Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Highlights

Sayunya RAMADAN Tanpa Arwah Mak – Terkenang Mak Simbah Air Kejut Sahur. Sambal Mak, Agar-Agar. Makkkk!!!

Afiza Kamarulzaman 25/04/2020 | 14:05 MYT
Kesakitan yang tiada penawar adalah sakit rindukan orang yang sudah tiada. Ya, saya mengalaminya sejak arwah Mak pergi menyahut panggilan Illahi untuk kembali ke pangkuan sang penciptanya. Dulu, saya membayangkan bagaimana hidup tanpa Mak satu hari nanti dan apabila ia benar-benar terjadi, nampaknya saya masih boleh meneruskan hidup. Ya, saat ‘terlupa’, mungkin hari-hari dilalui seperti biasa tapi apabila ingatan itu datang, hanya Allah yang tahu. Sayu yang sudah tiada air mata.
Antara banyak-banyak bulan, bulan Ramadan dan Syawallah yang pasti lebih menjerut perasaan dan rindu itu datang lebih bertimpa-timpa, menghentam di setiap sisi lubuk hati. Walau sudah beberapa kali Ramadan dilalui tanpa Mak lagi, namun setiap kali hadirnya bulan mulia itu, ia tetap bagaikan tahun pertama diraikan tanpa Mak tersayang. Tentulah ia bulan paling banyak mencatat kenangan, saat kecil hingga dewasa kala menyambutnya bersama arwah dan adik-beradik lainnya.
Kredit Foto: Google
Memori Sahur Disimbah Air
Kami hidup dalam keluarga besar. Sejak Ayah pergi berbelas tahun yang lalu, Maklah tunggak keluarga. Walaupun hidup dalam kemiskinan, namun kami adik-beradik tidak pernah keputusan makan. Entah di manalah Mak cari makan minum, ada sahaja rezekinya untuk kami adik-beradik ini. Ketika itu, yang ada di rumah selalunya kami lima beradik kerana kakak-kakak yang lain sudah berkeluarga.
Seronok mengenangkan saat tibanya bulan puasa. Malam sebelum Ramadan, kami adik-beradik sudah duduk membatu di hadapan televisyen menunggu pengumuman puasa. Tidak sabar untuk mendengar ‘pak cik’ penyimpan mohor-mohor besar berucap. Sebaik diumumkan anak bulan sudah kelihatan dan esok mula berpuasa, kami adik-beradik akan bertempik kegembiraan bagaikan mendapat hadiah!
Kemudian, tepat jam 10 malam Mak dah menjerit menyuruh semua anak-anak masuk tidur. Maka, bergelimpanganlah kami adik-beradik tidur di ruang tamu berkongsi toto, bertarik selimut. Tidur cepat-cepat dengan harapan lekaslah masuk waktu bersahur. Tidak sabar mahu tengok lauk apa yang Mak sajikan esok subuh? Sudah menjadi tabiat Mak kalau bangun sahur memang awal. Jam 4.30 pagi, anak-anak sudah dikejutkannya.
Alasan Mak, takut tak sempat! Walaupun Imsak jam 5.45 pagi. Begitulah Mak. Suka buat persiapan awal-awal. Mak tak suka keadaan kelam-kabut. Seingat saya, tidak pernah sekali Mak tidak sedar untuk bangun sahur. Mak tak mahu anak-anak berpuasa dalam keadaan lapar dahaga yang keterlaluan. Mak tak nak anak-anak meragam pada pertengahan hari. Mak tak suka nak melayan kerenah anak-anak minta untuk ponteng puasa.
Pada hari pertama sahur, mungkinlah senang untuk Mak gerakkan kami bangun. Masuk sahaja minggu ke dua, jenuh Mak kena kejutkan seorang demi seorang anaknya. Punya liat nak bangun. Sampaikan Mak kena bilas muka kami dengan air barulah bangun! Walaupun rasa geram kerana dikejutkan dengan ‘ganas’, namun tiada seorang pun berani marah-marah, alamatnya penyepak sampai ke muka!
Kredit Foto: Google
Lauk Sahur yang Sederhana
Selalunya, pada hari pertama sahur Mak akan memasak sambal sardin, ikan bilis goreng dan telur dadar sahaja. Oh, tidak lupa wajib ada teh o panas! Seronok makan ramai-ramai, walaupun dini hari nasi dan lauk tetap habis. Seronok Mak tengok anak-anaknya habiskan semua hasil masakannya. Semua bersemangat mahu mulakan puasa. Dan, selepas sahur, Mak tak lupa ingatkan anak-anak untuk niat puasa.
Dan, untuk sahur-sahur selepas itu, biasanya menu kami adalah lauk ketika berbuka semalamnya. Mak pandai berjimat dan tidak suka membazir makanan. Selagi makanan itu tidak basi, Mak akan panaskan dan beri anak-anak makan walaupun kadang-kadang kami mengelak tidak mahu makan makanan yang sama. Tapi, air tangan Mak tetap juga kena ditelan anak-anak. Mak tidak akan beri pilihan lain. Makan atau lapar? Hahaha...
Kredit Foto: Afiza Kamarulzaman
Kenangan Berbuka Paling Diingati
Ya, inilah momen yang paling tersimpan rapi dalam kotak ingatan sampai saya mati. Tidak mungkin saya padamkan kerana sampai bila-bila ia tidak mungkin mampu diulangi. Saat berbuka beramai-ramai dengan Mak dan adik-beradik adalah saat paling ditunggu. Walaupun kini selalu saya dijemput berbuka puasa di hotel-hotel besar juga bersama pelbagai jenis lapisan orang, namun memori berbuka bersila atas tikar koyak di rumah teres lama itu tetap berbunga di jiwa.
Kebiasaannya, juadah berbuka kami akan dimasak 100 peratus oleh Mak. Jarang-jarang kami dapat membeli makanan berbuka di luar. Mak tak mahu membazir dan pastinya faktor tekak Mak yang cerewet menjadikan Mak anti makanan luar. Semua mahu dimasak sendiri dan selalunya pada hari pertama puasa, juadah berbuka Mak ‘lain macam’. Memang sedap dan lain dari hari biasa. Walaupun duit tak banyak mana, namun Mak mahu anak-anaknya gembira berbuka sedap-sedap.
Dapat lauk ayam pun dah kira sedaplah tu. Belum lagi, kalau tengok Mak menggulai ketam atau udang. Fuh, lagilah tak sabar kami mahu menanti detik azan Magrib berkumandang. Selalunya, jam 4 petang Mak sudah masuk dapur memulakan tugasnya. Mak mulakan dengan memasak kuih-muih, kemudian lauk-pauk. Kami adik-beradik memang jarang diminta bantu di dapur ketika Mak memasak kerana Mak sejenis ‘mulut bising’ kalau anak-anak buat kerja tak kena gayanya.
Namun, untuk menghidang dan bancuhan air, Mak akan serahkan kepada anak-anaknya. Dan, waktu itu masa Mak pula berehat di depan ruang tamu.
Kredit Foto: Afiza Kamarulzaman
Hidangan Kami Murah Tapi Berebut
Ya, kalau dimakan secara rebut-rebut dan beramai-ramai, makanan tak sedap pun boleh jadi sedap menjilat jari. Kalau hari biasa, kami adik-beradik jarang dapat makan sekali kerana kami ramai jadi susah untuk dikumpulkan dalam satu waktu. Jadi, apabila bulan puasalah baru kami dapat duduk bersama mengadap makan. Memang seronok dan rasa ukhwahnya walaupun sambil makan itu pun kami masih boleh ‘bergaduh mulut’.
Oh, Mak, rindunya dengan gulai lemak dan asam pedas Mak. Sayur tumis air yang nampak biasa tapi sekarang buat kami terkenang-kenang. Sambal belacan Mak yang lain dari yang lain walaupun simple sahaja bahannya tapi kami sendiri tidak tahu untuk membuatnya. Mak, sedap juga kuih bengkang Mak. Bubur kacang. Sagu gula melaka. Oh, Mak suka buat agar-agar sirap kerana kata Mak bahan-bahannya murah dan mudah dibuat. Itu pun sedap bagi kami dimakan sejuk-sejuk.
Tak lupa, kalau bab air, kami adik-beradik memang akan buat air istimewa! Kami akan bancuh dalam periuk besar yang dikaut pakai cawan. Air yang selalu menjadi pilihan kami sekeluarga ialah air cincau atau air oren Sanquick. Kadang-kadang, kakak buatkan air sirap selasih. Sedap juga walaupun selasih itu akan saya tapis untuk diminum.
Kredit Foto: Afiza Kamarulzaman
Dan, Kini Tiada Lagi Mak Duduk di Tikar Itu
Ya, semuanya tak akan sama lagi walaupun kami cuba untuk berkumpul memeriahkan suasana seperti dulu tetap tak akan sama. Lain benar rasanya apabila ‘tiangn seri’ itu sudah tiada. Rumah Mak masih ada. Dapur Mak pun masih elok. Namun, saat Mak melangkah keluar untuk ke terakhir kalinya itu, rumah Mak dah hilang serinya. Mak bawa pergi semua kenangan-kenangan kami dulu.
Anak-anak Mak masih baik-baik semuanya. Kami masih bersatu, Mak tapi tanpa Mak kami buntu. Tidak banyak resipi Mak sempat kami catat. Tidak banyak petua Mak sempat kami tuntut. Kerana kami fikir Mak akan lama lagi bersama kami. Tapi, ternyata kami lupa ajal itu akan datang tanpa kita duga. Mak bukan hak kami, tapi milik pencipta yang di atas sana. Mak, Ramadan datang lagi dan seperti selalunya, kami rindu.
Sesekali, Mak datanglah jenguk kami ya. Sahur dan berbukalah bersama kami walaupun jasad Mak tidak dapat kami peluk, kami harap roh Mak ada di sisi kami. Al-Fatihah. Salam Ramadan, Mak.
#Ramadan #Puasa #Emak
;