Personaliti
SITI Amalkan Diet Sihat Pada Bulan Puasa, Turun 14kg! Wanita Ini Kongsi Menu Bersahur dan Berbukanya.
Wanita yang mesra disapa Siti ini adalah seorang pengusaha makanan. Bayangkan setiap hari berdepan dengan pelbagai jenis juadah menggoda selera, berjaya ditepisnya dengan semangat kental untuk kurus.
“Apabila kita dah penat memasak seharian, nak makan pun dah tak lalu...” ujarnya yang menjalankan perniagaan tempahan makanan secara atas talian dan pengusahaan sambal segera.
Ketika mempunyai berat badan 68kg, tidak dinafikan aktiviti sehariannya agak terganggu kerana keterbatasan pergerakan dek berat berlebihan. Ia sangat menyedihkan apabila hendak sujud ketika solat pun payah kerana mempunyai masalah sakit lutut.
Justeru, Siti tekad untuk mengubah gaya hidupnya demi kesihatan jangka masa panjang. Walaupun ada terfikir untuk membeli ubat di farmasi bagi mengekang masalah sakit lutunya tapi dia terfikir sampai bila pula dia perlu bergantung pada ubat nanti?
Jika ada cara yang lebih baik dan semula jadi, mengapa tidak dicuba? Bertitik tolak dari itulah menguatkan semangat Siti untuk memulakan misi menurunkan berat badan. Walaupun ‘target’ Siti hanya untuk mencecah 55kg, tapi kini lebih dari itu berjaya dicapainya. Alhamdulillah.
Sebelum, pada tahun 2019
Bila mula-mula plan untuk program menurunkan berat badan?
Mula pada bulan Mac 200, ketika PKP pertama dulu. Saya mulakan dengan program diet Intermittent Fasting (IF) kerana terinspirasi dengan Lisa Suri Hani. Ketika join grup itu di Facebook, saya dapati ada antara mereka yang mengamalkan diet OMAD, Kento dan sebagainya.
Tapi, saya ikut diet cara saya, yang saya selesa dan mampu buat. Dan, tak lama selepas itu, kita memasuki bulan Ramadan, jadi saya teruskan IF ini pada bulan puasa yang mana ia lebih mudah dan berkesan untuk dilakukan.
Boleh kongsikan apa yang Siti amalkan sepanjang berpuasa itu seperti menu sahur dan berbuka?
Saya berbuka dengan makan lauk-pauk saja dan banyakkan sayur. Nasi memang saya tak sentuh langsung. Kebanyakan lauk yang diambil jenis bakar-bakar dan rebus saja. Adalah sesekali saya ambil ketiaw goreng untuk lepaskan kempunan. Sepanjang diet itu, saya tak ambil langsung air manis dan bergas.
Berbuka hanya dengan air lemon dicampur serai dan asam boi. Ais juga tidak, saya hanya minum air sejuk peti ais. Untuk sahur, menu saya hanyalah kurma dan susu rendah lemak. Selepas dua minggu, saya hanya makan kurma dan air kosong saja.
Dirinya pada Januari 2020
Pernah ‘cheat day’?
Masa mula-mula diet tu, adalah juga curi-curi makan nasi tapi hanya sesenduk. Itu pun saya pakai berasmathi. Minyak pula saya tukar kepada minyak zaitun atau Naturel Conola. Tapi, masuk bulan puasa, memang saya tak makan langsung nasi.
Ada melakukan senaman?
Mula-mula diet tu, tak bersenam langsung. Tapi bagi saya, apabila kita mempunyi ruin harian yang sibuk dan bergerak aktif itu juga dikira bersenam kerana saya selalu memasak di dapur untuk tempahan makan. Jadi, kerja saya itu sudah mengeluarkan banyak peluh dan memerlukan saya bergerak aktif.
Bagaimana proses penurunan berat badan?
Dari 68kg pada bulan Januari 2020, kemudian turun kepada 61kg pada hujung April 2020. Apabila nampak perubahan itu, terus bersemangat untuk teruskan pada bulan puasa pula. Walaupun saya target hanya 55kg sahaja, tapi terlajak kurus sampai pernah mencecah 51kg. Dan sekarang, berat saya statik 54kg. Alhamdulillah, yang penting teruskan saja mengawal pemakanan untuk ‘maintain’ walaupun ada sesekali saya makan juga nasi.
Pada pertengahan puasa, bulan Mei 2020
Bagaimana menahan godaan melihat juadah enak-enak ketika bulan puasa?
Memang struggle jugalah. Sebab dulu, hari-hari akan minum air manis, jarang sekali ambil air kosong. Rasa tak sedap! Namun, apabila sudah terbiasa, lama-lama semua jadi okey. Bab juadah berbuka tu, masih boleh dikawal mungkin kerana seharian penat memasak, apabila nak berbuka jadi tak berapa berselera. Lebih pada haus saja.
Perasaan Siti setelah berjaya memiliki berat badan impian?
Alhamdulillah, syukur sangat. Apabila badan dah ringan ni, rasa best sebab nak buat kerja pun senang, solat pun jadi mudah. Sakit lutut serta-merta hilang. Dan, pentingnya tak perlu makan ubat. Oh, cuma saya ada juga ambil suplemen seperti B-Complex, Daily dan Fish Oil.
Jadi, sekarang apa yang Siti amalkan untuk proses ‘maintain’?
Nasi tu ada juga sesekali saya ambil tapi tak selalu. Fast food memang tolak tepi melainkan betul-betul teringin. Air kosong menjadi teman karib, sehari dua liter. Apa pun makanan yang diambil, porsinya harus dikawal. Lama-lama kita akan tahu apa yang badan kita perlukan. Kita sendiri kena baca cara badan kita bekerja.
Nasihat Siti kepada mereka yang selalu ‘ke laut’ bab diet ini?
Alamak, susah nak cakap. Lain orang, lain situasi dia, kan? Tapi, macam inilah, tanya kepada diri sendiri, kita nak kurus untuk apa? Kalau untuk kesihatan ia sangat bagus kerana kita tidak mahu mengundang penyakit. Mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Maka, ia akan menyuntik semangat untuk kamu teruskan misi.
Nak cantik tu, bonus. Dia sama je macam kalau kita ada ‘aim’ nak beli rumah ke kereta, kita mestilah kerja keras untuk memilikinya, begitulah juga dengan diet. Semangat kena kuat, hati kena kental. Kalau semangat ke laut, memang ‘kusss...semangatlah’ jawabnya. Hahaha... Semoga berjaya semuanya.
Raya pertama 2020