gaya hidup

Sudah-Sudahlah BERTELAGAH Wahai Pro dan Anti Vaksin. Yang Dah Suntik Lalui Norma Baharu, Yang Tak Vaksin Jaga SOP

Afiza Kamarulzaman
22/09/2021
09:07 MYT
Sponsor Banner
Sudah-Sudahlah BERTELAGAH Wahai Pro dan Anti Vaksin. Yang Dah Suntik Lalui Norma Baharu, Yang Tak Vaksin Jaga SOP
Hari ini, kita bukan saja berdepan dengan masalah kesihatan yang semakin merundum. Malah, kemeruncingan gaya sosial dan adab masyarakat hari ini juga semakin menyedihkan. Kalau dilihat cara kendalian media sosial dalam kalangan orang kita hari ini juga sangat membimbangkan.
Begitu banyak aura negatif yang disebarkan saban hari sehinggakan ada kala takut untuk membaca setiap muat naik dan komen, tidak kisahlah daripada portal, akaun profesional, selebriti, ahli politik mahupun netizen biasa. Kebanyakannya berkongsi perihal yang tidak sahih atau berbaur isu panas yang akhirnya mengundang kecaman dan perbalahan.
Isu vaksin sehingga kini masih hangat diperkatakan walaupun kerajaan semalam mengumumkan negara sudah mencapai 80% suntikan vaksin dalam kalangan rakyat Malaysia. Masih ada suara-suara liar yang terus mengecam usaha mereka yang beriktiar untuk mengelak jangkitan Covid-19 ini dengan pelbagai dakyah dan teori-tori samar.
Lantas, mereka yang sudah divaksin mula ‘naik hantu’. Tidak mahu kalah dan terus bertikam lidah di ruangan komen yang kebanyakannya lari daripada adab dan kesopanan dalam bicara. Aduh, sangat memalukan dan menakutkan untuk dihadam setiap bait tulisan itu.
Kredit Foto: Google
Raikan Perbezaan Pendapat, Hidup Secara Harmoni
Tolonglah, wahai rakyat Malaysia jangan kerana Covid-19 kita menjadi virus juga dan kerana vaksin kita menjadi jarum pencucuk pula, melaga-lagakan orang sehingga bergaduh dan bermusuhan. Ada suami isteri sampai bercerai-berai. Ada keluarga sehingga tak bertegur sapa.
Ada jiran tetangga sudah berpuak-puak. Ada kawan media sosial asyik sindir-menyindir. Sampai bila kita mahu hidup dengan aura negatif seperti ini? Cukuplah kesakitan mengadap prosedur SOP yang menekan saban hari, jangan lupa hati menjadi hitam dan fikiran menjadi toksid!
Raikan perbezaan pendapat dan hormati kehendak masing-masing. Yang sudah menerima suntikan vaksin, tahniah kerana anda berusaha untuk memudahkan urusan orang lain. Teruskan melalui kehidupan dengan normal baharu yang ditetapkan. Jangan dipulaukan mereka yang tidak mahu disuntik.
Buat kalian yang berkeras untuk menolak vaksin, tidak mengapa. Selagi ia tidak diwajibkan, anda berhak untuk memutuskan apa yang terbaik untuk hidup anda sendiri. Namun, berhentilah berkongsi teori yang tidak sahih sehingga menimbulkan provokasi dan konflik. Lalui hari-hari anda dengan mematuhi SOP ketat untuk lindungi diri dan semua.
Akhir kata, panjatkan doa untuk keselamatan dan perlindungan kita semua. Jangan kedekut untuk doakan sesama kita kerana doa yang baik akan berbalik kepada kikta juga.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar