Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Highlights

Sejak Hari Pertama PKP Sudah ‘Turun Padang’ – Rico Rinaldi Kongsi REZEKI Bantu Golongan Memerlukan.

Huda Hussain 18/04/2020 | 15:52 MYT
Dalam kesibukan pereka fesyen lain menyiapkan PPE, pereka ini punya cara tersendiri untuk membantu mereka yang memerlukan ketika tempoh PKP. Rico Rinaldi dan keluarga tampil membantu keluarga asnaf, ibu-ibu tunggal, penjaja kecil yang terkesan dengan PKP, pelajar tahfiz dan ramai lagi. Kepuasan? Sukar baginya untuk gambarkan. Melihat kepayahan hidup dan kesukaran golongan asnaf mendapatkan bantuan makanan menyentuh hatinya. Dan apabila nikmat dan rezeki dikongsi, seribu rahmat yang dirasakannya. Ikuti temu bual eksklusif InTrend bersama Rico Rinaldi.
Kredit Foto: Rico Rinaldi
Dari mana dapat idea untuk bantu golongan asnaf dengan cara ini?
Semasa hari pertama PKP, Rico ada berjumpa dan bertanya dengan Pengarah Hospital Putrajaya, Dr Nora'i Mohd Said; apa yang Rico boleh tolong untuk bantu pihak hospital. Dan katanya pihak hospital perlukan modular chalet atau khemah kecemasan yang berhawa dingin. Disebabkan kedua-dua peralatan dan kelengkapan ini kosnya agak mahal, jadi Rico mulakan inisiatif untuk mengutip dana. Alhamdulillah Rico berjaya kumpul dana dan telahpun disumbangkan kepada Hospital Putrajaya. Dan memandangkan ada sedikit baki dana yang lebih, Rico fikir mengapa tidak ia digunakan untuk membantu golongan yang lebih memerlukan. Mereka antaranya golongan asnaf, ibu tunggal, anak yatim, peniaga kecil, penjaja dan sebagainya.
Kredit Foto: Rico Rinaldi
Sejak bila mulakan projek ini?
Sejurus selepas selesai dengan projek modular chalet untuk Hospital Putrajaya, Rico tanya kepada emak sama ada Yayasan Amal ada atau tidak mulakan apa-apa bantuan untuk membantu sepanjang PKP ini. Emak adalah salah seorang ahli jawatankuasa Yayasan Amal Malaysia (YAM). Dan kata emak, YAM ada misi. Hinggalah pada hari ketiga PKP kami mula kumpul dana sedikit demi sedikit khususnya untuk membantu mereka yang memerlukan. Kawasan NGO YAM meliputi kawasan Bangi, Kajang dan Semenyih.
Bagaimana Rico saring keluarga asnaf ni, ada collaborate dengan mana-mana NGO atau cari sendiri atau bagaimana? Dan berapa ramai keluarga asnaf yang dibantu?
Sebenarnya bantuan ini memang kami (Rico dan Yayasan Amal Malaysia) fokuskan kepada golongan asnaf tetapi selain itu kami juga beri bantuan kepada ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim, pelajar tahfiz Rohingya. NGO YAM ini lebih luas rangkaiannya untuk reach out lebih ramai lagi golongan yang memerlukan. Selain itu kami salurkan juga bantuan kepada peniaga kecil, penjaja-penjaja yang terkesan dengan PKP, yang terputus pendapatan mereka.
Apabila Rico mula sebarkan dan kongsi apa yang dilakukan ini di instastory, Instagram dan Facebook; ramai yang bertanya macam mana mereka nak dapatkan bantuan hinggakan ada yang berkongsi gambar bagaimana keadaan mereka. Kemudian, dari situ kami berikan juga bantuan kepada mereka.
Selain itu, ayah Rico juga ahli jawatankuasa kariah surau dan secara tidak langsung ayah juga punya hubungan dengan kariah-kariah surau lain. Daripada situ ayah dapat maklumat mengenai golongan kariah masing-masing, apa masalah mereka dan bantuan yang diperlukan. Jadi secara tidak langsung, dari situlah kami saring, beri dan salurkan kepada keluarga asnaf.
Kredit Foto: IG Rico Rinaldi
Barang keperluan yang diberi?
Barang keperluan asas yang diberi seperti minyak, beras, telur (sepapan), biskut, bawang, kentang, magie, kicap, sedikit buah-buahan, timun (kadang-kadang). Syukur juga ketika ramai yang membantu dan kami punya duit lebih, kami berikan juga seekor ayam. Sebab kami faham keadaan mereka memang susah dan sukar untuk dapatkan bekalan makanan. Dan dalam masa kami kumpulkan bahan makanan ini, ada juga yang tampil untuk turut sama menyumbang. Ada yang dermakan air delima, roti dan banyak lagi yang mereka dermakan untuk disumbangkan.
Terhad kawasan sekitar Kajang dan Bangi atau macam mana?
Sebenarnya kawasan memang tidak terhad sekitar Kajang, Bangi tetapi kami turut pergi hantar bantuan ke Semenyih, Selayang, Ampang, Jeram dan boleh dikatakan kami salurkan bantuan sekitar Selangor. Satu kelebihan apabila bekerjasama dengan NGO ini adalah, mereka punya jaringan dan rangkaian yang lebih besar. Dan apabila lebih besar, maka secara tidak langsung kami boleh bantu lebih ramai lagi keluarga-keluarga asnaf.
Dalam seminggu setiap hari Rico dan keluarga pergi hantar bantuan atau hadkan beberapa kali dalam seminggu?
Untuk penghantaran hampir setiap hari kami keluar kecuali hari Isnin dan Khamis sebabnya emak dan ayah berpuasa sunat. Selebihnya NGO YAM yang bantu hantarkan. Selepas selesai pembelian barang-barang, semua pembungkusan dibuat dirumah.
Ada tak cabaran atau halangan nak salurkan bantuan?
Setakat ini Alhamdulillah tiada kerana kami punya surat daripada YAM dan secara peribadi, Rico tidak terlibat secara langsung dengan YAM. Cuma Rico gunakan platform Rico sendiri. Berbekalkan pengikut yang ada di Instagram, Rico kenal beberapa individu penting seperti rakan selebriti, rakan-rakan media, usahawan dan daripada situ Rico cuba manfaatkan untuk dapatkan lebih banyak sumbangan. Halangan pula setakat ini tiada cuma biasalah, netizen. Ada yang memberi komen mengapa perlu nak tunjuk di instastory, kenapa setiap hari nak buat video dan macam-macam lagi.
Bagi Rico, projek ini berskala besar. Apabila berskala besar dan berterusan maka Rico memang tak mampu nak uruskan seorang diri. Apa yang membuatkan Rico terkilan adalah, ada kiriman DM Rico terima menyatakan, ‘Kalau nak bagi bantuan tu, bagi ajelah bantuan. Tak perlu nak buat instastory’. Walaupun dia bertanya dengan baik tetapi soalnya dia tidak faham dengan misi berskala besar dan berterusan. Jadi, kalau tiada platform untuk kita beritahu orang ramai, memang susah untuk kami terus dapatkan dana bagi salurkan bantuan. Pada awalnya terasa juga tetapi memikirkan soal nak bantu lebih penting, jadi Rico ketepikan saja.
Kredit Foto: IG Rico Rinaldi
Kepuasan yang Rico rasakan?
Memang sangat puas. Dua kali Rico bawa ayah pergi salurkan bantuan. Pernah sekali, Rico masuk ke kawasan yang macam hutan. Jauh ke pedalaman. Kalau diikutkan logik, tiada orang yang tinggal di kawasan seperti itu. Tetapi apabila tiba di satu kawasan, ada beberapa individu yang seolah-olah menunggu bantuan. Dan apabila melihat keadaan mereka yang tertunggu-tunggu bantuan tu, Ya Allah… memang sayu dan kasihan. Mereka tunggu ditepi-tepi jalan dan kami bawa mereka menaiki kereta dan apabila sampai rupanya memang ramai keluarga asnaf tinggal di sana.
Daripada situ Rico rasa bersyukur dan gembira sangat kerana dapat bantu. Dapat lihat sendiri dihadapan mata keadaan mereka yang dahagakan bantuan dan sumbangan kita. Kalau dilihat dari perspektif lain, Rico gembira sebabnya dapat gunakan platform ini, dengan pengikut yang tak seberapa ini untuk membantu dan mempengaruhi orang lain supaya turut sama dalam usaha amal ini.
Cara orang ramai untuk bantu?
Boleh terus ke www.ricorinaldi.com (banyak pilihan online banking). Jadi Rico telah memesan 3000 keping face mask. Face mask ini orang ramai boleh beli dan dalam masa yang sama duit pembelian face mask ini akan disalurkan sepenuhnya untuk pembelian barang bekalan makanan. Face mask adalah serendah (RM1.50). Atau boleh menderma secara terus tanpa membeli face mask atau mahu membeli face mask sahaja juga boleh dilakukan. Kerana 100 peratus jualan dan derma akan disalurkan terus untuk membeli bekalan makanan. Cara kedua adalah bank in terus ke akaun emak dan ayah Rico, 12029020856177 (Bank Islam).
Rico sertai MODA untuk jahit PPE? Dan boleh kongsikan mengapa tidak terlibat sama?
Sejujurnya Rico ada terima pelawaan dari MODA untuk misi menjahit PPE, membuat sumbangan dan sebagainya. Cuma Rico jelaskan kepada mereka, buat masa sekarang Rico punya misi, pertamanya adalah untuk sediakan modular chalet bagi kegunaan hospital dan keduanya adalah projek untuk membantu golongan asnaf yang dilakukan sekarang. Rico berterima kasih kepada MODA dan rakan-rakan pereka lain yang faham dan mereka tahu Rico ada misi yang berbeza. Jadi secara tidak langsung Rico tak dapat nak membantu untuk proses menjahit PPE buat masa ini. Tetapi apabila misi Rico sudah selesai, mungkin selepas tempahan daripada pelanggan juga sudah selesai, Rico memang berbesar hati untuk menjahit PPE.
Dari satu segi; Rico berasakan secara peribadi sudah lancarkan koleksi busana raya lebih awal dan menerima tempahan juga lebih awal. Kuantiti tempahan pun begitu juga, banyaknya. Jadi mungkin rakan-rakan pereka lain belum sempat lancarkan koleksi mereka atau mungkin tidak banyak tempahan yang diterima lagi. Memikirkan soal tanggungjawab dan kepercayaan yang diberi oleh pelanggan yang sudahpun membayar deposit, maka Rico fikir ada keperluan untuk Rico fokus dan siapkan terlebih dahulu baju-baju yang ditempah. Tidak banyak lagi yang perlu disiapkan, cuma tinggal sedikit sahaja lagi. Insya-Allah minggu pertama atau awal puasa sudah boleh siap semuanya. Dan apabila selesai tempahan pelanggan, insya-Allah Rico akan bantu MODA untuk menjahit PPE.
Seboleh mungkin Rico tidak mahu pelanggan merungut, misalnya ada yang sudah membayar dan mengharapkan baju mereka siap tetapi pihak Rico dan team tak mampu untuk selesaikan tanggungjawab kami. Jadi, Rico berasakan perlu dahulukan soal tempahan pelanggan sebentar dan kemudian baru akan fokus untuk jahit PPE.
Harapan Rico melalui usaha dan inisiatif ini?
Sebenarnya dalam tempoh PKP, misi ini tidaklah terlalu sukar. Cuma yang kami risaukan adalah untuk menghadapi bulan puasa. Rico faham, orang ramai gunakan duit sedikit untuk membeli barang keperluan, persiapan untuk berpuasa dan raya. Jadi apa yang menjadi kerisauan kami adalah kekurangan dana dan tak dapat nak salurkan bantuan. Maklum sajalah, terutamanya golongan peniaga kecil dan penjaja-penjaja ini tidak dapat bekerja. Jadi kesukarannya disitu. Dan mungkin dengan usaha ini, Rico harap lebih ramai orang akan peka dan turut sama membantu. Sekurang-kurangnya sifat kekitaan itu perlu ada dalam diri masing-masing. Kalau kita sedang makan dengan pelbagai hidangan yang lazat, ingatlah mereka yang mungkin tiada apa untuk dimakan.
Kredit Foto: IG Rico Rinaldi
#Rico Rinaldi #PKP #Bantuan Asnaf
;