“Setia Macam Mana Pun, Kalau Syarikat Tutup, Kemaslah Meja. Benar, Rezeki Allah Itu Luas Tapi…” – Bekas Wartawan Utusan Melayu Berhad
Desas-desus kepincangan dalam pengurusan dan kewangan Utusan Melayu Berhad sudah lama hidu. Namun, keyakinan untuk bertahan masih tersemai dalam kalangan pekerja dan bos syarikat itu sendiri.
Maka, pada 9 Oktober 2019, Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir mengumumkan bahawa Lembaga Pengarah Utusan telah meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang (Creditor’s Voluntary Liquidation) pada 7 Oktober 2019, yang sekaligus memberhentikan segala operasi serta-merta.
Berita ini pastinya tamparan hebat buat para pekerja Utusan yang selama ini mengambil sikap ‘bertahan’ walaupun sudah dua bulan bekerja tanpa gaji.
Dan, sebagai salah sebuah media massa yang pernah menenali dan berlanggar bahu sesama rakan seperjuangan; wartawan Utusan Malaysia, InTrend Malaysia juga menumpang sedih.
Pengalaman bekerja dengan akhbar Kosmo! Sudah berapa lama Fisya bersama team akhbar ini?
Sejak bila dapat hidu syarikat berhadapan dengan kemelut kewangan?
Dapat tahu syarikat mula ada krisis apabila gaji mulai lewat diterima daripada tarikh yang sepatutnya. Pada awalnya dalam sehari dua kemudian menginjak ke seminggu bahkan hingga sebulan dua.
Pernah tidak dibayar gaji?
Pernah. Dua bulan tidak diberikan gaji iaitu bersamaan empat kali gaji. Sebabnya kami diberikan gaji sebulan dua kali iaitu pada setiap 15 hari bulan dan 30 hari bulan.
Apa yang menyebabkan Fisya terus setia berkhidmat hingga ke akhirnya?
Kerana sayangkan kerjaya sebagai wartawan. Selepas tamat belajar dalam jurusan kewartawanan dahulu saya terus kerja dalam bidang ini. Dan tak pernah tukar kerja dalam bidang lain.
Pernah rasa terkilan atau ralat dengan pihak pengurusan?
Sejak kejadian ini berlaku memang terasa ralat sangat. Sejujurnya saya tidak sangka sama sekali perlu melalui pengalaman diberhentikan kerja bersama 800 rakan yang lain.
Apa yang tergambar dalam kepala saat menerima notis, diarahkan mengemas meja kerja? Pasti sedih bukan?
Waktu notis diberikan, kami berkumpul beramai-ramai. Masing-masing serabut memikirkan nasib. Sedih sangat bila tengok ada pasangan suami isteri yang kedua-duanya berkhidmat di Kosmo! dan Utusan Malaysia.
Perasaan Fisya ketika ini?
Saya berserah dan reda sahaja dengan apa yang akan terjadi kelak. Dan dalam masa sama, masih menitipkan harapan agar Utusan kembali beroperasi seperti sedia kala.
Suami banyak beri sokongan. Katanya mungkin ini masanya untuk cuba bidang lain. Sebagai seorang yang beragama Islam, saya percaya dan yakin banyak lagi jalan dan peluang rezeki di luar sana.
Khabarnya pihak Perkeso sudah mula menghuhungi kakitangan Utusan. Bagaimana pula dengan Fisya?
Tidak pasti tentang isu ini sama ada betul atau tidak. Perkeso ada sediakan bantuan SIP untuk mereka yang ditamatkan perkhidamatan. Maka semua layak menerima dan tidak kisah sama ada dapat panggilan Perkeso atau sebaliknya.
Bumi Allah ini luas untuk kita mencari secebis rezekiNya. Lantas apa perancangan Fisya selepas menerima perkhabaran duka ini?
Tanggal 30 hari bulan ini kami dimaklumkan akan ada sesi ‘townhall’ untuk mengetahui nasib pekerja. Ada yang akan terpilih untuk diserap kembali atau sebaliknya. Hanya selepas 30 Oktober barulah kami peroleh kata putus tentang ke mana hala tuju selepas ini.
Jika Utusan Malaysia kembali beroperasi?
Mungkin tak sama lagi dengan apa yang ada macam dulu. Harapnya mereka yang kembali bekerja dapat kekalkan semangat kerja berkumpulan dan terus positif, insya- Allah.
Harapan dan kata-kata semangat buat rakan-rakan yang menerima nasib sama?
Bergelar wartawan adalah satu kerjaya yang memerlukan hati yang perlukan semangat kental dan jiwa yang kuat. Saya percaya setiap daripada kami mampu ‘survive’. Cuma kami perlukan sokongan.