Highlights

Sesuaikah Bawa Anak Kecil Makan Luar? TIPS Ini Mungkin Boleh Bantu Kawal Anak ‘Buat Hal’ di Kedai Makan.

Afiza Kamarulzaman
30/06/2020
15:02 MYT
Sponsor Banner
Sesuaikah Bawa Anak Kecil Makan Luar? TIPS Ini Mungkin Boleh Bantu Kawal Anak ‘Buat Hal’ di Kedai Makan.
Kita biasa melihat senario di kedai makan atau restoran, ibu bapa atau penjaga membawa anak-anak kecil makan di situ. Ada yang okey, ada juga yang kelihatan begitu stres sepanjang sesi makan berakhir. Ada yang hanya separuh jalan makan, terpaksa mengangkut pulang anak-anak yang tidak boleh langsung memberi kerjasama. Simpati ada, rasa terganggu juga mungkin ada.
Namun, itulah hakikat kehidupan pasangan yang memiliki anak kecil. Menikmati hidangan di restoran bukan lagi sesuatu yang indah, malah ia boleh berubah menjadi mimpi ngeri apabila si kecil mula meragam. Kalau seorang mungkin boleh dilayan lagi, namun bagi yang punya anak berderet, hanya Tuhan yang tahu. Ada yang melalak, ada yang abang dan adik bergaduh, ada yang tiba-tiba mahu ke tandas sehinggakan ibu ayah tidak keruan.
Kredit Foto: Google
Persoalannya di sini adakah wajar untuk mereka yang punya anak kecil meneruskan gaya hidup makan di luar seperti zaman bujang mereka? Jika sesekali mungkin okey (atas alasan teringin), namun jika kerap, bagaimana? Ada yang makan di luar lebih selalu berbanding makan di luar. Hakikatnya, banyak yang negatif daripada positif jika membawa anak makan di luar sebenarnya. Maaf jika ada yang tidak setuju. Namun, inilah nyatanya. Selain tantrum anak-anak menganggu orang sekeliling, makanan yang disajikan juga tidak dapat dipastikan khasiat dan kebersihannya apatah lagi untuk anak kecil.
Walau bagaimana pun, jika masih mahu membawa anak-anak ke kedai makan, tips ini mungkin boleh dicuba oleh ibu bapa untuk memastikan anak dapat dikawal tingkah lakunya. Jika tidak sepenuhnya, dapat berkelakuan elok sebaik sudah makan pun memadailah. Jom cuba, mana tahu berkesan?
Kredit Foto: Afiza Kamarulzaman
15 Tips Membawa Anak Kecil Makan di Luar:
  1. Jika ini pertama kali, cuba praktikkan dahulu gaya makan di luar ketika di rumah. Lakonkan beberapa babak penting seperti di restoran waktu di rumah untuk memahamkan anak-anak situasi sebenar nanti seperti menunggu pesanan makanan dan duduk dengan elok.
  1. Fahamkan anak-anak etika asas di meja makan seperti tidak boleh bercakap ketika makan, tidak boleh sepahkan makanan dan sebagainya. Ya, ia mungkin tidak akan berkesan sepenuhnya tetapi sekadar ingatan agar mereka ada sedikit ilmu dan kefahaman tentangnya.
  1. Sebelum keluar rumah, kenal pasti jenis restoran yang ingin dituju dan selidik apakah menu yang mereka ada? Ini penting agar kamu tidak terkial-kial ketika mahu membuat order nanti.
  1. Pilihlah restoran yang tidak terlalu padat dengan orang atau pesanannya lambat disiapkan untuk mengelakkan anak-anak hilang keselesaan dan jadi lebih huru-hara.
  1. Bawa bersama alat mainan, buku atau apa sahaja perkakas yang boleh dijadikan fokus untuk anak-anak di antara waktu terluang ketika menunggu makanan tiba.
  1. Jika membawa lebih daripada seorang anak, pastikan kamu tahu minat anak-anak itu sama atau tidak. Sebaiknya bawalah alat mainan yang sama sahaja supaya mereka tidak berebut.
  1. Jika tidak, luangkan masa bersama anak untuk mengenali atau bereksperimen dengan apa saja benda yang ada di atas meja seperti peket gula atau sudu. Sambil bermain, sambil belajar.
  1. Jika anak sejenis yang memilih makan, bawalah makanan khas anak itu dan suapkan dia dahulu agar tidak nanti merengek kelaparan.
  1. Pastikan anak dalam keadaan selesa sebelum memasuki restoran seperti lampinnya sudah ditukar dan perut sudah beralas sedikit makan.
  1. Pesanlah makanan yang cepat untuk disiapkan dan cepat juga untuk dihabiskan.
  1. Sebaiknya, pilihlah makanan untuk anak-anak dahulu. Beritahu pelayan jika menu anak boleh didulukan seperti appetizer. Jika mereka sudah habiskan makanan, dan makanan kamu baru sampai, eloklah dipesan terus pemanis mulut untuk anak-anak.
  1. Bergilirlah dengan pasangan untuk menikmati makanan dan menjaga anak-anak jika mereka masih meragam saat makanan sudah sampai.
  1. Jika anak terus meragam dan nampak tidak selesa, bawalah anak keluar berjalan di luar seketika dan cubalah pujuk untuk meminta mereka sabar sehingga selesai makan. Umpan mereka dengan sedikit ganjaran jika mereka boleh berkelakuan baik.
  1. Jika anak-anak masih tidak boleh beri kerjasama dan terus-menerus membuat ‘onar’, lebih baiklah mengundur diri. Minta sahaja pelayan bungkuskan makanan yang sudah dipesan tadi.
  1. Berilah sedikit tips kepada pelayan sebagai tanda terima kasih dan maaf sekiranya anak-anak menganggu atau mungkin telah menyepahkan meja makan mereka. Tidak salah berbudi dan berbahasa.
Kredit Foto: Google
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar