Personaliti

“Sebenarnya Yang Membuatkan Seseorang Disayangi Allah, Darjat Dinaikkan Ialah Sabar Menanggung Ujian.” Ustaz Ebit Lew

Huda Hussain
12/04/2021
07:30 MYT
Sponsor Banner
“Sebenarnya Yang Membuatkan Seseorang Disayangi Allah, Darjat Dinaikkan Ialah Sabar Menanggung Ujian.” Ustaz Ebit Lew
Rata-ratanya terkesan dengan pandemik Covid-19 yang sekali gus merobek mata pencarian selama ini. Mungkin kita tidak pernah terfikir, tetapi profesyen seperti pemandu limosin di KLIA, nelayan dan pengusaha bot di Port Dickson juga komuniti badut turut merasai tempias pandemik ini. Jika dahulunya rancak, aktif dan meriah kini seakan sepi. Dan kunjungan team Jejak Ebit Lew (JEL) bersama figura yang kaya dengan sifat empati dan kemanusiaan yang mahu terus menyebarkan kasih sayang, Ustaz Ebit Lew tidak pernah henti mendoakan mereka.
Dilema Pemandu Limosin KLIA Betapa impak pandemik Covid-19 dirasai setiap lapisan masyarakat, pemandu limosin di KLIA juga tidak terkecuali merasai tempiasnya. Masakan tidak, dek kerana ketiadaan penumpang hilang mata pencarian mereka untuk mencari rezeki bagi menampung dan menyara keluarga seharian sejak bermulanya PKP dahulu. Tun Zarina Zulkifli antara ribuan pemandu limosin yang terpaksa berhadapan kesukaran ini. Tidak mampu membayar sewa rumah, bil dan utiliti itulah bebanan yang dirasainya. Mujurlah bekalan makanan masih ada atas belas ehsan keluarga. Namun baginya, sampai bila mahu bergantung harap kepada orang lain? Lantaran itu, dia usahakan untuk berniaga kecil-kecilan seperti pemanis mulut yang dilakukan sendiri.
Masalah kesihatan suami Nazri Badar yang mengalami kesukaran bernafas pula menjadi ujian buatnya seisi keluarga. Bagaikan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang itulah yang dirasai Tun Zarina. Namun itu bukan alasannya untuk terus mengeluh dan berpeluk tubuh. Selagi ada kudrat walaupun mempunyai masalah kesihatan darah tinggi dan kencing manis, dia masih sedaya upaya membantu menyara keluarga. Untuk keluarga ini, team Jejak Ebit Lew menghulurkan bantuan sumbangan bekalan makanan dan sedikit sumbangan wang tunai bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Misi Menyantuni Komuniti Nelayan Di Port Dickson Murtazar Hj Mohd Nor, Pengerusi Persatuan Kebajikan Anak Nelayan Teluk Kemang berbesar hati menerima kunjungan team Jejak Ebit Lew. Mendengar keluhan para nelayan yang terputus mata pencarian dek impak Covid-19 bukan kepalang. Terkesan dan terbeban hingga akhirnya ada dalam kalangan mereka terpaksa meminjam untuk meneruskan kehidupan seharian. Itulah yang dirasai Saidi Ahmad Abu Bakar, salah seorang nelayan. Faktor cuaca tak menentu selain kesukaran untuk bawa pulang hatta RM50 pun tidak mudah baginya. Dan kini untuk meneruskan kehidupan, dia dan isteri mengusahakan perniagaan ikan masin. Walaupun payah tetapi dia tetap bersyukur masih lagi berupaya mencari rezeki untuk diberi kepada anak dan isteri. Menyifatkan ziarah Ustaz Ebit Lew sebagai pemangkin semangat, ujarnya dia tetap perlu bersabar dan reda dengan ujian ini.
Baik pengusaha bot yang dahulunya tidak pernah putus menerima kunjungan pelancong, kini kesibukan suasana itu tidak dirasai. Begitu juga dengan para nelayan. Hinggakan pergi dan balik dengan tangan kosong. Allahu, sungguh berat ujian yang perlu mereka tempuhi. Bagi mengurangkan beban yang terpaksa mereka pikul selama ini, Ustaz Ebit Lew bermurah hati menyampaikan bekalan makanan dan barang dapur bagi pengusaha-pengusaha bot dan nelayan disini.
Pesan Ustaz Ebit Lew Ramai orang ingat dia dapat syurga kerana solat, puasa, zakat, haji. Tapi sebenarnya yang membuatkan seseorang disayangi Allah, darjat dinaikkan ialah sabar menanggung ujian. Ujian ini kerana kasih sayang Allah SWT. Walau berat mana pun ujian, dalam riwayat Bukahari Allah ingin beri kebaikan lalu diberinya musibah. Lebih besar musibah itu, lagi besar rahmat Allah nak beri. Dan bagi orang yang beriman ini setiap kesusahan itu diganjarkan dengan pahala yang besar.
Misi Menyantuni Komuniti Badut Bergerak atas dasar saranan daripada komuniti badut di Ipoh, Perak; team Jejak Ebit Lew tidak menghampakan permintaan komuniti ini yang mahu bersua muka dengan figura kesayangan ramai ini. Ketibaan team Jejak Ebit Lew disambut dengan hati penuh ceria. Mohd Azizat Zainal Abidin pada awalnya sekadar cuba menulis komen pada status muat naik Ustaz Ebit Lew ketika team JEL menyantuni anak-anak istimewa dengan mengenakan kostum dan maskot. Menawarkan diri jika team Ustaz Ebit Lew memerlukan khidmat mereka, dia tidak menyangka akhirnya Ustaz Ebit sudi mengunjungi mereka. Melihat dan mendengar segala kesukaran dan masalah banyak kedukaan yang disembunyikan disebalik wajah ceria setiap daripada mereka.
Seperti pemandu limosin dan nelayan mereka juga terkesan dan terjejas pendapatan dek kerana pandemik Covid-19. Walaupun ada dalam kalangan mereka tidak menjadikan cabang ini sebagai sumber utama pencarian dan masih punya pekerjaan lain; namun kekurangan itu tetapi dirasai. Tiada lagi parti sambutan hari lahir, acara liburan lain turut memberi kesan kepada mata pencarian mereka. Walau ada yang mengusulkan agar mencari pekerjaan lain, tetapi dek kerana sudah biasa maka diteruskan jua. Lantaran itu segala masalah dan kesukaran selama ini diluahkan dan didengari Ustaz Ebit Lew. Mereka punya kudrat dan kegigihan juga semangat untuk menghiburkan tetapi cuma tiada saluran atau tempat untuk dipamerkan dan dikembangkan. Lega akhirnya suara mereka didengari dan masalah mereka dipanjangkan untuk inisiatif Ustaz Ebit Lew membantu.
Pesan Ustaz Ebit Lew Kerja-kerja menghiburkan, menggembirakan orang ini umpamanya kerja ini tak boleh berhenti. Segala kepedihan dan kepayahan disimpan sendiri. Insya-Allah untuk masa hadapan, jika pihak saya mengunjungi rumah-rumah anak yatim, anak-anak istimewa yang memerlukan khidmat mereka untuk menghiburkan anak-anak kecil akan saya panjangkan dan bantu sedaya termampu. Saya doakan mudah-mudahan kakak dan abang yang bekerja sebagai badut ini dipermudahkan dalam mencari rezeki menghiburkan orang. Insya-Allah, moga Allah ganjarkan kebaikan kepada mereka.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar