Highlights

“Setia Macam Mana Pun, Kalau Syarikat Tutup, Kemaslah Meja. Benar, Rezeki Allah Itu Luas Tapi…” – Bekas Wartawan Utusan Melayu Berhad

Huda Hussain
16/10/2019
02:57 MYT
Sponsor Banner
“Setia Macam Mana Pun, Kalau Syarikat Tutup, Kemaslah Meja. Benar, Rezeki Allah Itu Luas Tapi…” – Bekas Wartawan Utusan Melayu Berhad
Desas-desus kepincangan dalam pengurusan dan kewangan Utusan Melayu Berhad sudah lama hidu. Namun, keyakinan untuk bertahan masih tersemai dalam kalangan pekerja dan bos syarikat itu sendiri.
Sehabis baik, syarikat penerbitan tertua Malaysia itu cuba untuk dipertahankan. Apakan daya, dalam kepahitan, realitinya harus ditelan jua.

Kredit foto: Fisya Mazlan

Maka, pada 9 Oktober 2019, Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir mengumumkan bahawa Lembaga Pengarah Utusan telah meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang (Creditor’s Voluntary Liquidation) pada 7 Oktober 2019, yang sekaligus memberhentikan segala operasi serta-merta.
Berita ini pastinya tamparan hebat buat para pekerja Utusan yang selama ini mengambil sikap ‘bertahan’ walaupun sudah dua bulan bekerja tanpa gaji.
Apakah ini akhirnya pengorbanan mereka dan harapan yang mereka tanam untuk melihat syarikat gergasi ini kembali bernyawa?
Dan, sebagai salah sebuah media massa yang pernah menenali dan berlanggar bahu sesama rakan seperjuangan; wartawan Utusan Malaysia, InTrend Malaysia juga menumpang sedih.
Bersama kami, salah seorang wartawan akhbar Kosmo!, Nurul Nafisah Mazlan berkongsi rasa meluahkan segala.
Perkongsian ini bukan untuk memburukkan sesiapa atau menuding jari menyalahkan mana-mana pihak, ia hanya serpihan pengalaman wartawannya yang lima tahun berada di situ sehingga pada hari terakhir diarah mengemas meja.
Walaupun pada setiap soalan dijawab dengan perkataan yang ‘longlai’, namun harapannya masih ada. Bacalah dengan lapang dada.

Kredit foto: Fisya Mazlan

Pengalaman bekerja dengan akhbar Kosmo! Sudah berapa lama Fisya bersama team akhbar ini? Bermula sebagai wartawan di Kosmo! pada Januari 2014 sehingga Oktober 2019. Sebelum bekerja di Kosmo! saya pernah bekerja di sebuah portal dan stringer di salah sebuah akhbar lain.
Sejak bila dapat hidu syarikat berhadapan dengan kemelut kewangan?
Dapat tahu syarikat mula ada krisis apabila gaji mulai lewat diterima daripada tarikh yang sepatutnya. Pada awalnya dalam sehari dua kemudian menginjak ke seminggu bahkan hingga sebulan dua.
Pernah tidak dibayar gaji?
Pernah. Dua bulan tidak diberikan gaji iaitu bersamaan empat kali gaji. Sebabnya kami diberikan gaji sebulan dua kali iaitu pada setiap 15 hari bulan dan 30 hari bulan.

Kredit foto: Fisya Mazlan

Apa yang menyebabkan Fisya terus setia berkhidmat hingga ke akhirnya?
Kerana sayangkan kerjaya sebagai wartawan. Selepas tamat belajar dalam jurusan kewartawanan dahulu saya terus kerja dalam bidang ini. Dan tak pernah tukar kerja dalam bidang lain.
Keduanya kerana sayangkan persekitaran bekerja. Syukur kerana dikelilingi rakan sekerja dan majikan yang baik-baik semuanya. Tapi itulah…
Pernah rasa terkilan atau ralat dengan pihak pengurusan?
Sejak kejadian ini berlaku memang terasa ralat sangat. Sejujurnya saya tidak sangka sama sekali perlu melalui pengalaman diberhentikan kerja bersama 800 rakan yang lain.
Ya, 800 orang kakitangan bukan jumlah yang sedikit. Ada yang sudah berkhidmat lebih lama menjangkau berbelas mahupun puluhan tahun.
Apa yang tergambar dalam kepala saat menerima notis, diarahkan mengemas meja kerja? Pasti sedih bukan?
Waktu notis diberikan, kami berkumpul beramai-ramai. Masing-masing serabut memikirkan nasib. Sedih sangat bila tengok ada pasangan suami isteri yang kedua-duanya berkhidmat di Kosmo! dan Utusan Malaysia.
Dan ramai yang bergelar ketua keluarga di Kosmo! Masakan tidak, inilah periuk nasi kami yang mahu menyara suami, isteri dan anak-anak. Mana lagi perlu lunaskan bayaran utiliti, kereta, rumah, perbelanjaan harian dan sebagainya.
Memang amat terkesan. Risau memikirkan apa mahu diberi makan kepada anak-anak. Allahu Akbar, Allah sahaja yang Maha Mengetahui segalanya.

Kredit foto: Fisya Mazlan

Perasaan Fisya ketika ini?
Saya berserah dan reda sahaja dengan apa yang akan terjadi kelak. Dan dalam masa sama, masih menitipkan harapan agar Utusan kembali beroperasi seperti sedia kala.
Apa pula kata suami dan keluarga terdekat?
Suami banyak beri sokongan. Katanya mungkin ini masanya untuk cuba bidang lain. Sebagai seorang yang beragama Islam, saya percaya dan yakin banyak lagi jalan dan peluang rezeki di luar sana.
Cuma ia tak datang bergolek. Masih lagi menuntut ikhtiar dan usaha kita sendiri untuk mencarinya. Sama ada cepat atau lambat sahaja.
Khabarnya pihak Perkeso sudah mula menghuhungi kakitangan Utusan. Bagaimana pula dengan Fisya?
Tidak pasti tentang isu ini sama ada betul atau tidak. Perkeso ada sediakan bantuan SIP untuk mereka yang ditamatkan perkhidamatan. Maka semua layak menerima dan tidak kisah sama ada dapat panggilan Perkeso atau sebaliknya.

Kredit foto: Fisya Mazlan

Bumi Allah ini luas untuk kita mencari secebis rezekiNya. Lantas apa perancangan Fisya selepas menerima perkhabaran duka ini?
Tanggal 30 hari bulan ini kami dimaklumkan akan ada sesi ‘townhall’ untuk mengetahui nasib pekerja. Ada yang akan terpilih untuk diserap kembali atau sebaliknya. Hanya selepas 30 Oktober barulah kami peroleh kata putus tentang ke mana hala tuju selepas ini.
Buat masa ini saya hanya jalankan perniagaan kecil-kecilan untuk tampung perbelanjaan harian dan komitmen kewangan lain. Alhamdulillah syukur kerana komitmen kewangan saya tidak terlalu tinggi.
Masih lagi mampu menyara anak-anak setakat ini. Tidaklah terlalu mewah, cukup sekadar apa adanya sahaja.
Jika Utusan Malaysia kembali beroperasi?
Mungkin tak sama lagi dengan apa yang ada macam dulu. Harapnya mereka yang kembali bekerja dapat kekalkan semangat kerja berkumpulan dan terus positif, insya- Allah.
Harapan dan kata-kata semangat buat rakan-rakan yang menerima nasib sama?
Bergelar wartawan adalah satu kerjaya yang memerlukan hati yang perlukan semangat kental dan jiwa yang kuat. Saya percaya setiap daripada kami mampu ‘survive’. Cuma kami perlukan sokongan.
Semoga 800 orang kakitangan ini mampu meredah ujian Allah SWT. Doakan kami!
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar