Highlights
Selepas Beberapa Meter Memandu, Terlihat Jasad Suami Terbaring Di Jalanraya, Allahu… Hebatnya Dugaanmu Wahai Isteri.
Tular di media sosial sejak semalam, coretan isteri bernama Dalila Zolkofli (seorang doktor pergigian di Klinik Pergigian Kurnia, Kuantan) yang merakamkan momen-momen terakhir perjalanan Allahyarham suaminya, Faizal Gani sebelum menemui ajal akibat kemalangan jalanraya. Lebih memilukan, detik itu berlaku selepas 20 minit Allahyarham Faizal membeli motosikal baru yang telah lama diimpikannya sebelum ini. Dan semua momen itu dirakam Dalila dalam muat naik Instastory juga dikongsikan di akaun facebooknya sebagai kenangan abadi dan terakhir mereka.
Kredit Foto: Facebook Dalila Zolkofli
Sudah Lama Impikan Motosikal Itu
Menurut Dalila, Allahyarham Faizal sememangnya sudah lama memasang angan-angan dan bercita-cita mahu memiliki motosikal tersebut. Dek kerana motosikal sebelum ini mengalami kerosakan, dia masih lagi berkira-kira mahu membeli atau tidak. Dan hasrat itu ditangguhkan sementara sehinggalah bertemu dengan seorang penjual yang menawarkan harga terbaik. Lantas peluang itu disifatkan Faizal sebagai rezeki malah baginya telah sempurna sudah semua yang dihajatinya.
Kredit Foto: Facebook Dalila Zolkofli
Jumaat Yang Sungguh ‘Dinanti’
Allahyarham Faizal sememangnya tidak sabar menanti hari Jumaat itu (10 Julai 2020) kerana seperti yang dijanjikan oleh penjual, motosikal tersebut boleh diambil pada hari itu. Sungguh, siapalah kita yang mengetahui disebalik keterujaan dan keseronokan itu, terselit sesuatu yang hanya Allah SWT saja yang lebih tahu. Dialah sebaik-baik perancang. Dari menaiki kereta berdua, kini Faizal sudah menunggang motosikal baharunya. Dan setiap momen juga sepanjang perjalanan itu terus dirakamnya.
Kredit Foto: Facebook Dalila Zolkofli
Naluri Isteri
Dalila terus ‘menemani’ suaminya sepanjang perjalanan usai dari mengambi motosikal dari rumah penjual menuju pulang ke rumah mereka. Dia juga menjadi saksi bahawasanya suaminya memandu perlahan di lorong tepi hingga membolehkan Dalila terus merakam momen yang tidak disangka menjadi detik akhir memisahkan mereka. Dan entah kenapa, terdetik dihati si isteri betapa dia cukup risau ketika itu. Suatu perasaan dan rasa bimbang yang tidak pernah dirasakannya sebelum ini. Hinggakan terlintas difikirannya agar terus berada di belakang suami bagi membolehkan adanya jarak motosikal yang ditunggang suami dengan kenderaan lain. Allahu… sungguh unik dan istimewanya naluri si isteri ini. Seolah-olah sudah ‘terasa’ sesuatu tetapi tidak pasti apa yang akan berlaku seterusnya.
Kredit Foto: Facebook Dalila Zolkofli
Detik Itu…
Hinggalah sebelum mereka memasuki susur jalan yang sibuk dan kenderaan semakin banyak. Tetapi tidak lama kemudian, Dalila terlihat motosikal mirip suaminya diangkat. Sambil berharap motosikal itu bukan milik suaminya yang baru sahaja ditunggang suami beberapa minit lalu. Allahu… Yang diharapkan bukan itulah sebenarnya terjadi. Hati isteri mana yang kuat tatkala melihat tubuh suami terbaring di atas jalanraya. Yang sebentar tadi baru terpisah dari pandangan mata. Tetapi Allah bentangkan dengan pemandangan sedemikian rupa.
Kredit Foto: Facebook Dalila Zolkofli
Waktu Umpama Beku, Hati Bagaikan Direntap
Tidak sampai 24 jam, si isteri Allah SWT telah takdirkan menjadi balu. Allahyarham Faizal meninggal dunia pada 11 Julai 2020 jam 12.20 akibat kecederaan serius pada otak akibat kemalangan. Biarpun Dalila berasa berat kerana dia yang bertanggungjawab menurunkan tandatangan bersetuju agar diberhentikan penggunaan ventilator, namun ada hikmah tersirat disebaliknya. Telah tertulis di loh mahfuz, Allah SWT jadikan kemalangan jalanraya tersebut sebagai asbab untuk menjemput hamba-Nya yang disayangi. Wajah suami kelihatan mengukir senyuman saat dia memberi kucupan terakhir sekali gus membuatkan Dalila berasa tenang ‘melepaskan’ dan reda dengan pemergian Allahyarham Faizal. Walaupun berat dan seakan tidak tertanggung dengan ujian ini, tetapi Allah SWT lebih mengetahui. Dan bermulalah dihantui momen, kenangan dan memori yang sempat diukir selama setahun tujuh bulan bergelar suri hati Faizal Gani.
Kredit Foto: Facebook Dalila Zolkofli
Allahyarham Baik Budi Pekertinya
Daripada perkongsian yang tular di Instagram telah ‘membawa’ penulis ‘berkenalan’ dengan insan berhati mulia ini di akaun Facebook isterinya, Dalila. Menerusi pelbagai perkongsian cerita dalam kalangan ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak dan rakan baik, semuanya indah dan baik-baik sahaja. Malah menurut Dalila juga, Allahyarham Faizal tidak pernah memarahi jauh sekali meninggikan suara selain terkenal dengan sifatnya yang pemurah dan gemar senyum. Allahu, tenang sekali apabila kita yang tidak pernah mengenalinya dapat membaca karakter insan berhati mulia ini. Disifatkan sebagai anak yang baik dan bertanggungjawab selain tidak pernah berkira, beruntunglah jua Dalila dapat menumpang kasih bergelar isteri walau baru setahun tujuh bulan usia perkahwinan mereka. Betapa Allah ingin gambarkan sifat penyayang dan baik hatinya Allahyarham, begitu ramai sekali yang menziarahi, membantu menguruskan jenazah, solat hinggalah dibawa ke pusara abadi. Allahu, baik sungguh budi pekertinya. Belum dikurniakan cahaya mata, namun sifat penyayang Allahyarham jelas terpancar saat menyantuni anak-anak saudaranya.
Kredit Foto: Facebook Dalila Zolkofli
Sempat Tunaikan Umrah Februari Lalu
Seperti Allah SWT telah menyusun cantik lagi indah perjalanan hamba-Nya ini. Pasangan ini ditemani beberapa ahli keluarga lain berkesempatan menunaikan umrah Februari lalu. Yakni seminggu sebelum PKP dikuatkuasakan. Menurut coretan beberapa ahli keluarga terdekat yang turut sama menunaikan umrah, kelihatan Allahyarham Faizal benar-benar bersungguh menyempurnakan ibadah umrah. Lebih manis lagi apabila semua ibadah Allah permudahkan untuknya. Dapat mengucup hajaratul aswad, solat di Hijr Ismail dengan mudah, dapat masuk Raudah berkali-kali dan dapat solat dekat dengan imam dalam Raudah. Malah menurut Allahyarham, semasa solat Jumaat depan Kaabah dalam keadaan panas terik, Allah izinkan seorang hamba Allah yang duduk disebelahnya tiba-tiba berdiri mendengar khutbah dari awal sampai habis. Dan bayang-bayang orang itu telah melindunginya dari terkena panas dan terik matahari. Allahu… Hanya orang yang istimewa di sisi Allah saja boleh menikmati semua itu.
Kredit Foto: Facebook Dalila Zolkofli
Dan walaupun tulisan artikel ini tidak didasari dengan temubual secara formal kerana penulis beranggapan tidak manis untuk mengganggu emosi Dalila yang diuji sebegini hebat. Mohon maaf dipinta telebih dahulu. Dan semoga perkongsian artikel ini dapat memberi sedikit inspirasi kepada pengikut setia dan pembaca InTrend. Entah kenapa menerusi pembacaan penulis berdasarkan entri dan muat naik daripada ahli keluarga juga rakan-rakan karib Allahyarham, membuatkan susuk Faizal Gani disegani. Tidak pernah mengenali tetapi Allah gerakkan hati untuk ‘mengenali’ sifat dan keperibadiannya hanya selepas dia pergi menemui Ilahi. Pastinya dia cukup istimewa dan disayangi semua yang mengenalinya. Doa kami dari InTrend Malaysia, agar Dalila dan seluruh keluarga dikurniakan kekuatan dan ketenangan hati. Terus cekal, reda dan tabah dengan ujian Allah ini. Semoga Allah melindungi dan menempatkan roh Allahyarham bersama para mukmin yang beriman dan beramal soleh. Innalillahi wainnailaihirajiun, Al Fatihah.