan yang selama ini dianggap rapat untuk memberinya pinjam sedikit wang, tidak banyak yang diminta hanya RM50 untuk lepas dia balik menjenguk arwah.
Namun, entah di mana silapnya. Tiada seorang pun kawan-kawannya yang sudi membantu waktu itu. Mencari dan terus mencari sehinggalah Allah bukakan hati seorang teman ini yang tidaklah serapat mana sebelum ini tetapi sehingga kini masih menjadi sahabat dunia akhiratnya. Kawan inilah yang sudi memberinya pinjam RM50.
“Waktu itu saya rasa betapa hinanya diri saya ini. RM50 pun saya perlu menagih kepada orang. Dengan duit itulah saya balik ke kampung. Memang kalau ikutkan dah tak ada erti pun saya balik kerana jenazah sudah selamat dikebumikan. Saya bukan lambat beberapa jam tapi, lambat yang makan hari...” Cerita Joey penuh kesal.
A post shared by Joey Daud (@joey_daud) on
Pipi Basah Sepanjang Perjalanan Dalam Bas
Kenapa tidak dipinjam kepada adik-beradik waktu itu? Tanya saya. Kata Joey, “Entahlah tak terfikir pula. Dari dulu lagi saya tidak suka ceritakan kesusahan saya kepada keluarga. Kalau ayah tanya, saya akan cakap saya okey, walaupun keadaa saya sebaliknya. Saya tidak mahu mereka risau.”
Tambah Joey lagi, sepanjang perjalanan pulang itu, pipinya sentiasa basah dengan air mata. Yang bermain dalam kepala hanyalah kenangan bersama arwah yang tak mungkin dapat diulang lagi. Malah, katanya hal dengan adik-beradik pun merisaukannya kerana abang-abangnya semua berdarah pendekar.
“Perangai adik-beradik saya pula, kalau ada apa-apa hal, tak akan tanya dengan mulut, tangan pergi dulu. Hahaha...” Sempat Joey berseloroh.
Walaupun sudah menduga penerimaan ahli keluarganya waktu itu, namun dia reda. “Dapat saya rasakan masing-masing menyambut saya dengan muka ketat. Akhirnya, terpaksalah saya berterus-terang apa punca saya tidak balik awal walaupun asalnya saya menipu yang saya sibuk kerja kerana tidak mahu susahkan mereka,” Tutur Joey.
Mak Pergi, Pun Saya Tak Sempat...
Mungkin inilah nasib dan hikmah yang tercatat dalam kehidupan Joey. Sejarah berulang lagi apabila ibunya pula dijemput Illahi pada ketika dia sedang menjalani shooting live Super Spontan. “Bayangkan ketika awak hendak masuk menghibukan orang, bergelak ketawa, tiba-tiba dapat WhatsApp ‘mak dah tak ada’. Apa yang nak saya katakan waktu itu?”
Disebabkan ia program siaran langsung, saya terpaksa juga habiskan shooting malam itu. Dan, seperti yang berlaku pada arwah Ayah, sekali lagi saya tidak berkesempatan menatap wajah arwah Mak untuk yang terakhir kalinya. Sehingga kini saya masih berasa ralat dan bersalah yang amat sangat dalam diri...”
Selagi Ada Mak, Ayah, Hargailah Mereka
Itu pesanan Joey berkali-kali apabila saya bertanyakan nasihatnya kepada anak-anak muda sekarang? “Tiada lagi doa mustajab yang saya ada sekarang setelah kematian keduanya. Yang saya harapkan hanyalah doa anak isteri. Maka, pada kamu yang masih ada orang tua, hargailah...”
Kongsi Joey juga, setiap kali dia terjumpa orang tua yang mirip arwah orang tuanya, pasti dia akan minta untuk menjadi anak angkat mereka. Mahu menumpang kasih dan doa daripada mereka. Hanya itu cara Joey melepaskan rindu kepada ibu dan ayah di sana di samping doa yang tak pernah putus.
Apa kata-kata arwah Ayah yang masih Joey ingat?
“Pertama, kata arwah Ayah, “Aku kerja untuk hidup bukan hidup untuk kerja”. Kedua, Ayah cakap, “Jangan betulkan yang salah, jangan salahkan yang betul.” Itulah antara pesanan arwah yang masih saya simpan sehingga kini. Kalau dulu saya tak faham tapi apabila dah besar, dah melalui macam-macam dugaan hidup, barulah ia terasa menusuk ke hati...” Luah Joey mengakhiri perbualan.
Al-Fatihah dan InTrend mendoakan kedua-dua arwah di tempatkan bersama orang-orang beriman. Amin...
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar